Topik diikuti
Pergi ke BHkuMengapa masih ‘single’? Reda tanpa pengganti, kini rela hidup sendiri
Mengapa masih ‘single’? Reda tanpa pengganti, kini rela hidup sendiri
Mengapa masih ‘single’? Reda tanpa pengganti, kini rela hidup sendiri
Cinta pertamanya hadir pada usia remaja – indah, penuh kenangan manis dan harapan masa depan.
Namun seperti sebuah novel cinta yang berakhir tragis, hubungan itu terhenti apabila kekasih Cik Nur (bukan nama sebenar) disahkan menghidap kanser dan meninggal dunia pada usia 25 tahun.
Lebih tiga dekad berlalu, Cik Nur kini berusia 53 tahun dan masih menjalani kehidupan seorang diri, tanpa pengganti untuk cinta yang pernah mengisi hatinya.
“Dia cinta pertama saya. Hingga hari ini, saya belum berjumpa orang sebaik dirinya. Mungkin sudah takdir saya hidup sendiri. Pada tahap ini, mencari pasangan bukan lagi keutamaan,” ujar beliau yang bekerja sebagai penyelaras pentadbiran.
Dalam diam, tekanan sosial tetap hadir – soalan demi soalan daripada saudara-mara, termasuk ibunya sendiri yang pernah menggesa beliau mencari jodoh.
Namun bagi Cik Nur, realiti hidup telah lama diterima, apatah lagi dengan usianya yang kini mencecah 50-an tahun.
“Memang ada yang cuba berkenalan, tetapi dari awal lagi saya tahu dia tidak memenuhi kriteria. Saya tolak sebelum timbul perasaan. Bukan cerewet, tetapi ada perkara yang saya tidak boleh kompromi, terutamanya soal menjaga orang tua. Itu bukan perkara kecil bagi saya,” katanya.
Kini, Cik Nur tinggal bersama ibunya serta seorang adik perempuan yang juga belum berumah tangga.
Soalan “Bila nak kahwin?” bukan lagi asing. Dahulu, ia menusuk hati dan mengundang rasa pilu. Kini, beliau memilih untuk menanganinya dengan berjenaka.
“Kalau dulu memang sedih. Sekarang saya jawab saja, ‘Oh rancangnya Januari, tapi dah April, tak jadi!’” katanya sambil ketawa.
Beliau mengakui pernah mencuba jumpa orang baru, termasuk menghadiri pertemuan ‘blind date’ yang diatur keluarga. Namun, tiada keserasian atau tarikan antara mereka.
“Bukan saya tak cuba, saya dah cuba. Tapi memang tak ada tarikan. Sekarang pun, ibu saya sudah tidak bertanya lagi. Dia sudah reda, dan kami bahagia hidup bersama,” katanya, merujuk kepada bapanya yang telah meninggal dunia sejak tahun 2000.
Kehidupan bujang memberikan kebebasan - bergerak tanpa sekatan dan membuat keputusan sendiri. Namun, Cik Nur tidak menafikan wujudnya rasa sunyi, dan sesekali timbul perasaan ketinggalan, terutama apabila memikirkan pengalaman menjadi seorang ibu yang tidak pernah dirasainya.
“Saya sudah menopaus sejak umur 45 tahun. Peluang untuk ada anak pun sudah berlalu,” katanya tenang.
Ditanya sama ada beliau pernah mempertimbangkan aplikasi mencari jodoh, Cik Nur pantas menjawab, “Tidak.”
“Saya sudah tidak meletakkan harapan untuk berjumpa sesiapa. Ramai kawan suruh cuba, tapi hati ini belum terbuka lagi… mungkin suatu hari nanti,” katanya, separuh berseloroh.
