Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NTUC terus sokong pemerintah demi jamin pertumbuhan, pastikan ketersediaan tenaga kerja

Sep 24, 2025 | 9:16 PM
Singapura, Parlimen, Desmond Choo, NTUC
Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan, Encik Desmond Choo (SMC Tampines Changkat). - Foto MDDI

Gerakan pekerja akan terus menyokong pemerintah demi menjamin pertumbuhan, memastikan tenaga kerja bersedia bagi masa hadapan dan menangani keperluan yang bakal timbul, kata Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Desmond Choo.

Beliau berkata NTUC menghargai peranannya sebagai “penjaga pekerja” semasa mengetengahkan hujahnya dalam sidang Parlimen pada 24 September.

Encik Choo, yang juga Menteri Negara (Pertahanan), berkata ada kalanya NTUC dan barisan kepimpinan pemerintah berselisih faham mengenai cara atau kaedah untuk bergerak maju.

“Ini bermakna (kami) mempunyai keberanian untuk memaklumkan pihak pemerintah apabila sesuatu dasar, sebaik mana hasrat dasar itu, merugikan pekerja,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan kerjasama sebenar tidaklah dibentuk dengan ketiadaan perselisihan faham, tetapi menerusi kekuatan mengatasi perselisihan faham itu demi mencari hasil terbaik bagi Singapura dan warganya.

NTUC, kata Encik Choo, kekal komited dengan kerjasama tiga pihak – merujuk kepada hubungan unik Singapura antara pemerintah, NTUC dengan pihak majikan – dan prinsipnya kekal teguh.

“Ia adalah senjata rahsia negara kita – keupayaan unik untuk bersatu apabila dunia sedang bergolak,” tambah beliau.

Sehubungan itu, NTUC menggesa pemerintah agar memperluas skim Elaun Latihan Pertengahan Kerjaya SkillsFuture kepada golongan pekerja lebih muda.

Elaun itu merupakan antara komponen di bawah Program Peningkatan SkillsFuture yang pada masa ini memberikan sokongan kepada rakyat Singapura pertengahan kerjaya berusia 40 tahun dan ke atas.

Langkah itu disyorkan demi menyokong pekerja muda meningkatkan kemahiran atau menjalani latihan semula menerusi program latihan sepenuh masa atau separuh masa yang terpilih, kata Encik Choo.

Beliau berkata sayap belia kesatuan itu, NTUC Youth, juga mempersiapkan golongan muda yang ingin mencari pekerjaan.

Ini dilakukan dengan membantu mereka membina kemahiran mencari kerja, meluaskan rangkaian dan program pementoran, katanya.

Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC pula, tambah beliau, sedang memperluaskan pameran kerjaya tersasar bagi melengkapi Program Pelatih Industri bagi Lepasan Baru (GRIT) atau GRIT@Gov, yang diumumkan pada Ogos.

Menurutnya, anggota kesatuan telah mengunjungi beberapa kampus institut pengajian tinggi (IHL) dan berinteraksi dengan 12,000 belia antara April dengan Julai.

“Kami mendengar kebimbangan mereka – mengenai jurang kemahiran, sentimen pengambilan pekerja yang lebih lemah dan kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap pekerjaan peringkat permulaan.

“Kebimbangan mereka adalah nyata, dan kami harus menggandakan usaha untuk menyokong mereka,” ujar beliau.

Sentimen Encik Choo dikongsi beberapa Anggota Parlimen (AP) yang mengetengahkan hujah masing-masing.

Ini termasuk Encik Lee Hong Chuang (GRC Jurong East-Bukit Batok), Dr Charlene Chen (GRC Tampines) dan Encik Ng Shi Xuan (GRC Sembawang) – yang kesemuanya memberikan hujah sulung mereka di Parlimen sejak menjadi AP.

Encik Lee berkata sungguhpun dengan adanya Akta Pekerja Platform yang telah berkuatkuasa sejak Januari, masih banyak usaha perlu dilakukan untuk melindungi pekerja platform, sejajar dengan perkembangan ekonomi pekerjaan platform.

“Setiap hari, mereka (pekerja platform) bekerja keras menghantar makanan dan orang tersayang.

“Pekerjaan mereka mungkin kelihatan biasa, tetapi mereka menyokong kehidupan harian bagi orang ramai. Pekerjaan platform juga mencerminkan sifat ekonomi masa kini – pantas, berbeza-beza dan fleksibel.

“Dengan ekonomi platform terus berkembang, dasar kita juga mesti berkembang untuk memastikan pekerja ini tidak terpinggir oleh masyarakat,” katanya lagi.

Dr Chen pula mencadangkan agar pengambilan kerja berstruktur – merangkumi anggota panel daripada pelbagai latar belakang dan penetapan kriteria yang jelas – di tempat kerja bantu mendukung pengambilan pekerja berdasarkan merit dan bukan stereotaip.

Ini di samping membina rangkaian teladan atau ‘role model’ bagi menunjukkan golongan muda dan pekerja bahawa mereka juga layak dan berhak mencapai kejayaan.

“Seorang pekerja mungkin rajin dan berbakat, tetapi jika cara pengambilan pekerja secara tidak sedar memihak kepada mereka yang ‘dianggap sesuai’, merit tidak menjadi teras dalam keputusan tetapi sebaliknya adalah stereotaip.

“Seorang pekerja yang merasakan dirinya tidak akan pernah dipilih untuk (mendaki tangga) kepimpinan, mungkin berhenti mencuba,” ujarnya.

Encik Ng pula menyarankan pelaksanaan inisiatif masyarakat seperti lawatan syarikat dan sesi sembang bersama pihak eksekutif untuk golongan belia, sepertimana dilakukan beliau dan Cik Poh Li San (SMC Sembawang West).

Inisiatif itu, tambah beliau, akan bermula pada Oktober bagi membantu belia mendapatkan maklumat terhadap perubahan dalam pasaran pekerjaan dan pilihan kerjaya yang wujud luar dari bidang ijazah yang dipelajari.

“Menerusi interaksi saya dengan para belia, saya sedia maklum dengan kebimbangan dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi kita dan graduan baru mengenai prospek pekerjaan dan pilihan kerjaya mereka,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg