Februari adalah masa yang tepat untuk bermain layang-layang atau menggantung loceng angin, kerana ia dikenali sebagai bulan paling berangin di Singapura.
Angin yang menderu-deru sering didengar sepanjang beberapa minggu lalu semasa musim monsun timur laut, yang biasanya memasuki fasa kering pada Februari.
Kelajuan purata angin pada Februari ialah 2.8 meter sesaat, manakala kelajuan angin purata di Singapura sepanjang tahun adalah sekitar 2 meter sesaat.
Januari adalah bulan kedua paling berangin di sini, lapor The Straits Times (ST).
ST bercakap kepada Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) dan pakar cuaca serta iklim untuk mengetahui mengapa Februari bulan paling berangin di Singapura.
Pengerusi kumpulan kerja Monsun Asia-Australia di bawah Program Penyelidikan Iklim Dunia, Dr Koh Tieh Yong, berkata Februari bulan paling berangin di Singapura kerana monsun timur laut mencapai puncak kematangannya pada bulan ini.
Semasa musim monsun, yang biasanya dari Disember hingga Mac, angin bertiup terutamanya dari arah utara atau timur laut.
Menurut MSS, yang berada di bawah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), lazimnya, angin lebih kuat pada Januari dan Februari akibat lonjakan angin timur laut,
Pada musim sejuk di hemisfera utara, udara sejuk dari Asia utara bergerak ke selatan menuju Laut China Selatan dan kawasan tropika.
Lonjakan udara sejuk ini, yang dipanggil lonjakan monsun, membawa hujan lebat dan angin kencang ke Singapura pada Disember dan Januari.
Lonjakan angin juga berlaku pada Februari, namun tanpa hujan lebat kerana monsun berada dalam fasa kering.
Jalur hujan monsun bergerak ke selatan ke Jawa, Indonesia, atau Australia utara.
“Lonjakan angin pada tempoh ini boleh membawa angin kencang ke Singapura, tetapi ia mungkin tidak disertai hujan.
“Oleh itu, Februari biasanya berangin dan agak kering,” kata MSS.
Semasa lonjakan monsun, kelajuan purata angin boleh mencapai 10 meter sesaat atau lebih, yang bersamaan dengan 35 kilometer sejam (kmj).
Dua kejadian lonjakan monsun berlaku pada Januari – yang pertama antara 10 dengan 13 Januari, dan yang kedua antara 17 dengan 19 Januari.
Kejadian pertama melebihi purata hujan bulanan negara ini pada bulan itu.
Setakat 5 Februari, kelajuan purata angin tertinggi pada 2025 ialah 39.4 kmj, dicatatkan di Seletar pada 12 dan 17 Januari semasa dua kejadian lonjakan monsun.
Kelajuan angin tertinggi setakat ini ialah 64.8 kmj, dicatat di Seletar dan Changi pada 12 Januari.
Angin kencang yang dikenali sebagai ‘Ribut Sumatera’ adalah ribut petir yang terbentuk di daerah pulau Sumatera atau Selat Melaka – juga boleh dikaitkan dengan tiupan angin yang kuat.
Semasa angin kencang, atau ribut, pada 17 September 2024, yang menjejas lebih 300 pokok di Singapura, kelajuan angin maksimum 83.2 kmj dicatatkan di East Coast Parkway.
Tiupan angin ribut paling kuat melanda Pulau Selatan dan sepanjang pantai terbuka atau kawasan tanah tinggi, terutama di sebelah barat, kata Dr Koh.
Kawasan ini termasuk Tuas Extension, Bukit Jurong dan Kent Ridge.
Kawasan ini juga menghadap ke arah ‘Ribut Sumatera’ yang mendatang, tambahnya.
Angin biasanya lebih kuat di kawasan pantai dan di laut berbanding di darat kerana terdapat kurang halangan aliran udara.
Angin pada waktu siang juga lebih kuat berbanding waktu malam, tetapi semasa lonjakan monsun, angin pada waktu malam juga kuat, kata MSS.
Pada 30 Mac 2018, ribut petir dengan kelajuan angin 133.3 kmj menyebabkan kerosakan besar di ladang Lim Chu Kang, dan seorang pekerja cedera.
Ladang ayam dan nurseri tanaman rosak, beberapa rumah ayam musnah, dan atap kandang katak di ladang ikan dan katak tercabut.
Ribut turut merosakkan paip air dan kabel elektrik, mengganggu sistem penapisan air ladang.
Dr Koh berkata: “Bumbung yang tidak dipasang dengan betul, terutama bumbung kanvas, zink atau tin, boleh tercabut dek angin kencang. Ia juga mungkin boleh mengangkut struktur kecil yang dipasang padanya.”
Pada Disember 2022, angin kuat menyebabkan 15 kontena kosong di Terminal Keppel terjatuh ke dalam laut.
Dr Koh menambah bahawa angin menderu kerana udara yang bergerak terpecah dan meniup sekitar halangan seperti bangunan.
Menurut kajian perubahan iklim Singapura yang dikeluarkan pada 2024, angin semasa musim monsun timur laut boleh menjadi hingga 20 peratus lebih kuat menjelang 2100, jika pelepasan karbon terus meningkat.
Kelajuan angin kuat juga boleh meningkat hingga 10 peratus menjelang 2100, berdasarkan kajian oleh Pusat Penyelidikan Iklim NEA Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg