Topic followed successfully
Go to BHkuPembangunan kemahiran insaniah kian penting dalam era AI
Pembangunan kemahiran insaniah kian penting dalam era AI
Pembangunan kemahiran insaniah kian penting dalam era AI
Tumpuan kini harus beralih kepada pembangunan kemahiran insaniah – merangkumi aspek seperti kreativiti, rasa ingin tahu dan empati – memandangkan hasil yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) dan mesin akan terus menjadi lebih baik dalam tugasan rutin.
Menjelaskan demikian, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau, berkata kemahiran sebegitu “memberi suntikan manusia” dan akan menjadi kelebihan daya saing bagi rakyat Singapura dalam era AI.
Beliau berkata begitu semasa menyampaikan hujahnya pada hari kedua perbahasan mengenai usul ‘Peralihan AI Tanpa Mengorbankan Pekerjaan’ di Parlimen pada 6 Mei.
Usul itu dibentangkan oleh Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, pada 5 Mei.
Usul yang dibentangkan Encik Ng tertumpu pada pembentukan sebuah sistem data setempat bagi membimbing dan memberikan maklumat kepada syarikat dan pekerja mengenai peranan kerja yang sedang berubah, kemahiran serta peluang pekerjaan baru yang tersedia.
Ini di samping memastikan pertumbuhan yang menggunakan AI bersifat adil, berdaya tahan dan memberi peluang kepada semua, di tengah-tengah usaha negara memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan AI.
Lantaran itu, Cik Lau berkata pemerintah akan menyemak semula sistem pendidikan bagi memastikan pelajar membangunkan nilai yang menerapkan kemahiran insaniah itu dengan ketelitian dan hasrat yang diguna pakai dalam memacu kecemerlangan akademik.
“Kita harus terus membina asas kukuh, dan memastikan pelajar kita tidak terlalu bergantung pada AI sebagai jalan pintas.
“Otak manusia adalah otot yang memerlukan senaman kerap, dan penguasaan sesebuah kemahiran – yang dapat bertahan di bawah tekanan dan tidak boleh ditiru oleh AI – hanya berhasil melalui kerja keras, latihan dan pemahaman mendalam,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa sistem pendidikan hari ini menuntut pelajar mempunyai disiplin bagi mendalami sesuatu, dan kebebasan meluaskan pengetahuan kerana “masa hadapan Singapura bergantung pada kedua-duanya”.
“Kami komited untuk melakukan perkara ini bersama-sama pendidik, ibu bapa, dan golongan muda Singapura.
“Jika kita melaksanakannya dengan betul, jika kita membangunkan generasi yang bukan sahaja celik AI bahkan turut mempunyai nilai kemanusiaan, Singapura bukan hanya akan terselamat daripada peralihan (AI) ini. Kita juga akan menjadi masyarakat yang boleh menjadi teladan kemajuan manusia pada zaman akan datang.” tambah Cik Lau.
