Seramai 82 karyawan muda dan pertengahan kerjaya daripada pelbagai sektor berkumpul bagi meneroka aplikasi praktikal kecerdasan buatan (AI) di tempat kerja.

Acara yang berlangsung di Guoco Midtown Network Hub pada 6 Jun itu dianjurkan oleh AMP Singapore dengan kerjasama Cognizant, sebagai sebahagian daripada program ‘Learning Circles’.

Diberi nama Learning Circles: AI for Impact, Community Labs for Working Professionals, acara tersebut membimbing peserta melalui aktiviti pembelajaran amali mengenai penggunaan AI Generatif dalam bidang komunikasi, membuat keputusan, penyelesaian masalah, serta pengoptimuman aliran kerja.

Para peserta digalakkan untuk mencuba pelbagai alat AI bagi memahami bagaimana teknologi ini berupaya meningkatkan produktiviti dan menyokong cara kerja yang lebih berkesan.

“Susulan sesi Kopi with AI kami awal tahun ini yang memberi tumpuan kepada peluang dalam sektor AI, Learning Circles dibangunkan sebagai langkah susulan untuk melengkapkan para peserta dengan kemahiran praktikal dan amali,” kata Pengarah Eksekutif AMP, Encik Mohksin Rashid.

Beliau menambah: “Ini adalah sebahagian daripada komitmen lebih luas kami untuk memperkukuh kesejahteraan ekonomi masyarakat Melayu/Islam dengan membantu para profesional bukan sahaja memahami sektor-sektor sedang pesat membangun, malah menterjemahkan pemahaman tersebut kepada keupayaan kerja yang nyata dan pertumbuhan kerjaya.”

Siri Learning Circles merupakan sebahagian daripada usaha AMP untuk menyediakan ruang yang mudah diakses bagi para profesional bertukar idea dan membangunkan kemahiran yang relevan dengan industri.

Melalui latihan amali dan perbincangan kumpulan, para peserta mendapat pemahaman yang lebih jelas tentang penggunaan AI bagi memudahkan tugasan rutin dan meningkatkan kecekapan harian.

Sesi itu turut menekankan kepentingan mengimbangi penggunaan AI dengan pertimbangan manusia, pemikiran kritis, serta kebolehsuaian dalam landskap tempat kerja yang sentiasa berubah.

Selain itu, para peserta turut memanfaatkan peluang pembelajaran sesama rakan sejawat dengan saling bertukar pandangan tentang bagaimana AI telah mula mencorakkan industri masing-masing.

Salah seorang peserta, Cik Khadijah Loh, 28 tahun, menyertai acara itu untuk mempelajari kejuruteraan gesaan AI (AI prompt) serta cara mengaplikasikannya dengan berkesan dalam persekitaran peribadi dan profesional.

Pengurus di sebuah syarikat multinasional itu menyatakan beliau kini lebih memahami teknik kejuruteraan gesaan yang berbeza untuk memperbaiki mutu respons yang dijana oleh AI.

“Adalah penting untuk sentiasa mengikuti perkembangan teknologi dan trend baharu ini. Dengan mempelajarinya, ia juga akan meningkatkan keyakinan kita, membangunkan kemahiran yang berkaitan dan memperkasakan individu untuk mengharungi gangguan teknologi juga,” ujar beliau.