Syarikat media nasional Singapura, Mediacorp, akan memberhentikan 93 pekerja di tengah-tengah landskap media yang berkembang pesat, serta ketidaktentuan ekonomi dan komersial pada masa ini.
Bilangan pekerja yang diberhentikan itu membentuk lebih 3 peratus daripada jumlah kakitangannya.
Demikian menurut syarikat penyiaran itu dalam satu kenyataan pada 1 September.
Syarikat tersebut tidak mendedahkan jabatan yang terjejas oleh perubahan kakitangan, namun menyatakan langkah pemberhentian kerja itu melibatkan seluruh organisasi tersebut.
Kakitangan yang terjejas akan mempunyai masa hingga akhir September untuk memohon jawatan alternatif dalam syarikat itu, lapor The Straits Times (ST).
Bagi mereka yang tidak berjaya mendapatkan penempatan alternatif, hari terakhir perkhidmatan mereka adalah 30 September.
Mediacorp menarik perhatian bahawa landskap media mengalami perubahan pesat dan asas sejak beberapa tahun kebelakangan.
Kandungan dan wadah tradisional format panjang menghadapi tekanan yang semakin meningkat untuk bersaing bagi mendapatkan perhatian penonton dan pendapatan komersial.
Sebaliknya, kandungan format pendek termasuk video pendek, yang menyasarkan alat mudah alih seperti telefon bimbit, dan didorong media sosial, kini semakin diminati.
Trend industri tersebut berlaku di tengah-tengah landskap ekonomi yang semakin tidak menentu, dengan tekanan makroekonomi sejagat seperti inflasi, gangguan perdagangan dan pasaran tidak menentu menambahkan lagi kerumitan, tambahnya.
Sebagai respons kepada trend industri dan ekonomi, Mediacorp menyatakan ia mengambil langkah proaktif untuk menyelaras portfolio kandungannya, mengagihkan semula sumber ke arah format dan wadah yang menawarkan peluang pertumbuhan lebih kukuh.
Mediacorp turut melaksanakan inisiatif penjimatan kos dan menambah baik prosesnya bagi mengekalkan jawatan pekerjaan dan memberi kestabilan, sebelum mengambil langkah mengurangkan bilangan pekerja.
Kakitangan yang terjejas akan menerima pakej pampasan sebulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan dalam syarikat – sehingga 25 bulan atau $250,000, tambah Mediacorp.
Jumlah tersebut juga bergantung kepada gaji semasa dan tempoh perkhidmatan mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg