Mendaki, e2i meterai MOU perkasa masyarakat Melayu/Islam celik AI

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mendaki, e2i meterai MOU perkasa masyarakat Melayu/Islam celik AI

Feb 13, 2026 | 7:32 PM

Mendaki, e2i meterai MOU perkasa masyarakat Melayu/Islam celik AI

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
mendaki, mou, ai
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Yayasan Mendaki dan e2i dihadiri (dari kiri) Pengarah (Dasar, Perancangan dan Inovasi), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Brian Tan; Timbalan Ketua Eksekutif, Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), Cik Sivakami Gopalakrishnan; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Dr Noraslinda Zuber; Anggota Parlimen (GRC Jalan Besar), Dr Wan Rizal Wan Zakariah; dan CEO Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber. - Foto NTUC

Mendaki dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) akan bekerjasama dengan lebih rapat bagi menganjurkan bengkel kecerdasan buatan (AI) serta sesi membina rangkaian profesional berdasarkan sektor.

Dalam usaha mengukuhkan bantuan untuk masyarakat, kedua-dua pihak merancang meluaskan program Ready At Work (R@W) bagi lulusan Institut Pengajian Tinggi (IHL) mahupun pekerja pertengahan kerjaya dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam, dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Program itu bertujuan memperkasa masyarakat Melayu/Islam tidak kira latar belakang agar bersedia dari sudut kemahiran dan pemikiran dalam menempuhi ekonomi baru.

Selain itu, inisiatif ‘pop-up’ bergerak JOM AI akan dilancarkan di serata Singapura, bermula di Geylang Serai dan Woodlands untuk mendekati masyarakat sekali gus menawarkan sokongan kerjaya dan kemahiran secara langsung kepada masyarakat.

Usaha tersebut diumumkan susulan sesi Yayasan Mendaki dan e2i menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) yang bertujuan memperkasa masyarakat Melayu/Islam dalam mengharungi ekonomi berteras AI di Festival Kerjaya Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada 13 Februari.

Kerjasama itu mencerminkan iltizam kededua pihak dalam membangunkan masyarakat yang mampu menyesuaikan diri dan berdaya saing dalam ekonomi berpaksikan AI.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber, MOU tersebut turut mencerminkan sokongan padu Mendaki terhadap Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, khususnya dalam usaha memperkukuh daya tahan tenaga kerja serta mempertingkatkan keupayaan AI untuk seluruh Singapura.

Kerjasama tersebut selaras dengan inisiatif ‘Langkah Digital’ oleh M Kuasa Tiga (M³) yang diterajui Mendaki, bertujuan mengukuhkan kecelikan digital dan AI masyarakat Melayu/Islam.

Encik Feroz berkata: “Bersama e2i, kami akan menjalankan bengkel AI dan memperluas akses kepada khidmat nasihat kerjaya, pembangunan kemahiran dan peluang pekerjaan di bawah program Ready At Work oleh Mendaki serta inisiatif Langkah Digital oleh M³.

“Ini demi memastikan masyarakat kita berada pada kedudukan yang kukuh untuk merebut peluang baru dalam ekonomi yang pesat berubah.”

Beliau turut berharap kerjasama tersebut dapat melengkapkan masyarakat dengan kemahiran dan pemahaman lebih luas demi menghadapi perubahan ekonomi, tambahnya.

Beberapa usaha telah dilaksanakan bersama sebelum MOU tersebut ditandatangani dan mendapat sambutan baik daripada peserta.

Timbalan Ketua Eksekutif e2i, Cik Sivakami Gopalakrishnan, yang menandatangani MOU tersebut, berkata:

“Maklum balas daripada masyarakat tentang program dan bengkel di bawah inisiatif Langkah Digital yang diadakan sebelum ini sangat memberangsangkan.

“Sekitar 90 peratus daripada peserta yang hadir berkongsi bahawa mereka lebih bersedia menghadapi perubahan AI dalam sektor pekerjaan mereka.”

Menurut Cik Sivakami, e2i dan Mendaki akan menyajikan wadah bagi pendedahan keperluan industri, khususnya kelompok yang berisiko ketinggalan dalam arus digitalisasi yang kian pesat.

Beliau menegaskan, e2i akan terus bekerja rapat dengan Mendaki untuk memantapkan jangkauan melalui tempat interaksi masyarakat seperti di masjid dan pasar di kawasan kejiranan. – AMIRUL IBRAHIM

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg