Catfishing, atau perbuatan seseorang yang menggunakan maklumat dan gambar palsu untuk mewujudkan identiti palsu dalam talian, merupakan jenis tingkah laku dalam talian berbahaya yang paling kerap dialami penduduk Singapura, menurut kajian Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).
Sekitar 71 peratus dalam kalangan responden yang mengalami tingkah laku dalam talian yang berbahaya dalam tempoh setahun lalu menyatakan demikian, dengan kebanyakan kejadian catfishing terjadi melalui aplikasi pesanan WhatsApp dan platform media sosial Facebook.
Ini diikuti dengan mesej bersifat seksual yang tidak diingini (27 peratus), gangguan dalam talian (16 peratus), pencurian identiti (orang lain berpura-pura menjadi pengguna) (14 peratus), dan kata-kata menyinggung perasaan, contohnya mengenai jantina atau bangsa (12 peratus).
Ini menurut dapatan dua kajian – Kajian Persepsi Pendigitalan dan Kajian Persepsi Dasar Negara Bijak – yang dijalankan MDDI pada awal 2025.
Dapatan utama kajian tersebut menunjukkan 84 peratus penduduk Singapura menemui kandungan dalam talian yang berbahaya dalam tempoh setahun lalu, termasuk kandungan yang menyokong kegiatan haram seperti penipuan dan yang bersifat seksual atau ganas.
Sementara itu, 33 peratus penduduk melaporkan mereka juga mengalami tingkah laku dalam talian yang berbahaya.
Namun begitu, sebahagian besar responden yang menemui kandungan dalam talian yang berbahaya tidak melaporkan kandungan atau penggunanya kepada platform dalam talian, kata MDDI dalam satu kenyataan pada 10 Oktober.
Lebih empat daripada lima, atau 82 peratus responden, sekadar membaca sepintas lalu atau tidak mengendahkan kandungan bahaya itu atau menutupnya. Satu dalam empat, atau 23 peratus responden pula tidak mengambil sebarang tindakan.
Sementara itu, bagi mereka yang mengalami tingkah laku dalam talian yang berbahaya, empat daripada lima, atau 79 peratus responden mengambil tindakan dengan menyekat pengguna yang bertanggungjawab.
Sekitar separuh atau 46 peratus pula, melaporkan kandungan atau penggunanya kepada platform dalam talian.
“Perbuatan tidak bertindak sedemikian adalah mungkin kerana pengalaman masa lalu dengan langkah melaporkannya tidak membawa kepada tindakan yang tepat pada masanya,” kata MDDI.
Kementerian itu berkata pemerintah, industri dan masyarakat telah bekerjasama untuk membina sebuah persekitaran dalam talian yang lebih selamat.
Pemerintah, misalnya, telah mengambil beberapa langkah perundangan untuk melindungi rakyat daripada bahaya dalam talian.
Ini termasuk memperkenalkan Tataamalan bagi Keselamatan Dalam Talian – Khidmat Media Sosial sejak Julai 2023, yang memerlukan khidmat media sosial melaksanakan sistem dan proses untuk menghindari pengguna Singapura, terutamanya kanak-kanak, daripada mengakses kandungan bahaya.
Namun, selain langkah perundangan, kementerian itu juga akan mempertingkat usaha pendidikan dan pendekatan awam.
“Dalam usaha membantu individu lebih mengenali risiko dalam talian dan memupuk tabiat digital lebih selamat, kami akan mempertingkat pendidikan awam dan pendekatan untuk menjadikan sumber keselamatan dalam talian lebih mudah diakses, praktikal, dan tertumpu pada tindakan.
“Dengan kerjasama masyarakat, industri dan rakan korporat, lebih banyak inisiatif masyarakat seperti bengkel dan webinar akan dianjurkan untuk mendidik orang awam mengenai topik yang relevan,” kata MDDI.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg