Topic followed successfully
Go to BHkuSaktiandi: AI pemangkin mobiliti sosial agar pekerja tidak ketinggalan
Saktiandi: AI pemangkin mobiliti sosial agar pekerja tidak ketinggalan
Saktiandi: AI pemangkin mobiliti sosial agar pekerja tidak ketinggalan
Kecerdasan buatan (AI) dapat menjadi pemangkin bagi mobiliti sosial, sekiranya akses dan peluang terkait dengan AI dikongsi secara meluas dalam kalangan rakyat Singapura, kata Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat.
Lantaran itu, beliau berkata pendekatan terhadap AI bagi Singapura harus bersifat terangkum, latihan AI perlu mudah diakses, relevan dan praktikal, agar setiap individu berpeluang menyesuaikan diri dan berkembang maju dengan perubahan itu.
Encik Saktiandi berkata demikian semasa hari kedua perbahasan mengenai usul ‘Peralihan AI Tanpa Mengorbankan Pekerjaan’ di Parlimen pada 6 Mei.
Beliau merupakan salah seorang daripada tiga penyokong usul itu, yang dibentangkan oleh Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, pada 5 Mei.
Penyokong lain ialah Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Mark Lee, dan Penolong Setiausaha Agung NTUC, Cik Yeo Wan Ling (GRC Punggol).
Usul yang dibentangkan Encik Ng tertumpu pada pembentukan sebuah sistem data setempat bagi membimbing dan memberikan maklumat kepada syarikat dan pekerja mengenai peranan kerja yang sedang berubah, kemahiran serta peluang pekerjaan baharu yang tersedia.
Ini di samping memastikan pertumbuhan yang menggunakan AI bersifat adil, berdaya tahan dan memberi peluang kepada semua, di tengah-tengah usaha negara memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan AI.
Encik Saktiandi, yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Daya Ekonomi yang diumumkan baru-baru ini, menjelaskan:
“Kita mahu pertumbuhan yang mencipta peluang dan memperkasa pekerja, bukan menggantikan mereka.
“Kami akan menilai kesan perubahan ekonomi yang akan dilakar oleh Jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR), mengenal pasti sektor dan peluang pertumbuhan baharu, serta memahami bagaimana kita boleh menggalakkan penyertaan lebih meluas bagi masyarakat Melayu/Islam dalam bidang-bidang ini.”
Beliau menukil contoh usaha yang dilakukan inisiatif di bawah rangkaian M Kuasa Tiga + (M3+) bagi meningkatkan penggunaan AI dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.
Antaranya adalah penggunaan IftaSG, alat AI Generatif (Gen AI) yang digunakan oleh Maklmal Fatwa di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi penyelidikan Fatwa.
Ini selain program Cabaran Pemacu AI dan AI untuk Usahawan Asatizah anjuran Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) bagi melengkapkan asatizah dengan kemahiran digital dan AI, tambah beliau.
Yayasan Mendaki pula menggunakan alat AI bagi mempertingkatkan mutu pembelajaran pelajar dalam Program Pencapaian Mendaki (MAP) kendalian badan itu, manakala AMP Singapura menjalankan program berteraskan AI khusus bagi golongan karyawan, ujarnya.
“Ini mencerminkan komitmen untuk memastikan kemajuan teknologi bertindak sebagai pemangkin kepada mobiliti sosial dan pertumbuhan terangkum dalam masyarakat,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Encik Saktiandi memberikan maklumat terkini berkenaan sokongan bersasar di bawah Bidang Tumpuan Empat (FA4) M3+, yang memberi tumpuan pada pekerjaan dan daya kerja.
Beliau berkata antara 2022 dengan 2025, Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) dan NTUC telah membantu lebih 29,000 individu Melayu/Islam yang mencari pekerjaan, dengan lebih 19,000 mendapat pekerjaan.
Pada masa yang sama, FA4 M3+ telah menjangkau lebih 6,000 individu Melayu/Islam yang mencari pekerjaan, dengan lebih 500 individu memperoleh pekerjaan.
Menurut beliau, ia mencerminkan “keluasan sistem pekerjaan negara” dan sejauh manakah campur tangan masyarakat masih memainkan peranan besar.
“Berdasarkan ini, aliran kerja FA4 akan memperkukuhkan fokus bagi menyokong pekerja tempuh ekonomi yang dipacu AI, dengan pekerjaan kekal sebagai hasil utama,” tambah Encik Saktiandi.
“
“Kita mahu pertumbuhan yang mencipta peluang dan memperkasa pekerja, bukan menggantikan mereka. Kami akan menilai kesan perubahan ekonomi yang akan dilakar oleh Jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR), mengenal pasti sektor dan peluang pertumbuhan baharu, serta memahami bagaimana kita boleh menggalakkan penyertaan lebih meluas bagi masyarakat Melayu/Islam dalam bidang-bidang ini.”