Sedang pilihan pembaca kian semakin rencam dan berpecah, akhbar The Straits Times (ST) harus membina kekuatannya sebagai sebuah akhbar yang boleh dipercayai dan sumber maklumat tidak berat sebelah untuk rakyat Singapura.
Akhbar itu, yang menyambut ulang tahunnya ke-180 pada Julai 2025, juga harus kekal sebagai kuasa penyatu yang membantu rakyat Singapura memahami isu rumit, merapatkan jurang, dan memupuk identiti dan tujuan bersama, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
“Dalam persekitaran digital hari ini, adalah mudah untuk terperangkap dalam ruang gema (seseorang hanya menemui maklumat atau pendapat yang mencerminkan dan menguatkan pandangan mereka), atau diberi maklumat hanya apa yang algoritma fikir kita mahu lihat.
“Singapura memerlukan media dipercayai yang terus memberikan perspektif seimbang, memaparkan sudut pandangan berbeza, dan mengadakan perbincangan bermakna – agar kita boleh lebih memahami satu sama lain dan membangunkan persefahaman bersama mengenai dunia,” kata beliau.
Encik Wong berkata demikian dalam ucapannya di majlis jamuan malam gala akhbar ST pada 11 Julai sempena ulang tahun ke-180 mereka.
Majlis jamuan malam itu, yang diadakan di Jewel di Lapangan Terbang Changi, turut dihadiri Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
Encik Wong turut menambah bahawa ST harus mengekalkan mutu sebagai teras dalam segala yang dilakukannya, dan membentangkan laporan dengan suara Singapura kepada dunia.
Meskipun berkongsi saranannya itu, Encik Wong berkata pemerintah tidak berada dalam kedudukan untuk menetapkan jalan penyelesaian kepada ST.
Sebaliknya, pada akhirnya, hanya ST sahaja yang boleh membuat keputusan untuk diri mereka sendiri, tambah beliau.
“Saya percaya masih terdapat tempat untuk akhbar cetak, dan kami harus lakukan yang terbaik untuk memastikan akhbar cetak berdaya maju di Singapura selama mungkin.
“Namun, 10 tahun dari sekarang, akhbar cetak ST kemungkinan akan kelihatan agak berbeza daripada hari ini – dari segi gaya, nada dan panjang berita. Ia mesti berbeza, jika ia mahu kekal relevan dan berguna kepada pembaca masa depan.
“Pada akhirnya, hanya ST boleh membuat keputusan ini – menimbangkan peluang, menguruskan risiko, dan berkembang dalam cara yang kekal dengan misi anda, sementara memenuhi keperluan berubah pembaca anda,” kata Encik Wong.
Encik Wong berkata ST telah mendakap perubahan dan inovasi, dengan akhbar itu telah bereksperimen dengan format dan teknologi baru, menggunakan alat digital dan wadah dalam talian, dan memikirkan semula cara berita mereka dilaporkan.
Akhbar itu juga suara dipercayai untuk Singapura, dengan Institut Reuters baru-baru ini meletakkan ST sebagai jenama berita paling dipercayai di Singapura.
Encik Wong berkata ini satu pengesahan kuat terhadap kewibawaan dan profesionalisme ST, dan komitmen mereka terhadap kewartawanan yang boleh dipercayai dan bermutu.
Format berita mungkin berkembang, namun Encik Wong menekankan bahawa kandungan bermutu tidak akan lapuk.
Adalah tidak benar bahawa orang ramai hanya mahukan video pendek atau tajuk berita ‘clickbait’ (umpan klik), tambah beliau.
Meskipun laporan ringkas dan tepat pada masanya akan menjadi produk berita penting, bentuk penulisan yang panjang dan analisis mendalam masih boleh menarik khalayak ramai, dengan syarat kandungannya memberikan pandangan dan ditulis dengan baik.
Encik Wong berkata laluan membina kepercayaan bukan melalui berita sensasi untuk mendapatkan pembaca, dan ST mesti meneruskan wacana awam dengan penerangan yang jelas dan fakta boleh dipercayai, terutama dalam zaman maklumat salah ini.
“Kejayaan anda tidak akan diukur dengan saiz keuntungan anda. Tetapi, dengan kepercayaan yang diraih, khalayak yang didekati dan impak yang dibuat.
“Dan untuk melakukan semua ini, anda perlu menawarkan laluan kerjaya yang berdaya saing dan tanggungjawab kerja yang bermakna – untuk menarik golongan muda yang bijak dan berdaya usaha untuk menyertai anda dan membantu membawa ST ke hadapan,” kata beliau.
Walaupun rakyat Singapura hari ini boleh mendapatkan berita daripada pelbagai sumber, Encik Wong berkata mereka tetap membaca ST untuk memahami trend sejagat melalui lensa Singapura.
Ini termasuk untuk mendapatkan perspektif Singapura yang mencerminkan nilai-nilai, kepentingan dan kedudukan Singapura di dunia.
“Sebagai sebuah negara kecil yang mengharungi dunia yang rumit dan tidak menentu, kita memerlukan institusi kukuh, berwibawa yang boleh menganalisis dengan jelas, menjelaskan secara mendalam, dan menyokong dengan yakin untuk kepentingan Singapura.
“Inilah peranan yang mesti terus dilaksanakan ST,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg