Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menlu M’sia buat lawatan rasmi ke S’pura

May 28, 2024 | 9:03 PM
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan (kiri), menemui Presiden Singapura, Encik Tharman Shanmugaratnam (kanan), di Istana pada 28 Mei.
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan (kiri), menemui Presiden Singapura, Encik Tharman Shanmugaratnam (kanan), di Istana pada 28 Mei. - Foto MCI

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, telah bertemu dengan Presiden Singapura, Encik Tharman Shanmugaratnam, di Istana pada 28 Mei, menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Semasa di Istana, beliau juga telah bertemu dengan Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, dan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi dua hari ke Singapura dari 27 hingga 28 Mei.

Semasa pertemuan itu, Tuan Presiden, Encik Wong dan Encik Lee mengesahkan perkongsian teguh dan hubungan rakyat dengan rakyat yang bersejarah antara Singapura dengan Malaysia.

“Kedua-dua pihak mengulangi komitmen kuat mereka untuk meneruskan pertukaran peringkat tinggi dan bekerjasama secara dua hala dan juga dalam Asean di tengah-tengah persekitaran geopolitik yang lebih tidak menentu.

“Encik Wong turut merakamkan penghargaannya atas jemputan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk beliau membuat lawatan pengenalan awal ke Malaysia,” kata MFA.

Semasa di sini, Datuk Mohamad Hasan, turut bertemu rakan sejawatannya, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Kedua-dua menteri menekankan peri pentingnya untuk meneruskan kerjasama erat demi manfaat bersama bagi rakyat Singapura dan Malaysia.

Ini termasuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan ketersambungan melalui inisiatif seperti Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sambil menangani isu dua hala secara membina.

“Mereka bersetuju bahawa kedua-dua pihak harus terus membuat kemajuan dalam isu-isu ini menjelang Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-11 di Malaysia akhir tahun ini (2024).

“Mereka turut membincangkan cara untuk mengukuhkan Kepusatan Asean dan memastikan bahawa Asia Tenggara kekal sebagai titik terang di peringkat sejagat,” tambah kenyataan tersebut.

Semasa pertemuan itu, Dr Balakrishnan turut menyampaikan kesediaan Singapura untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam menyokong jawatan Pengerusi Asean pada 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg