Yayasan Mendaki akan menempatkan 13 pegawai perhubungan atau liaison officer di serata negara untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada keluarga Melayu/Islam.
Sebagai permulaan, pegawai sepenuh masa itu akan dikerahkan ke 13 daripada 18 GRC, iaitu Marsiling-Yew Tee, Nee Soon, Sembawang, Tampines, Pasir Ris-Changi, Sengkang, Chua Chu Kang, Jurong East-Bukit Batok, West Coast-Jurong West, Marine Parade-Braddell Heights, East Coast, Jalan Besar dan Bishan-Toa Payoh.
Pegawai perhubungan tambahan akan dihantar ke lima GRC lain secara berperingkat di masa depan.
Antara lain, mereka akan menjadi pihak utama yang akan berurusan dengan keluarga Melayu/Islam di kawasan masing-masing dalam menyelaras sumber, meningkatkan kesedaran tentang program dan perkhidmatan yang disediakan Mendaki, serta menghubungkan keluarga kepada bantuan penting.
Ini demi memastikan Mendaki kekal dekat dengan keperluan masyarakat dan berkeupayaan menyampaikan sokongan yang memberi kesan kepada mereka, kata Pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran).
Pegawai perhubungan ini akan menjadi penghubung utama antara Mendaki dengan rakan kongsi masyarakat dan penduduk Melayu/Islam, kata Encik Zaqy lagi.
“Inisiatif ini akan memperkukuhkan usaha kami untuk menyampaikan khidmat peringkat akhir atau last-mile service delivery, serta mempertingkatkan lagi usaha mendekati masyarakat,” katanya.
Menurut Encik Zaqy, penempatan pegawai-pegawai ini juga seiring dengan strategi ‘Mendaki di mana-mana’ atau ‘Mendaki is everywhere’ yang bertujuan memastikan setiap keluarga dan individu mudah mengakses sokongan.
Antara lain, pegawai-pegawai itu akan menyelaras sumber setempat, memadankan keluarga dengan bantuan relevan, serta menghubungkan mereka kepada mentor dan pendamping.
Pada masa yang sama, mereka akan bekerjasama rapat dengan agensi seperti Pejabat Khidmat Sosial (SSO), ComLink+ dan Pusat Khidmat Keluarga (FSC) untuk mengenal pasti sukarelawan yang sesuai serta menyokong penerima bantuan.
Sementara itu, usaha Care Advisor Mendaki di mana pegawai Mendaki mendampingi keluarga untuk memahami keperluan mereka dan memberikan sokongan yang terkhusus akan diteruskan, kata Mendaki.
Pendekatan ini memastikan Mendaki kekal rapat dengan masyarakat, tangkas dalam memberi bantuan, dan sentiasa bersedia untuk menyampaikan sokongan yang relevan dan bermakna kepada mereka yang memerlukan,” kata Encik Zaqy.
Encik Zaqy berkata demikian semasa bercakap dengan media di majlis Penghargaan Sukarelawan Mendaki pada 22 November.
Acara yang diadakan di Forest Lodge di Taman Haiwan Singapura itu dihadiri lebih 100 relawan dan rakan kongsi Mendaki dan bertujuan meraikan relawan dan rakan kongsi yang telah memberi sumbangan bermakna kepada badan bantu diri tersebut.
Menurut Mendaki, usaha relawan dan rakan kongsi itu telah memperkasa mempertingkat kehidupan keluarga, memperkasa pelajar dan menyokong wanita yang memasuki semula pasaran kerja.
Menyentuh mengenai tenaga sukarelawan, Encik Zaqy berkata jumlah sukarelawan Mendaki telah bertambah 40 peratus daripada 1,450 orang kepada lebih 2,000 antara 2022 dengan 2025.
“Peningkatan ini amat memberangsangkan dan mencerminkan komitmen masyarakat kita terhadap semangat saling bantu membantu dan khidmat sesama insan,” tambah Encik Zaqy.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg