Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menjejak langkah ibu, ingin bakti sebagai guru Bahasa Melayu

Aug 1, 2025 | 7:05 PM
Berasal daripada keluarga pendidik, Cik Syasya Sazali terinspirasi daripada ibunya yang telah berkhidmat selama 24 tahun sebagai guru Bahasa Melayu. Kini, beliau bersedia mengorak langkah ke dunia pendidikan
Berasal daripada keluarga pendidik, Cik Syasya Sazali terinspirasi daripada ibunya yang telah berkhidmat selama 24 tahun sebagai guru Bahasa Melayu. Kini, beliau bersedia mengorak langkah ke dunia pendidikan - Foto ST: Mark Cheng

Sejak kecil, Cik Syasya Sazali melihat sendiri bagaimana seorang guru mampu menyentuh hati pelajarnya, bukan dari jauh, tetapi melalui teladan ibunya sendiri.

Ibunya, Encik Norlela Nor Baidin, telah mengajar Bahasa Melayu selama 24 tahun di Sekolah Rendah New Town. Beliau dikenali sebagai seorang guru yang sabar dan berdedikasi, yang sentiasa memberi galakan kepada pelajarnya untuk menghargai bahasa ibunda.

Bagi Cik Syasya, pengaruh ibunya begitu mendalam. Sebagai anak sulung daripada tiga beradik, beliau dibesarkan dalam keluarga yang menjunjung tinggi nilai pendidikan, dikelilingi oleh makcik-makcik yang bergelar pendidik.

Meskipun pengaruh keluarga menjadi latar yang kuat, hasrat untuk bergelar guru bukan sekadar mengikut tradisi, tetapi lahir daripada keinginan tulen untuk menyambung sebuah legasi yang bermakna dalam dunia pendidikan.

“Saya perasan ramai pelajar sekarang kurang selesa atau malu bertutur dalam Bahasa Melayu. Itu sebabnya saya mahu bantu pupuk keyakinan mereka, supaya mereka boleh bangga dengan bahasa sendiri,” kata Cik Syasya, 20 tahun.

Minatnya terhadap Bahasa Melayu diperkukuh apabila beliau dilantik sebagai Rakan Bahasa pada tahun 2020, di mana beliau aktif mempromosikan bahasa dan budaya Melayu dalam kalangan rakan sebaya

Syasya Sazali menerima Anugerah Perguruan Kementerian Pendidikan (MOE Teaching Award) daripada Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, pada majlis yang berlangsung di Sands Expo and Convention Centre
Syasya Sazali menerima Anugerah Perguruan Kementerian Pendidikan (MOE Teaching Award) daripada Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, pada majlis yang berlangsung di Sands Expo and Convention Centre - Foto ST: Mark Cheng

Tahun ini, Cik Syasya dipilih sebagai salah seorang daripada 146 penerima Anugerah Perguruan Kementerian Pendidikan (MOE Teaching Award),  satu pengiktirafan yang mengukuhkan azamnya untuk berbakti dalam bidang pendidikan.

Beliau baru sahaja menamatkan pengajian Diploma dalam Media, Seni dan Reka Bentuk di Politeknik Singapura, dengan pengkhususan dalam penciptaan cerita dan kandungan. Beliau merancang untuk menerapkan unsur penceritaan dan rekaan visual dalam pengajarannya.

“Saya tidak mahu sekadar mengajar berpandukan buku teks. Saya mahu mencipta pengalaman pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan,” katanya.

Cik Syasya juga berhasrat untuk menghasilkan kandungan digital interaktif seperti cerita bergambar dan bahan pembelajaran kreatif dalam Bahasa Melayu.

Beliau akan memulakan pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Ogos ini.

Mengenai biasiswa yang diterimanya, Cik Syasya berkata ia bukan sahaja membuka peluang pembelajaran, malah ruang untuk berkembang secara profesional. “Saya harap dapat menimba pengalaman dan idea daripada pendidik lain, sama ada di sini atau luar negara. Saya mahu belajar sebanyak mungkin supaya saya dapat kembali menyumbang sebagai guru yang bersemangat dan bersedia.” katanya

“Bagi saya, menjadi guru adalah tentang memberi inspirasi. Saya mahu pelajar belajar kerana ingin tahu, dan rasa yakin dengan suara dan identiti mereka,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg