Sejak sebelum Majlis Pusat Singapura diarahkan tutup pada 20 Mei lalu, kepimpinan pertubuhan itu telah dibelenggu pelbagai masalah, termasuk kesan daripada skandal sebelum ini.
Selain sukar mencari pelapis, hubungan majlis itu bersama masyarakat termasuk anggota kerabatnya mula pudar pada tahun-tahun sebelum kes penipuan projek penyalaan Lampu Hari Raya Geylang Serai terbongkar pada 2013, lantas menyebabkannya sukar untuk mengekalkan operasinya seperti dahulu.
Demikian didedahkan beberapa bekas anggota jawatankuasa eksekutif Majlis Pusat yang rapat dengan hal tersebut kepada Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Ini susulan arahan penggulungan terhadap majlis itu selepas Mahkamah Tinggi meluluskan tuntutan $393,370.91 kepada seorang pemilik syarikat yang menguruskan sebuah tajaka di Tampines bersama majlis itu.
Sebelum itu, pada 2015, tiga anggota kepimpinannya, termasuk bekas presiden Saharudin Kassim, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memalsu kenyataan kewangan berhubung perbelanjaan projek penyalaan lampu Hari Raya Geylang Serai pada 2011 dan 2012.
Saharudin yang dihukum penjara 18 bulan pada 2018 – dikurangkan daripada 42 bulan – adalah presiden majlis itu sejak 2012.
Di bawah kepimpinannya, Majlis Pusat memutuskan untuk membubarkan kerabat – yang pada zaman kemuncaknya meliputi lebih 100 anggota – dan beroperasi secara bersendirian.
Mantan presiden terakhir Majlis Pusat, Encik Suri Abu berkata, sejak majlis beroperasi bersendirian, anggota jawatankuasa tidak lagi “dapat melihat manfaat yang Majlis Pusat dapat bawakan untuk masyarakat umum.”
“Anggota jawatankuasa terdiri daripada relawan persendirian yang tidak mewakili sebarang pertubuhan. Tidak seperti ketika perlembagaan kita melibatkan anggota kerabat,” katanya.
“Jadi mereka tidak merasa kegentingan yang Majlis Pusat alami.”
Majlis Pusat, terdahulu dikenali sebagai Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu ditubuhkan pada 1969 sebagai badan induk kepada lebih 30 badan Melayu. Matlamatnya adalah untuk mendorong kemajuan masyarakat Melayu/Islam di sini sesudah kemerdekaan.
Pada zaman keemasannya, badan tersebut melibatkan sekitar 30 hingga 40 kerabat – iaitu badan dan persatuan Melayu/Islam lain yang menerajui daya usaha masing-masing meliputi pembangunan masyarakat, budaya, seni dan bahasa.
Antara lain ia menganjurkan Bulan Bahasa sejak 1982, Hadiah Sastera pada 1974 sehingga 1985 dan juga Kongres Ekonomi Masyarakat Melayu/Islam pada 1985.
Menurut mantan wartawan, Encik Raman Daud yang pernah berkhidmat dalam Majlis Pusat pada tahun 1980-an, dan kemudian menjadi penasihat, peranan majlis itu semakin diserap apabila badan Melayu/Islam tertentu lain ditubuhkan sejak tahun 1980-an.
Antaranya Yayasan Mendaki, ditubuhkan pada 1989, bagi mengendali isu pendidikan, Majlis Bahasa, serta Taman Warisan bagi bahasa, seni dan budaya, tulisnya dalam satu makalah baru-baru ini.
Selain itu, majlis itu mula “goyah” apabila mantan presiden, yang juga seorang mantan Anggota Parlimen, Encik Zulkifli Mohammed, dibayangi cabaran mencari pelapis.
Encik Zulkifli berkata pada tempoh penghujung kepimpinannya, beliau berpendapat badan baru yang muncul sebenarnya baik untuk masyarakat Singapura.
“Kami hanya fikirkan bagaimana untuk melestarikan Majlis Pusat sebab ia umpama abang besar,” katanya.
Encik Zulkifli menerajui majlis itu selama 29 tahun sebelum diambil alih Saharudin yang mahu mengubah Majlis Pusat sebagai badan profesional.
Ini termasuk keputusan menggugurkan kerabat yang telah dibina sejak kian lamanya.
Encik Raman berkata kepada BH, rancangan tersebut “memeranjatkan kerabat”.
“Majlis Pusat terus hilang kuasa dan keabsahan sebagai badan induk,” katanya.
Encik Zulkifli berkata kepada BH, beliau tidak tahu terhadap skandal itu.
“Apabila itu terjadi, saya nasihatkan supaya hutang dapat terus dilunaskan dan fikirkan terhadap bagaimana majlis dapat dilestarikan.”
Mantan Timbalan Presiden Majlis Pusat, Encik Haji Nasir Aman, 67 tahun, yang aktif dalam majlis itu sejak 1998 hingga 2014, turut bersependapat.
Dengan tiadanya kerabat, majlis itu sukar mendapat relawan pakar yang rapat dengan badan negara atau pemerintah.
“Sedangkan sejak zaman awalnya Majlis Pusat satu tempat rujukan untuk mendapat tahu tentang sentimen masyarakat Melayu,” kata pesara itu.
Encik Irianto Safari, 62 tahun, mantan naib presiden terakhir Majlis Pusat, yang mengambil alih sebagai presiden daripada Saharudin pada 2014 berkata sejak kes itu menjadi tajuk berita, kerja majlis “pada setiap mesyuarat adalah memikirkan bagaimana untuk selesaikan hutang sahaja”.
Beliau menambah pihaknya telah cuba memperbaiki imej Majlis Pusat menerusi beberapa acara seperti Pesta Buku selain memberi tumpuan kepada tajakanya.
Namun tugas itu payah, katanya.
“Ia juga sukar bagi majlis mendapatkan dana memandangkan ia sudah dikira tidak bertanggungjawab.”
Mantan Setiausaha Agung, Cik Isiah Majid, dalam satu wawancara bersama BH sebelum ini, mendedahkan hutang daripada isu lampu raya itu sebenarnya telah diselesaikan menerusi ansurans genap pada September 2023.
Namun pada bulan itu juga, Majlis Pusat diarahkan melunaskan tuntutan “baru” kepada Cik Siti Hasmah Adam, pemilik syarikat Three Aces yang pada 2015 menandatangani perjanjian bersama Majlis Pusat untuk menguruskan tajaka Little Beez Playskool di Tampines Street 45 hingga 2020.
Menurut laman Majlis Pusat, tajaka itu ditubuhkan pada 2000, dan dari 2009 hingga 2020, ia telah melantik vendor untuk menguruskan pusat tajaka itu.
Cik Siti Hasmah menuntut hampir $400,000 meliputi beberapa bayaran dan untung dituntut daripada tajaka itu, kos guaman serta kos lain daripada Majlis Pusat. Tiada bantahan dibuat pihak majlis selepas timbang tara berpihak kepada Cik Siti Hasmah pada September 2023.
Dalam kenyataannya kepada BH sebelum ini Cik Siti Hasmah berkata Majlis Pusat tidak memberi sebarang tindak balas kepadanya selama lebih empat bulan, sehingga beliau memutuskan untuk memohon arahan penggulungan terhadap majlis itu.
Meskipun selepas berunding pada April 2024, pihak Majlis Pusat tidak memberi tindak balas kepadanya, kata Cik Siti Hasmah, sehinggakan arahan penggulungan itu kemudian dikuatkuasakan pada 20 Mei.
Cik Isiah berkata sebelum ini, kekangan masa dan kurang kepakaran antara sebab majlis tidak membantah keputusan tersebut. Beliau berkata anggota jawatankuasa semua relawan dan tidak bijak dalam urusan guaman.
Beliau juga berkata, pihak Majlis Pusat telah menawarkan penyelesaian secara ansuran, mengikut kemampuan tetapi tidak mendapat persetujuan manakala tawaran dari penuntut pula terlalu berat untuk diterima.
“
“Anggota jawatankuasa terdiri daripada relawan persendirian yang tidak mewakili sebarang pertubuhan. Tidak seperti ketika perlembagaan kita melibatkan anggota kerabat. Jadi mereka tidak merasa kegentingan yang Majlis Pusat alami.”Sekilas sejarah naik dan tumbang Majlis Pusat Singapura
1969:
Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu ditubuh sebagai badan induk kepada lebih 30 badan Melayu.
1970-1980: Zaman keemasan
Anjur pelbagai seminar isu masyarakat dan lawatan ke kampung terpencil pada tahun 70-an, antara lain. Penganjur Bulan Bahasa sejak 1982.
2010: Isu Lampu Hari Raya
Majlis Pusat terlibat dalam projek penyalaan lampu Hari Raya (HRLU) Geylang Serai dari 2010- 2013.
2012: Kepimpinan baru
Saharudin Kassim ambil alih jawatan presiden daripada Encik Zulkifli Mohammed yang terajui majlis itu selama 29 tahun.
Majlis Pusat bubarkan kerabat, dan mula operasi sendiri.
2013: Siasatan dijalankan
Sebuah syarikat penganjur acara tuntut Majlis Pusat bagi baki bayaran daripada projek HRLU 2011 dan 2012.
Jabatan Ehwal Perniagaan (CAD) sahkan ada siasatan terhadap Majlis Pusat.
2014
Keluarga Cik Siti Hasmah Adam, pemilik syarikat Three Aces yang urus tajaka Little Beez Playskool bersama Majlis Pusat, labur dana demi kekalkan operasi tajaka serta Majlis Pusat.
2015: Didakwa di mahkamah
Saharudin, mantan setiausaha kewangan Abdul Ghani Tahir, dan mantan pengurus Gazaly Malek – dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan cuba menipu sebuah kementerian dan tiga agensi pemerintah berhubung perbelanjaan projek penyalaan lampu Hari Raya Geylang Serai.
2015: Kerjasama dengan Three Aces
Syarikat Three Aces dan Majlis Pusat tandatangani persetujuan untuk urus Little Beez Playskool hingga 2020.
2018: Bekas anggota dihukum penjara
Bekas Presiden, Saharudin, dijatuh hukuman penjara 42 bulan atas 10 tuduhan. Bekas Setiausaha Kewangan, Abdul Ghani, dipenjara 24 bulan atas lima tuduhan. Hukuman itu kemudian dikurangkan kepada 18 bulan bagi Saharudin, dan 12 bulan bagi Abdul Ghani.
2020:
Kerjasama antara Three Aces dan Majlis Pusat tamat. Majlis Pusat kendali tajaka secara sendirian.
2023: Tuntutan baru
Mahkamah Tinggi arahkan Majlis Pusat bayar tuntutan berjumlah $393,370.91, meliputi beberapa bayaran dan untung dituntut daripada tajaka serta kos lain, kepada Cik Siti Hasmah selepas timbang tara.
2024: Gulung tikar
Arahan penggulungan diarahkan kepada Majlis Pusat pada 20 Mei dan operasi dihentikan selepas gagal melunaskan tuntutan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg