Demi mempertingkatkan lagi pendidikan Islam dan memberi kesan bermanfaat kepada masyarakat Islam Singapura, Ustazah Farah Mahamood Aljunied berusaha gigih untuk menyemak kurikulum pendidikan Islam yang ditawarkan madrasah sepenuh masa dan sambilan.
Beliau menyelia semakan kurikulum Sistem Madrasah Bersama (JMS), dengan menyelaraskan sepenuhnya kurikulum peringkat rendah, menengah dan prauniversiti. Ini bagi memastikan kandungan, strategi pengajaran dan pembelajaran serta amalan pentaksiran bertabarruj, sesuai dengan peringkat usia pelajar, bersepadu dan terkini.
Melalui semakan kurikulum JMS itu juga, Program Diploma International Baccalaureate (IBDP) mula diperkenalkan di Madrasah Aljunied. Program itu bukan sahaja melengkapkan kurikulum pengajian Islam pelajar madrasah, malah memberi mereka pengalaman pembelajaran yang lebih luas, pemahaman tentang dunia sosial dan peluang pembelajaran baru.
Untuk menjadikan program pendidikan aLIVE, yang ditawarkan di masjid-masjid setempat, lebih menarik dan boleh diikuti semua golongan pelajar pula, Ustazah Farah menyemak cara kelas itu disampaikan.
Antaranya, kelas aLIVE disampaikan dalam bahasa Inggeris supaya ia boleh diakses oleh semua umat Islam, sementara kandungan, kurikulum dan tajuk yang diajarkan pula disepadukan dan bertema.
Para pelajar aLIVE juga tidak perlu melalui peperiksaan formal. Sebaliknya, pengetahuan mereka tentang apa yang dipelajari diuji melalui penglibatan mereka dalam sesi perbincangan, pertandingan, penyediaan projek dan senarai semak.
Usahanya membuahkan hasil dan mendapat maklum balas yang menggalakkan. Antaranya, beliau diberitahu ada pelajar yang sanggup bangun awal untuk menghadiri kelas aLIVE. Mereka juga lebih yakin berbicara di depan kelas dan lebih menghormati orang tua.
Kededua semakan kurikulum JMS dan program aLIVE merupakan sebahagian khidmat Ustazah Farah sebagai pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Beliau, yang telah berkhidmat di Muis selama 26 tahun, komited mahu memajukan sektor agama dengan memupuk generasi ulama pelapis.
Meneruskan komitmennya terhadap usaha ini, beliau yang menjawat Pengarah Pengajian Tinggi dan Penyelidikan di Muis, kini ditugaskan menyelia pembentukan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
Beliau juga memimpin program Sijil Posgraduan dalam Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS), selaku Ketua Program dan menyelia unit penyelidikan, yang mentadbirkan program penyelidikan utama, yang dikenali sebagai Kajian Kejayaan Komuniti Muslim (RPCS).
Mengulas tentang dorongan mahu meneruskan kerjaya dalam pendidikan dan penyelidikan Islam yang lebih tinggi, bekas pelajar Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah dan Madrasah Aljunied Al-Islamiah itu berkata:
“Selama ini, saya berasa bahawa pendidikan madrasah mempunyai potensi tinggi. Ia memberi saya peluang mengkaji subjek dan tajuk yang tidak dapat dilakukan pelajar biasa tetapi sangat penting dalam kehidupan saya sebagai seorang Muslim.
“Mempunyai pandangan sebegitu dan mengalami sendiri pendidikan universiti yang menghimpunkan ilmu Islam dan sains sosial di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) membuat saya sedar betapa hebat dan memperkayakan program pembelajaran sebegitu. Ini menguatkan azam saya untuk berkhidmat di Kelompok Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Muis.”
Justeru, beliau berpendapat bahawa pendidikan Islam hari ini mesti disampaikan dengan cara terkini dan segar.
“Dengan jangka hayat yang semakin panjang dan golongan belia menceburi pelbagai bidang baru sama ada dalam bidang teknologi, kewangan atau gaya hidup, pendidikan Islam mesti mampu dan yakin untuk menangani perkara ini secara terbuka dan tepat pada masanya.
“Jika tidak, wacana itu akan dirampas oleh orang lain yang mungkin tidak mempunyai ilmu ataupun pengalaman untuk mengajar ataupun berdakwah tentang agama,” kata Ustazah Farah.
Menyentuh tentang penglibatan golongan muda dalam kerjaya dalam sektor agama, beliau menekankan penting untuk mereka berbuat demikian kerana mereka lebih tahu dan memahami keperluan warga Singapura.
“Orang asing mungkin mempunyai perspektif berlainan dan boleh memberi nasihat dan bimbingan berguna tetapi ia harus dilakukan dengan perundingan bersama ulama dan asatizah setempat secara terbuka.
“Amat rugi bagi masyarakat jika kita tidak meneruskan warisan memiliki ulama tempatan kita sendiri,” kata Ustazah Farah.
Bagi mereka yang mempunyai pelbagai salah tanggapan tentang kerjaya dalam sektor agama, Ustazah Farah menjelaskan bahawa kini lebih banyak dilakukan demi memastikan agar siswazah muda mempunyai pelbagai peluang menarik.
“Makmal Fatwa yang baru diperkenalkan Pejabat Mufti, program RPCS dan pelbagai projek lain di masjid-masjid kita menandakan sektor yang cergas dan berkembang.
“Ia terpulang kepada individu untuk merebut peluang dan menawarkan khidmat terhadap pekerjaan yang bermakna dan relevan dan mewakili warisannya kepada masyarakat,” katanya lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg