Membina erti baru bagi Ramadan pertama di RKM
Membina erti baru bagi Ramadan pertama di RKM
Pengalaman baru bagi sebahagian penghuni yang berpuasa buat kali pertama
Membina erti baru bagi Ramadan pertama di RKM
Ramadan ini membawa pengalaman baru bagi 18 daripada 48 penghuni lelaki yang berpuasa buat kali pertama di Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM).
Dengan latar belakang keluarga yang rumit dan dibebani masalah, erti puasa bagi mereka ini melangkaui sekadar amalan agama.
Ia adalah satu perjalanan, pelajaran yang memahat disiplin, daya tahan, serta keyakinan diri.
Bagi menyokong mereka, kakitangan RKM mendampingi anak-anak ini dengan mesra, menyalurkan panduan dan dorongan.
Shauqi (bukan nama sebenar), 13 tahun, adalah antara yang pertama kali menyambut Ramadan di RKM sejak masuk ke rumah kebajikan itu pada Disember 2025.
Dia berkongsi, pengalaman berpuasa di RKM setakat ini dibimbing dan didorong oleh para guru serta pegawai.
“Sebelum ini saya cuma puasa kadangkala. Tapi semenjak di RKM, saya jadi lebih bersemangat dan berdisiplin untuk puasa penuh kerana semua orang seperti para pegawai dan guru memberikan saya semangat.”
“Saya dinasihatkan para guru untuk terus berpuasa walaupun melihat ada orang lain yang tak puasa. Ini sukar, tetapi sokongan sesama kawan-kawan membantu kami cekalkan hati,” tambah Shauqi.
Meskipun letih menahan lapar dan dahaga, Shauqi kekal bersemangat untuk mempertingkatkan ibadah seperti membaca Al-Quran dan solat tarawih, dengan bimbingan RKM.
“Saya juga dibimbing untuk baca Al-Quran dan solat tarawih pada bulan Ramadan ini.
“Walaupun penat, saya tetap ingin buat kerana ada kawan-kawan yang buat sama-sama dengan saya,” tambah Shauqi.
Satu majlis iftar istimewa telah diadakan pada 20 Februari di RKM di Pasir Ris.
Majlis itu menghimpunkan seramai 153 orang termasuk penghuni, ahli keluarga dan pengasuh mereka serta kakitangan RKM untuk berbuka puasa bersama.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, selaku tetamu kehormat.
Sewaktu ucapannya, Encik Zhulkarnain berkongsi bahawa majlis berbuka yang menyatukan penghuni RKM, anggota keluarga mereka dan kakitangan RKM di bawah satu bumbung itu menandakan ikatan yang mengikat mereka.
Beliau turut menekankan bahawa usaha itu menyemai harapan dan mengingatkan tentang tanggungjawab bersama untuk saling mengasihi dan prihatin.
“Usaha menyokong anak-anak dan belia di rumah kebajikan bukan perkara yang mudah.
“Ia memerlukan kesabaran, dedikasi dan kerjasama yang rapat antara keluarga, pengasuh, sukarelawan dengan masyarakat yang lebih luas.
“Apabila kita bekerjasama, kita akan membina sistem sokongan yang dapat menyediakan kestabilan, bimbingan dan dorongan kepada golongan muda ini,” katanya.
Ketua rumah kebajikan itu, Cik Rahmatunnisa Abdul Majeed, menjelaskan, pada 2026, RKM mencatat peningkatan 20 peratus penghuni.
Bagi sebahagian daripada mereka, 2026 merupakan kali pertama mereka cuba berpuasa dan kali pertama mereka menjalani Ramadan bersama RKM.
Mengulas tentang hal ini, Cik Rahmatunnisa berkata: “Oleh disebabkan kita mempunyai penghuni yang baru dan ingin berjinak-jinak dengan ibadah puasa, kita harus lebih peka dengan cara untuk melatih atau mendidik mereka dalam hal ini.”
Justeru, kelas dan kuliah penyediaan Ramadan telah diadakan bagi mempersiapkan penghuni sebulan sebelum Ramadan.
Cik Rahmatunnisa menjelaskan bahawa majlis iftar yang menyatukan para penghuni bersama ahli keluarga dan para kakitangan RKM itu mencerminkan ikatan ukhuwah sesama mereka.
Beliau berharap usaha itu bukan sahaja dapat memberi peluang kepada orang luar untuk datang dan mengenali RKM, malah ia dapat sedikit sebanyak membantu kanak-kanak penghuni untuk bersepadu semula dalam masyarakat.

