Menjunjung warisan, membina wawasan: Dana kukuh peranan Pergas bangun pemimpin agama, sokong kebajikan asatizah
Menjunjung warisan, membina wawasan: Dana kukuh peranan Pergas bangun pemimpin agama, sokong kebajikan asatizah
Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) mengalu-alukan sokongan masyarakat Islam Singapura dalam kempen pengumpulan dananya sebanyak $2 juta sepanjang Ramadan ini.
Dana ini menyokong dan mengekalkan program-program penting yang membangunkan pemimpin agama dan menyediakan sokongan kebajikan dan latihan untuk asatizah supaya mereka dapat terus membimbing masyarakat Islam di Singapura dengan cemerlang.
Presiden Pergas, Ustaz Tarmizi Abdul Wahid menyatakan: “Usaha pengumpulan dana ini mengukuhkan salah satu asas utama masyarakat kita. Dengan menyokong asatizah kita dan menjaga mereka yang memerlukan, kita sekaligus membantu untuk memastikan kepimpinan agama kita di Singapura kekal kukuh, berkualiti, dan bersedia untuk memimpin generasi akan datang.”
Objektif Pengumpulan Dana
Beliau menjelaskan, sebagai satu-satunya organisasi yang mewakili asatizah dan ulama Singapura, Pergas memainkan peranan penting dalam:
● Membangunkan kepimpinan agama yang cekap dan bersedia untuk masa hadapan
● Menjaga kebajikan asatizah dan keluarga mereka
● Menyokong para pelajar madrasah yang kurang berkemampuan
-Meluaskan peluang pengajian siswazah dan pos-siswazah bagi para asatizah
● Memastikan kesinambungan pendidikan dan bimbingan Islam yang boleh dipercayai
Objektif pengumpulan dana ini adalah untuk menyediakan pembiayaan yang mampan untuk kebajikan, latihan dan pembangunan asatizah demi memastikan impak dan kestabilan jangka panjang.
Jumlah Sasaran dan Manfaat
Pergas menyasarkan untuk mengumpul $2 juta sepanjang Ramadan ini untuk menyokong dan mengembangkan program-program penting ini.
Dana ini akan memberi manfaat secara langsung kepada:
● Asatizah di seluruh Singapura – melalui pembangunan latihan yang berstruktur serta sokongan kebajikan
● Asatizah yang mempunyai masalah kesihatan dan kewangan
● Pelajar madrasah daripada keluarga yang berpendapatan rendah
● Asatizah yang melanjutkan pendidikan siswazah dan pos-siswazah dalam pengajian Islam
Program utama yang disokong termasuk:
Bantuan Kebajikan (bantuan kewangan secara bulanan, bantuan kecemasan, bantuan Ramadan dan inisiatif lain)
Program kebajikan seperti Madrasah Student Adoption Scheme (MSAS), Ibn Sabil Assistance Scheme (ISAS), Asatizah Financial Assistance (AFA) dan banyak lagi mencerminkan komitmen Pergas untuk menjaga mereka yang berkhidmat dan menyokong keluarga mereka.
Pergas menyediakan:
● Bantuan kewangan kepada para asatizah yang menghidap penyakit kronik, berpendapatan rendah dan warga emas
● Bantuan kecemasan semasa krisis yang tidak dijangka
● Inisiatif sokongan Ramadan
● Bantuan kewangan bagi pelajar madrasah yang menghadapi kesukaran membayar yuran sekolah mereka
Ustaz Tarmizi mengingatkan, “Ramai asatizah mendedikasikan hidup mereka untuk khidmat masyarakat tanpa jaminan kewangan yang besar. Pergas memastikan mereka menerima sokongan pada masa kesusahan, memelihara maruah dan kestabilan.”
Dermasiswa dan biasiswa sarjana muda dan pasca siswazah untuk asatizah
Program Pembangunan dan Latihan Asatizah
Latihan ini adalah penting kerana asatizah adalah tulang belakang komuniti Islam. Mereka mendidik anak-anak kita, membimbing keluarga, menasihati individu dan memberikan penjelasan tentang perkara agama yang kompleks. Pergas memastikan para asatizah kekal:
● Terlatih secara profesional dan berkualiti
● Dilengkapi untuk menangani cabaran moden yang mempengaruhi belia dan keluarga
Ustaz Tarmizi menambah: “Program-program ini memastikan bahawa asatizah kekal dilengkapi dan disokong secara profesional.”
Cara menderma
Selain menyasarkan mengumpul dana sebanyak $2 juta dolar, PERGAS menyasarkan untuk meningkatkan kepada 1000 penderma bulanan dari kira-kira 700 penderma bulanan sedia ada yang konsisten menyumbang secara tetap.
Cara-cara menyumbang adalah melalui:
1. Portal Derma Dalam Talian: donate.Pergas.org.sg
2. PayNow: UEN S57SS0012G001
3. Zakat Harta: Penderma boleh memenuhi kewajipan zakat mereka melalui Pergas untuk menyokong pendidikan agama, bantuan kebajikan dan pembangunan asatizah yang berterusan untuk masyarakat. Penderma boleh tunaikan zakat harta di pejabat Pergas di 448 Changi Road #03-01 Singapura 419975.
“Kami sangat menggalakkan penderma untuk memberi melalui portal derma dalam talian kami, di mana anda boleh memilih untuk membuat sumbangan berulang secara bulanan. Sumbangan bulanan menyediakan Pergas dengan pembiayaan yang stabil dan boleh diramal, membolehkan kami merancang program jangka panjang, mengekalkan bantuan kebajikan dan terus membangunkan asatizah kami dengan yakin. Jumlah berulang yang sederhana pun boleh mewujudkan impak yang bermakna dan berkekalan dari semasa ke semasa,” tambah Ustaz Tarmizi lagi.

