Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menara Jurong Hill, astaka Turf City, blok Dakota Crescent akan dipulihara

May 14, 2025 | 7:29 PM
(Mengikut putaran jam, dari kiri di atas) Menara Jurong Hill, kawasan perumahan Dakota Crescent, Dewan Badminton Singapura, bekas blok pentadbiran Tentera Laut Diraja Malaya, dan astaka di Turf City telah diusulkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) untuk dipelihara sebagai warisan.
(Mengikut putaran jam, dari kiri di atas) Menara Jurong Hill, kawasan perumahan Dakota Crescent, Dewan Badminton Singapura, bekas blok pentadbiran Tentera Laut Diraja Malaya, dan astaka di Turf City telah diusulkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) untuk dipelihara sebagai warisan. - Foto fail

Menara Jurong Hill, dua astaka besar atau grandstand di Turf City di Bukit Timah, dan enam blok perumahan di kawasan Dakota Crescent telah disarankan untuk dipulihara.

Hartanah negara ini merupakan antara struktur dan bangunan di lima lokasi yang diusulkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) untuk dipulihara, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.

Dua lagi lokasi yang terlibat ialah blok lama pentadbiran Tentera Laut Diraja Malaya di Woodlands North, dan Dewan Badminton Singapura di 100 Guillemard Road.

Dalam satu hantaran Facebook pada 14 Mei, Encik Lee berkata bangunan-bangunan ini secara keseluruhan mencerminkan kisah perubahan Singapura selepas kemerdekaan, lapor The Straits Times (ST).

Sebagai contoh, Menara Jurong Hill – yang dibina pada 1969 oleh JTC Corporation – merupakan simbol perubahan perusahaan Singapura yang merdeka, dan mencerminkan aspirasi ekonomi negara pada masa itu, jelas Encik Lee.

Beliau turut berkata usaha memulihara bangunan merupakan salah satu cara penting untuk “memperkukuh rasa keterikatan kepada (sesuatu) tempat serta semangat jati diri kita sebagai rakyat Singapura”. 

Beliau menambah bahawa rancangan untuk bangunan-bangunan ini akan diketengahkan dalam pameran Draf Pelan Induk 2025 yang dijadualkan berlangsung pada Jun.

Rancangan induk URA ialah dokumen berkanun yang menjadi panduan kepada pembangunan Singapura untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, dan disemak setiap lima tahun sekali.

Setakat ini, lebih 7,200 bangunan dan struktur di lebih 100 kawasan telah dipulihara di Singapura.

Dalam satu kenyataannya, URA berkata selain mengekalkan warisan binaan, agensi pemerintah akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi mengenal pasti cara-cara lain untuk memperingati warisan penting yang telah menyumbang kepada sejarah dan budaya kolektif rakyat Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg