Mendaki, IHRP jalin kerjasama tingkatkan kepakaran karyawan sumber manusia Melayu/Islam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mendaki, IHRP jalin kerjasama tingkatkan kepakaran karyawan sumber manusia Melayu/Islam

Feb 11, 2026 | 10:46 PM

Mendaki, IHRP jalin kerjasama tingkatkan kepakaran karyawan sumber manusia Melayu/Islam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber (dua dari kanan) bergambar bersama CEO Institut Karyawan Sumber Manusia, Encik Aslam Sardar (dua dari kiri) setelah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Pusat Kesatuan Kongres Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang terletak di One Marina Boulevard pada 11 Februari. Turut menyaksikan pemeteraian MOU tersebut adalah Pengerusi Mendaki, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (tengah); Timbalan CEO IHRP, Cik Shirley Lim (kiri); dan Timbalan CEO Yayasan Mendaki, Dr Noraslinda Zuber (kanan).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber (dua dari kanan) bergambar bersama CEO Institut Karyawan Sumber Manusia, Encik Aslam Sardar (dua dari kiri) setelah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Pusat Kesatuan Kongres Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang terletak di One Marina Boulevard pada 11 Februari. Turut menyaksikan pemeteraian MOU tersebut adalah Pengerusi Mendaki, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (tengah); Timbalan CEO IHRP, Cik Shirley Lim (kiri); dan Timbalan CEO Yayasan Mendaki, Dr Noraslinda Zuber (kanan). - Foto MENDAKI

Sedang landskap pekerjaan di Singapura kian berubah, ramai anak muda - terutamanya mereka yang sedang beralih daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik, dan universiti - menghadapi kebimbangan ketika memasuki alam pekerjaan.

Laluan kerjaya kini lebih luas tetapi juga lebih kompleks, dan majikan semakin mencari individu yang mampu belajar, menyumbang, dan berkembang melebihi kelayakan di atas kertas, kata Pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad.

Oleh itu, karyawan Sumber Manusia (HR) memainkan peranan penting dalam membentuk keputusan pengambilan pekerja, mempengaruhi budaya tempat kerja, serta membimbing perkembangan kerjaya awal, tambahnya.

“Apabila karyawan HR dilatih dengan baik dan diperakui, hasil dari segi pekerjaan serta semangat dan motivasi kakitangan akan bertambah baik.

“Potensi diiktiraf dengan lebih adil, dan kemahiran dipadankan dengan peluang dengan lebih berkesan.

“Ini selaras dengan misi Mendaki. Kami mahu golongan belia melihat kerjaya sebagai satu perjalanan, bukan sekadar satu destinasi atau hasil akhir semata-mata,” ujar Encik Zaqy.

Encik Zaqy, yang hadir selaku tetamu terhormat, menyatakan demikian semasa pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Yayasan Mendaki dan Institut Karyawan Sumber Manusia (IHRP).

Ia berujuan untuk menyokong pembangunan keupayaan, laluan kerjaya, serta pensijilan profesional dalam bidang HR untuk karyawan Melayu/Islam.

MOU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber, dan CEO IHRP, Encik Aslam Sardar.

Ia disaksikan Encik Zaqy; Timbalan CEO Yayasan Mendaki, Dr Noraslinda Zuber; dan Timbalan CEO IHRP, Cik Shirley Lim.

Menurut Mendaki dalam satu kenyataan media pada 11 Februari, ia menandakan kerjasama pertama antara badan Melayu/Islam tersebut dan IHRP.

Ia menggabungkan kepakaran Mendaki dalam pembangunan masyarakat di samping bakat dengan rangka kerja pensijilan serta pengetahuan industri yang diterajui IHRP.

“Melalui kerjasama strategik ini, kedua-dua pertubuhan bertujuan memupuk barisan karyawan sumber manusia, membina keupayaan yang bersedia menghadapi masa depan, serta meningkatkan pengiktirafan profesional.

“(Ini) sekali gus memperkasa karyawan Melayu/Islam untuk memainkan peranan yang lebih strategik dalam membentuk tenaga kerja Singapura pada masa hadapan,” kongsi Mendaki.

MOU tersebut merangkumi beberapa bidang kerjasama utama, termasuk menggalakkan laluan pensijilan dan pengiktirafan professional bagi pengamal sumber manusia Melayu/Islam; dan penganjuran bersama sesi rangkaian dan program pembangunan keupayaan untuk golongan pekerja; serta penggunaan alat transformasi tenaga kerja seperti Alat Diagnostik Modal Manusia dan Alat Penilaian Reka Bentuk Semula Kerja.

Selain itu, ia turut melibatkan program bimbingan berstruktur yang menghimpunkan karyawan sumber manusia Melayu/Islam bertauliah untuk membimbing dan menyokong bakat baru dalam bidang tersebut.

Semasa berucap di acara tersebut, Encik Zaqy menyifatkan perjanjian itu sebagai “satu pencapaian yang besar”.

“Kerjasama ini membuka laluan kepada pensijilan profesional serta memperkukuh kemahiran dan keupayaan karyawan (HR) kita.

“Karyawan kita boleh mengenal pasti potensi anak muda dengan lebih adil, dan memadankan kemahiran mereka dengan peluang yang sesuai,” kongsi beliau.

Mengulas tentang MOU tersebut, Encik Feroz berkata kerjasama itu merupakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh kebolehpercayaan pengamal sumber manusia Melayu/Islam.

“MOU antara Mendaki dan IHRP ini disokong kukuh oleh Rangkaian Karyawan Mendaki bagi Sumber Manusia, yang kepemimpinannya memainkan peranan penting dalam menggerakkan dan membimbing para pengamal dalam masyarakat,”

“Kerjasama ini juga selaras dengan pelan kerja Mendaki 2030, mengukuhkan komitmen kami untuk membangunkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan serta memastikan masyarakat terus berdaya tahan di tengah landskap ekonomi Singapura yang sentiasa berubah,” kongsi beliau.

Sementara itu, Encik Aslam menekankan peranan penting karyawan sumber manusia dalam membentuk tempat kerja yang adil, progresif dan bersedia menghadapi masa depan.

“Dengan membuka akses lebih luas kepada pensijilan, program pembangunan dan bimbingan, kami berharap lebih ramai pengamal Melayu/Islam diiktiraf bukan sahaja atas kepakaran mereka, tetapi juga atas impak strategik yang mereka bawa kepada organisasi masing-masing serta tenaga kerja Singapura,” katanya.

Berikutan pemeteraian MOU tersebut, lebih 40 karyawan Melayu/Islam daripada badan Melayu/Islam (MMO), serta agensi pemerintah dan korporat telah menerima pensijilan IHRP.

Salah seorang penerima yang ditemui Berita Harian (BH) ialah Penolong Pengurus Sumber Manusia di Little Paddington Preschool, Cik Nadiah Jamil.

Beliau menerima pensijilan Karyawan Bertauliah (CP), yang mengiktiraf pengamal sumber manusia dengan sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman dan kemahiran lanjutan.

Menyentuh tentang kepentingan pensijilan tersebut, Cik Nadiah berkata ia membantu meningkatkan kebolehpercayaannya sebagai pengamal HR.

“Ia melengkapkan saya dengan rangka kerja serta alat praktikal untuk menangani keperluan yang pelbagai dalam persekitaran kerja, khususnya tenaga kerja prasekolah yang terdiri daripada pelbagai peranan.

“Landskap HR juga sentiasa berubah, termasuk keperluan pematuhan yang kerap dikemas kini. Saya perlu kekal relevan dalam aspek ini, dan oleh itu pensijilan sebagai karyawan sumber manusia amat penting,” ujar beliau.

Penolong Pengurus Sumber Manusia di Little Paddington Preschool, Cik Nadiah Jamil (dua dari kanan), menerima pin Institut Karyawan Sumber Manusia (IHRP) oleh Pengerusi Mendaki, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (dua dari kanan) setelah menerima pengiktirafan Karyawan Bertauliah (CP) dalam acara HR Horizons yang diadakan di Pusat Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) di One Marina Boulevard pada 11 Februari. Bersama mereka adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber (kanan), dan CEO IHRP, Encik Aslam Sardar (kiri).
Penolong Pengurus Sumber Manusia di Little Paddington Preschool, Cik Nadiah Jamil (dua dari kanan), menerima pin Institut Karyawan Sumber Manusia (IHRP) oleh Pengerusi Mendaki, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (dua dari kanan) setelah menerima pengiktirafan Karyawan Bertauliah (CP) dalam acara HR Horizons yang diadakan di Pusat Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) di One Marina Boulevard pada 11 Februari. Bersama mereka adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber (kanan), dan CEO IHRP, Encik Aslam Sardar (kiri). - Foto MENDAKI
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg