Mulai 2026, Yayasan Mendaki akan menyemak kriteria kelayakan pendapatan keluarga kepada pendapatan per kapita $1,000, sekali gus membolehkan lebih ramai keluarga berpendapatan rendah hingga sederhana layak menerima sokongan pendidikan.
Sebelum ini, kriteria kelayakan bagi skim bantuan Mendaki, termasuk Dana Amanah Pendidikan (ETF)-Dana Fleksi, ditetapkan pada paras pendapatan per kapita $750, selaras dengan kriteria kelayakan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (MOE).
Ini selaras dengan usaha berterusan Mendaki untuk menyokong keluarga sejak awal perjalanan pembelajaran anak mereka, termasuk pengagihan kira-kira 2,000 kit ‘Ready, Set, Primary!’ kepada keluarga pada Disember ini.
Setiap kit mengandungi keperluan asas sekolah seperti beg galas, baju hujan, beg makanan, perancang magnetik dan fail dokumen bersaiz A4 bagi membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan peralihan ke Darjah 1 dengan lebih yakin.
Kit tersebut diedarkan kepada keluarga yang menghadiri KelasMateMatika (KMM) serta keluarga daripada tadika berasaskan masjid dan pertubuhan rakan Forum Pemimpin Masyarakat (CLF).
KMM memberi kuasa kepada ibu bapa yang mempunyai anak prasekolah berusia 4 hingga 6 tahun untuk menyokong perjalanan pendidikan anak mereka, bermula dengan Matematik.
Bengkel dan aktiviti dianjurkan untuk melengkapkan ibu bapa dengan kemahiran Pengalaman Pembelajaran Perantara (MLE) supaya mereka lebih yakin untuk mengajar anak-anak asas konsep nombor.
Ibu bapa dibimbing oleh pemudah cara bertauliah tentang cara menggunakan teknik MLE yang sesuai dalam pembelajaran anak mereka.
Antara yang menerima kit ialah Cik Haslinah Hassan, 40 tahun dan anak lelakinya Putera Ardell Mikail, 6 tahun.
“Kit ‘Ready, Set, Primary!’ sangat membantu dalam merancang rutin harian kami dan menyokong pembelajaran anak saya di rumah.
“Anak saya bermotivasi dan teruja untuk memulakan fasa baru ini.
“Selepas menghadiri KMM, dia menjadi lebih yakin dan belajar pelbagai teknik untuk mendekati Matematik.
“Sebagai ibu bapa, kami juga mendapat pemahaman lebih baik tentang cara menyokong pembelajarannya,” kata Cik Haslinah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Encik Feroz Akber, selain kelengkapan sekolah, sokongan berterusan turut disediakan melalui ETF-Dana Fleksi, yang memberikan bantuan kewangan kepada pelajar Melayu/Islam berpendapatan rendah bagi memenuhi keperluan pendidikan asas, daripada kelengkapan sekolah sehingga program pengayaan dan keperluan pembelajaran lain.
“Matlamat kami ialah memastikan pelajar terus fokus kepada pembelajaran, manakala keluarga merasa yakin bahawa mereka tidak bersendirian.
“Mendaki akan terus memperkukuh dan menambahbaik program supaya sokongan yang diberikan kekal responsif, menyeluruh dan selaras dengan keperluan masyarakat kita,” ujar Encik Feroz.
Selain pengagihan kit, Mendaki turut memperkukuh sokongan awal kepada keluarga melalui program persediaan prasekolah yang dipertingkat, bengkel keibubapaan yang diperluas, perjalanan pembelajaran, aktiviti pembangunan, serta alat pembelajaran digital pada masa depan untuk membantu keluarga terus terlibat dalam pendidikan anak mereka.
“
“Matlamat kami ialah memastikan pelajar terus fokus kepada pembelajaran, manakala keluarga merasa yakin bahawa mereka tidak bersendirian. Mendaki akan terus memperkukuh dan menambahbaik program supaya sokongan yang diberikan kekal responsif, menyeluruh dan selaras dengan keperluan masyarakat kita.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg