Cik Dhiah Qistina Mohamad, 24 tahun, telah menetap di Woodlands hampir sepanjang hidupnya.
Beliau menghargai kemudahan dan semangat kemasyarakatan yang ditawarkan oleh estet kejiranan itu.
Membesar di kawasan itu, beliau melihat Woodlands berubah, tetapi masih mengekalkan daya tarikannya yang unik.
“Saya telah menghabiskan hampir seluruh hidup saya di Woodlands.
“Dari tadika hingga pengajian tinggi, semua yang saya perlukan ada di sini. Ia berdekatan dengan Johor, dan dari Woodlands, ia agak mudah untuk menuju ke kejiranan lain juga,” kata Cik Dhiah seorang ibu kepada anak perempuan berumur 11 bulan.
Ini lebih-lebih lagi setelah Laluan Thomson-East Coast (TEL), yang menghubungkan Woodlands di utara ke bahagian timur dan bandar, dibuka secara berperingkat sejak 2020.
Setelah lama duduk Woodlands, Cik Dhiah dan keluarga mudanya berusaha untuk memohon flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Woodlands tetapi tidak berjaya.
Sekarang ini, mereka masih tinggal bersama ibu bapa Cik Dhiah di flat ‘jumbo’ mereka di Woodlands.
“Ia agak sukar untuk mendapatkan flat BTO di Woodlands. Kami juga melihat flat jualan semula tetapi sebagai keluarga muda, sukar untuk mencari flat dalam bajet kami,” luah Cik Dhiah yang tidak bekerja buat masa ini demi menjaga anaknya.
Menurut perangkaan data.gov.sg dan PropNex Research, harga purata flat jualan semula empat bilik di utara (Sembawang, Yishun dan Woodlands) ialah $542,680 dalam 10 bulan pertama 2024, berbanding $380,122 pada 2014.
Harga BTO di Woodlands bagi projek Marsiling Ridge yang dilancarkan pada Oktober 2024 pula ialah antara $329,000 dengan $457,000 bagi flat empat bilik. Sebanyak 725 permohonan diterima bagi 162 unit empat bilik di projek tersebut, atau kadar permohonan sekitar 2.8, menurut laman HDB.
Akhirnya, Cik Dhiah dan suaminya mendapatkan flat jualan semula tiga bilik di Yishun, yang sesuai dengan bajet mereka. Mereka dijangka berpindah ke Yishun pada April 2025.
Namun, keputusan itu sesuatu yang ‘pahit manis’ bagi Cik Dhiah.
“Agak menyedihkan untuk meninggalkan Woodlands, tempat saya tinggal sepanjang hidup saya. Sebaik-baiknya saya mahu tinggal di sini, dekat dengan ibu bapa saya,” katanya.
Menurut data OrangeTee & Tie, harga median flat jualan semula HDB di kawasan utara telah meningkat 42.9 peratus pada 10 bulan pertama 2024 berbanding 2014. Ini berbanding sekitar 60 peratus di kawasan pusat dan 40 peratus di kawasan timur.
Bagi rumah privet di utara pula, harga median setiap kaki persegi (psf) telah meningkat 59 peratus sepanjang sedekad lalu, daripada $891 psf pada 2014 kepada $1,416 psf pada 2024.
Ini menandakan pertumbuhan terpantas antara semua daerah bagi rumah privet, mengatasi daerah timur (41.7 peratus) dan tengah (38.6 peratus).
Penduduk kawasan utara seperti Cik Dhiah teruja dengan pembangunan masa depan Woodlands, terutama dengan projek prasarana akan datang seperti Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura yang dijangka siap pada penghujung 2026.
“Pembinaan RTS adalah sesuatu yang saya nanti-nantikan. Ia satu langkah besar untuk Woodlands, menjadikannya lebih mudah bagi mereka yang berulang-alik ke Johor,” ujar Cik Dhiah.
“Sebaik-baiknya, saya ingin terus tinggal di Woodlands. Ia adalah tempat yang baik, dan ia berkembang dengan cepat. Tetapi buat masa ini, Yishun bakal menjadi rumah baru keluarga saya.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg