Jadual hariannya padat dan Mejar Muhammad Zacky Razali terpaksa bersengkang mata setiap hari untuk mengimbangi komitmen kerja dan keluarga sejak menyertai Kursus Komand dan Staf (CSC) di Kolej Komand dan Staf Goh Keng Swee pada Januari 2024.
Beliau biasanya menjalani pembelajaran berstruktur dari 8 pagi hingga sekitar 6 petang sebelum pulang ke rumah untuk menjadi ‘guru tuisyen’ kepada tiga anaknya yang berusia antara empat tahun dengan 12 tahun, hingga mereka tidur sekitar 9 malam.
Selepas itu, beliau akan memperuntuk masa hingga 12 tengah malam untuk mengulangkaji pelajarannya.
Rutin itu diulangi pada hari selanjutnya.
Meskipun agak memenatkan, Mejar Zacky, 35 tahun, akur berpuas hati dengan aturan itu kerana dapat mengimbangi antara komitmen tugas dan juga waktu bersama keluarga, kongsi beliau apabila ditemui Berita Harian (BH) semasa acara tamat kursus kohort ke-55 di Institut Ketenteraan Safti pada 28 Oktober.
Menambah, beliau akur berasa besar hati dapat menamatkan kursus 10 bulan itu dan berpeluang mendukung jawatan tinggi sejak membuat keputusan menyertai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada 2013.
“Menamatkan kursus ini merupakan antara kemuncak kerjaya bagi semua pegawai tentera, untuk membuka peluang meraih jawatan lebih tinggi dalam SAF.
“Peluang mendalami modul-modul strategik dan organisasi berwawasan bersama rakan-rakan sejawat dari perkhidmatan lain memberi makna yang lebih mendalam apabila saya dapat belajar bersama mereka, serta rakan-rakan antarabangsa,” ujar Mejar Zacky.
Beliau berkata kurikulum CSC telah meluaskan dan memperkaya pemikiran kritikal serta kemahiran analisisnya.
“Ia juga memberi pemahaman lebih baik mengenai isu geopolitik serta cara negara berbeza menggunakan alat yang berbeza untuk menangani keprihatinan keselamatan antarabangsa,” tambahnya.
Mejar Zacky merupakan antara 268 graduan yang terdiri daripada pegawai – sepenuh masa, perkhidmatan negara, pakar tentera, waran daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Pasukan Polis Singapura (SPF) serta pegawai antarabangsa dari 12 negara.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How, menghadiri acara khas untuk mengiktiraf pencapaian graduan itu sebagai tetamu terhormat.
Dalam pada itu, Mejar Zacky akur kejayaannya itu memerlukan pengorbanan dari segi mengimbangi masa bersama keluarga dan juga masa untuk diri sendiri.
Beliau menekankan bahawa isterinya, Cik Seri Shazanti Safari, 36 tahun, yang berkhidmat dalam sektor awam, menjadi ‘tulang belakang’ beliau dan sentiasa memastikan beliau mendapat rehat yang secukupnya.
Hal tersebut memberi Mejar Zacky kekuatan tambahan untuk terus berusaha hingga ke penghujungnya.
“Isteri saya tidak meninggalkan saya seorang diri, beliau akan berkongsi perspektifnya dalam pembelajaran saya dan mencabar pemikiran saya untuk berpandangan lebih jauh,” tambah Mejar Zacky.
Menambah, beliau berkata beliau memperuntuk masa setiap hari untuk mengulangkaji pelajaran bersama anak-anaknya, sebelum mengulangkaji pengajian sendiri.
Ini terutama kerana anak sulungnya bakal menduduki peperiksaan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan seorang lagi bakal memasuki darjah satu pada 2024.
Bapa tiga anak itu berkata: “Kami mempunyai rutin harian yang sangat teratur di mana selepas makan malam, isteri saya akan memberi sedikit masa untuk saya melakukan persiapan akademik saya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg