Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Media khidmat awam perlu kekal sebagai institusi dipercayai

Ini agar pelaku jahat tidak kuasai landskap media, sebar maklumat palsu
Jul 16, 2025 | 8:10 PM
Josephine Teo, media, Singapura
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo. - Foto fail

Pemerintah mempunyai pelbagai alat kawal selia bagi melindungi rakyat Singapura daripada ancaman maklumat, namun undang-undang sahaja tidak mencukupi untuk menolak maklumat palsu.

Justeru, adalah penting bagi media perkhidmatan awam terus kekal sebagai institusi yang dipercayai, supaya mereka yang melakukan kejahatan tidak menguasai media dan landskap maklumat negara, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.

Bercakap di Anugerah Singapore Press Club 2025 di Hotel Pan Pacific pada 16 Julai, Cik Teo berkata kejadian sebegitu sudah berlaku di negara lain, di mana ruang maklumat sudah menjadi sangat keruh, dan kebenaran tidak dapat dibezakan daripada kepalsuan.

“Inilah sebabnya pemerintah di banyak negara telah tampil untuk menyokong media perkhidmatan awam.

“Dengan cara yang sama, kami telah berbuat demikian untuk memastikan rakyat Singapura mempunyai akses berterusan kepada sumber berita yang dipercayai, dan untuk menegakkan integriti ruang maklumat kita,” kata Cik Teo.

Jika dibandingkan dengan negara lain, Cik Teo berkata Singapura bertuah kerana media perkhidmatan awam di negara ini kekal sebagai institusi yang dipercayai.

Memetik Laporan Berita Digital Reuters, beliau berkata akhbar The Straits Times (ST) berjaya mendapat 75 peratus markah bagi kategori “paling dipercayai oleh rakyat Singapura”, manakala CNA pula mencatat 74 peratus.

Cik Teo menyifatkan markah tersebut sebagai “pencapaian cemerlang” kerana jika dibandingkan dengan purata kepercayaan sejagat terhadap media, wadah media lain mencapai markah sebanyak 40 peratus sahaja.

Meskipun demikian, Cik Teo berkata usaha “mengekalkan kepercayaan tidak akan mudah” bagi media perkhidmatan awam kerana ia akan menghadapi cabaran besar dalam mendekati dan memastikan ia kekal relevan bagi golongan yang lebih muda.

“Matlamat jangka panjang kita kekal tidak berubah, iaitu untuk memupuk ekosistem maklumat yang berdaya tahan, satu yang mana kebenaran boleh berdiri sendiri, dan kepercayaan awam bersandarkan kepada warganegara yang diberikan maklumat betul, melibatkan diri dan yang pandai menilai.

“Bagi memastikan seiring dengan teknologi dan perubahan pilihan pembaca, saluran media mesti melabur dalam keupayaan baru, menerima pakai proses baru dan mencipta produk baru,” kata Cik Teo.

Semasa ucapannya juga, Cik Teo turut memuji SPH Media kerana membangunkan Studio+65, kemudahan multimedia dalaman baru yang membolehkan pengeluaran maya, penceritaan audiovisual dan penciptaan kandungan digital.

Beliau juga memuji SPH Media, syarikat induk Berita Harian (BH), kerana menyediakan liputan menyeluruh, dan penstriman langsung semua rapat perhimpunan dan acara GE2025, serta membawa berita yang relevan kepada penonton dalam masa nyata.

“Keupayaan baru ini digunakan sepenuhnya dalam liputan mereka pada GE, membolehkan bilik berita menyediakan liputan luas dan komprehensif merentasi format tradisional dan lebih baru, memastikan rakyat berbilang kaum dan peringkat umur mendapat maklumat dan terlibat.

“Wartawan dan penerbit juga bereksperimen dengan bentuk pelaporan baru untuk menarik minat pembaca… Saya juga gembira melihat kita mempunyai wartawan muda yang berbakat, yang pergi jauh untuk mencerminkan kebimbangan harian rakyat Singapura,” kata Cik Teo.

Selain daripada menggunakan teknologi baru, Cik Teo berkata kandungan berita juga kekal penting dan menekankan kepentingan media perkhidmatan awam untuk terus membangunkan bakat dan naluri yang betul bagi menyediakan kandungan kewartawanan yang bermutu kepada rakyat Singapura.

Mengakui bahawa “kewartawanan adalah kerja yang sukar”, Cik Teo berkata kerja itu menjadi semakin sukar dalam beberapa dekad kebelakangan ini dan memuji media perkhidmatan awam kerana terus berjuang dengan komitmen yang tidak kenal lelah terhadap kebenaran dan kecemerlangan.

Cik Teo berkata: “Maklumat ialah mata wang industri, dan pandangan andalah yang membezakan anda daripada yang lain. Ini juga misi dan tugas anda kepada pembaca anda.

“Dedikasi anda terhadap kraf itu memainkan peranan penting dalam menegakkan kebenaran dan kepercayaan dalam ruang maklumat Singapura – membentuk khalayak pembaca yang bermaklumat dan Singapura yang lebih kuat.”

“Matlamat jangka panjang kita kekal tidak berubah, iaitu untuk memupuk ekosistem maklumat yang berdaya tahan, satu yang mana kebenaran boleh berdiri sendiri, dan kepercayaan awam bersandarkan kepada warganegara yang diberikan maklumat betul, melibatkan diri dan yang pandai menilai.”
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg