Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mencerap landskap S’pura pada 2026

2026 bakal lihat dasar baru perkukuh sokongan sosial, ekonomi disemak dan beberapa projek prasarana siap
Jan 4, 2026 | 2:50 PM
Siling gaji bulanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan dinaikkan daripada $7,400 kepada $8,000 mulai 1 Januari 2026 demi meningkatkan simpanan pekerja.
Siling gaji bulanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan dinaikkan daripada $7,400 kepada $8,000 mulai 1 Januari 2026 demi meningkatkan simpanan pekerja. - Foto ZAOBAO

Melangkah ke 2026, landskap domestik Singapura bakal menyaksikan pelaksanaan pelbagai dasar strategik yang telah dirancang secara berperingkat sejak beberapa tahun lalu.

Tahun 2026 dijangka menyaksikan semakan ekonomi, pengukuhan sistem sokongan sosial, dan penyiapan projek prasarana besar yang bakal mengubah cara warga Singapura berinteraksi dengan persekitaran mereka.

Daripada simpanan hari tua hingga ke cara pelajar kita berinteraksi di sekolah, 2026 merupakan tahun penyelarasan semula bagi memastikan Singapura kekal berdaya saing di peringkat sejagat.

1. Siling gaji CPF capai $8,000

Mulai 1 Januari 2026, antara perubahan yang berkuat kuasa ialah kenaikan siling gaji bulanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) daripada $7,400 kepada $8,000.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang pemerintah untuk memastikan simpanan rakyat Singapura kekal sejajar dengan pertumbuhan gaji dan kos sara hidup.

Seiring dengan kenaikan siling tersebut, kadar simpanan CPF bagi pekerja berumur 55 tahun hingga 65 tahun juga akan ditingkatkan bagi memperkukuh dana persaraan mereka.

Bagi pekerja dalam kumpulan umur ini yang berpendapatan melebihi $750 sebulan, jumlah simpanan akan meningkat 1.5 peratus. Kenaikan ini merangkumi tambahan 0.5 peratus daripada majikan dan 1 peratus daripada potongan gaji pekerja.

Secara khusus, kadar simpanan bagi pekerja berumur 55 tahun hingga 60 tahun akan meningkat menjadi 34 peratus, manakala bagi mereka yang berumur 60 tahun hingga 65 tahun akan meningkat kepada 25 peratus.

Semua wang tambahan ini akan disalurkan sepenuhnya ke dalam Akaun Persaraan (RA) bagi membantu membina simpanan hari tua yang lebih stabil dan terjamin.

2. Hukuman lebih berat bagi pesalah jalan raya

Pasukan Polis Singapura (SPF) memperketat undang-undang jalan raya melalui penguatkuasaan denda lebih berat bermula 1 Januari 2026.

Langkah ini bertujuan membendung pemanduan berbahaya dengan meningkatkan mata demerit dan kadar kompaun.

Pemandu kenderaan ringan kini berdepan denda minimum $200, manakala kesalahan serius boleh menyebabkan lesen digantung serta-merta jika mencecah 24 mata demerit.

3. Larangan telefon bijak di sekolah menengah

Mulai Januari 2026, Kementerian Pendidikan (MOE) melarang penggunaan telefon dan jam tangan bijak bagi pelajar sekolah menengah sepanjang waktu persekolahan, termasuk waktu rehat dan kegiatan kokurikulum (CCA).

Langkah ini memperluas peraturan sedia ada yang sebelum ini hanya terhad sewaktu sesi pembelajaran di kelas.

Pelajar diwajibkan menyimpan peranti mereka di tempat khas atau di dalam beg sekolah bagi mengurangkan gangguan digital dan menggalakkan interaksi sosial secara bersemuka.

Inisiatif ini bertujuan memupuk tabiat digital yang sihat dalam kalangan remaja.

Walau bagaimanapun, pihak sekolah masih boleh memberikan kelonggaran penggunaan peranti dalam kes-kes kecemasan atau pengecualian tertentu.

4. Pusingan kedua – Baucar CDC Tambahan $300

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, $800 baucar CDC akan diberikan kepada semua isi rumah selain daripada $300 yang telah diagihkan pada Januari 2025.

Jumlah $800 ini diberikan dalam dua pusingan – $500 pada Mei 2025 (yang telah diagihkan), dan $300 yang diberikan pada Januari 2026.

Baucar ini diperkenalkan semasa pandemik Covid-19 sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Singapura atas semangat kesatuan mereka sepanjang tempoh tersebut, serta untuk menyokong perniagaan.

Pembayaran baucar ini diteruskan selepas pandemik bagi membantu rakyat Singapura menghadapi kesan kenaikan harga.

5. Singapura hos pelancaran musim MotoGP 2026

Singapura telah dipilih sebagai tuan rumah bagi acara pelancaran sejagat musim MotoGP 2026 yang akan berlangsung pada 6 dan 7 Februari 2026.

Acara berprestij ini bakal menghimpunkan 22 pelumba daripada 11 pasukan handalan dunia sebelum musim perlumbaan bermula secara rasmi di Thailand pada Mac.

Singapura berjaya mengatasi calon lain seperti Kuala Lumpur dan Melbourne untuk menjadi lokasi penganjuran ini.

Pemilihan ini turut mempengaruhi jadual ujian pramusim yang dijadual berlangsung di Litar Sepang, Malaysia, sebelum para pelumba beralih ke Singapura bagi acara pelancaran tersebut.

6. Semakan Strategi Ekonomi

Singapura sedang merangka semula pelan hala tuju ekonominya menerusi Semakan Strategi Ekonomi (ESR) bagi memastikan negara ini kekal berdaya saing di peringkat sejagat dan mampu menyediakan peluang mampan untuk perniagaan serta pekerja.

Lima jawatankuasa ESR yang ditubuhkan pada Ogos lalu meneliti aspek utama termasuk daya saing sejagat, teknologi dan inovasi, keusahawanan, pembangunan modal insan serta pengurusan kesan penstrukturan ekonomi.

Jawatankuasa ini dijangka mula mengemukakan cadangan dasar dalam masa terdekat, dengan kemas kini pertengahan akan dibentang seiring Belanjawan 2026, sebelum laporan akhir dikeluarkan menjelang pertengahan 2026.

Sementara itu, kenyataan Belanjawan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong pada 12 Februari dijangka memperincikan lagi perancangan penyesuaian ekonomi Singapura, termasuk langkah membantu rakyat menghadapi perubahan teknologi yang pesat.

7. Pembukaan semula Taman Warisan Melayu

Lakaran artis bagi galeri Taman Warisan Melayu, yang bakal dibuka semula pada 2026, menampilkan artis dari zaman gemilang hiburan Melayu Singapura.
Lakaran artis bagi galeri Taman Warisan Melayu, yang bakal dibuka semula pada 2026, menampilkan artis dari zaman gemilang hiburan Melayu Singapura. - Foto TWM

Selepas lebih tiga tahun menjalani kerja pengubahsuaian, Taman Warisan Melayu (TWM) dijadual dibuka semula pada April 2026.

Seperti yang diumumkan Encik Wong, TWM yang baru akan memberikan tumpuan lebih besar kepada kepelbagaian sub-kumpulan Melayu seperti masyarakat Jawa, Bugis, Bawean dan lain-lain.

Wajah baru TWM akan menampilkan pameran yang lebih segar serta kegiatan interaktif yang membawa pengunjung mengimbau zaman kegemilangan budaya popular Melayu dan evolusi tradisi masyarakat di Singapura.

Antara tarikan utama termasuk galeri sejarah Istana Kampong Gelam di kawasan laman monumen tersebut.

Pemerintah berharap pembukaan semula ini akan menjadikan kawasan Kampong Gelam sebagai kawasan budaya lebih ikonik dan bersemangat, sekali gus memastikan warisan Melayu terus didokumentasikan dan dihargai sebagai identiti penting negara bagi generasi masa depan.

8. Sokongan keluarga: Pelaksanaan penuh cuti ibu bapa dikongsi

Mulai 1 April 2026, skim Cuti Dikongsi Ibu Bapa akan dilaksanakan sepenuhnya. Ibu bapa bakal menikmati tambahan 10 minggu cuti berbayar yang ditanggung pemerintah.

Langkah ini merupakan peningkatan daripada enam minggu yang diperkenal pada 2025, menjadikan jumlah keseluruhan cuti tambahan kepada 10 minggu untuk dikongsi ibu dan bapa.

Inisiatif ini bertujuan memberikan fleksibiliti kepada keluarga dalam mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab menjaga anak baru lahir.

Dengan pelaksanaan penuh ini, bapa kini mempunyai peluang lebih besar untuk terlibat secara aktif dalam pengurusan anak di peringkat awal.

9. Skim pulangan bekas minuman

Pengguna akan dikenakan deposit 10 sen bagi setiap botol plastik atau tin minuman mulai 1 April 2026.

Deposit ini akan dikenakan ke atas semua minuman berbungkus (150 mililiter hingga 3 liter) semasa pembelian, namun anda boleh mendapatkan semula wang tersebut sepenuhnya dengan memulangkan bekas kosong di pusat pengumpulan atau mesin layan diri khas (reverse vending machines).

Langkah ini bertujuan mengurangkan sisa di Tapak Pelupusan Semakau dan memastikan bahan kitar semula yang dikumpul lebih bersih serta bermutu.

Lebih 1,000 pusat pemulangan akan disediakan di pasar raya besar dan kawasan masyarakat bagi memudahkan orang ramai.

Walaupun terdapat tempoh peralihan untuk menghabiskan bekalan lama, semua bekas minuman diwajibkan mempunyai tanda deposit rasmi bermula 1 Oktober 2026.

10. Sokongan kewangan dan kesihatan untuk warga emas serta penjaga

Bagi meringankan beban “generasi sandwic”, pemerintah akan memperkenalkan Skim MediSave Yang Dipadankan mulai 2026.

Di bawah skim lima tahun ini, setiap satu dolar yang ditambah secara sukarela ke dalam akaun MediSave warga emas yang layak akan dipadankan oleh pemerintah sebanyak satu dolar (sehingga $1,000 setahun).

Langkah ini bertujuan membantu warga emas yang mempunyai baki MediSave yang rendah untuk menampung kos penjagaan kesihatan mereka.

Selain itu, Geran Penjagaan di Rumah (HCG) juga akan dipertingkat kepada maksimum $600 mulai April 2026.

Selain bantuan kewangan, tumpuan terhadap kesihatan mental penjaga juga menjadi aspek penting dalam perancangan jangka panjang pemerintah

11. Laluan Circle (CCL) lengkap pada 2026

Projek peluasan Laluan Circle 6 (CCL6) dijadual siap pada 2026, sekali gus melengkapkan keseluruhan laluan tersebut.

Tiga stesen baru – Keppel, Cantonment, dan Prince Edward Road – akan menghubungkan stesen HarbourFront dan Marina Bay.

Langkah ini bakal memendekkan masa perjalanan ke pusat bandar serta memberikan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di City Hall dan Raffles Place.

Sebanyak 23 tren baru yang dilengkapi teknologi pemantauan bijak akan ditambah bagi menampung peningkatan jumlah penumpang dan memastikan penyelenggaraan yang lebih cekap.

12. Umur persaraan naik dari 63 tahun ke 64 tahun

Umur persaraan akan dinaikkan kepada 64 tahun menjelang 1 Julai 2026, dengan umur pekerjaan semula akan dinaikkan kepada 69 tahun.

Ini menyusuli rancangan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang menaikkan umur persaraan dan pekerjaan semula di Singapura secara bertahap-tahap kepada 65 tahun dan 70 tahun menjelang 2030 bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin menua dan ekonomi yang dinamik.

Keseluruhannya, langkah ini membantu membina tenaga kerja yang lebih bersifat terangkum, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan, dengan warga emas dilihat sebagai aset, bukan beban.

13. OPW pastikan latihan, gaji dan pematuhan majikan seiring

Gaji Progresif mengikut Pekerjaan (Occupational Progressive Wages, OPW) bagi pentadbir dan pemandu telah dibangunkan oleh Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) untuk memastikan setiap pekerja mempunyai kemahiran sesuai melalui keperluan latihan yang ditetapkan, serta menerima gaji progresif pada setiap peringkat, sejajar dengan tahap kemahiran dan produktiviti mereka.

Di bawah rangka kerja ini, majikan perlu memenuhi keperluan OPW bagi tujuan memperbaharui pas kerja sedia ada atau membuat permohonan pas kerja baru.

Keperluan OPW ini meliputi semua warga Singapura dan penduduk tetap yang bekerja sepenuh masa atau sambilan dalam peranan pentadbiran atau pemanduan, di bawah kontrak perkhidmatan, dan yang diambil bekerja oleh syarikat yang turut menggaji pekerja asing.

14. Sambutan Hari Kebangsaan di Stadium Negara

Sambutan Hari Kebangsaan Singapura yang ke-61 pada 9 Ogos 2026 akan diadakan di Stadium Negara bagi menampung lebih ramai rakyat untuk menyaksikan perbarisan tersebut.

Stadium dengan kapasiti 55,000 tempat duduk itu lebih besar berbanding Padang, yang hanya mampu menampung 27,000 penonton.

Kali pertama dan terakhir Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) diadakan di Stadium Nasional baru adalah pada 2016 sejak dibuka pada 2014.

15. Cukai baru: Langkah hijau penerbangan Singapura mulai Oktober 2026

Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) akan memperkenalkan Cukai Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) bermula 1 Oktober 2026 bagi semua penumpang, penghantaran kargo, serta penerbangan am dan perniagaan yang berlepas dari Singapura, dengan tiket atau perkhidmatan dijual mulai 1 April 2026.

Jumlah cukai ini ditentukan berdasarkan jumlah SAF yang diperlukan untuk mencapai sasaran 1 peratus pada 2026, termasuk kos premium SAF berbanding bahan api jet biasa serta kos pensijilan, pencampuran, dan penghantaran.

Oleh kerana penerbangan jarak jauh menggunakan lebih banyak bahan api, cukai SAF berbeza mengikut jarak dan dibahagikan kepada empat zon geografi untuk memudahkan pengurusan.

Bagi penerbangan yang mempunyai beberapa hentian, cukai akan dihitung berdasar destinasi seterusnya selepas berlepas dari Singapura.

16. Wang tunai pakej jaminan: Sokongan berterusan hingga 2026

Lebih tiga juta warga Singapura dewasa berumur 21 tahun ke atas yang telah menerima Wang Tunai Pakej Jaminan (AP Cash) setiap Disember dari 2022 akan menerima bayaran terakhir pada Disember 2026.

Secara keseluruhan, warga Singapura yang layak menerima antara $700 dengan $2,250 wang tunai AP sepanjang tempoh lima tahun.

17. RTS Link: Sambungan pantas Singapura-JB dengan kapasiti tinggi mulai Disember 2026

Kereta api Laluan Rapid Transit System (RTS) yang menghubungkan Singapura dan Johor Bahru (JB), Malaysia, dijangka mula beroperasi pada suku keempat tahun 2026.

Laluan RTS ini mempunyai kapasiti puncak sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah.

Kereta api pertama akan berlepas dari setiap hujung laluan pada 6 pagi, manakala kereta api terakhir akan berlepas pada 12 tengah malam.

Kereta api ini akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands North di Singapura dengan masa perjalanan kira-kira 5 minit.

Jarak masa paling singkat antara kereta api adalah 3.6 minit.

Perkhidmatan ini disasarkan bermula pada Disember 2026 dengan lapan kereta api.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg