Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, bertemu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang kini berada di Singapura di bawah Program Felow S R Nathan, dari 8 hingga 10 Jun.

Dalam catatan Facebook pada 10 Jun, Dr Balakrishnan berkata kedua-dua pemimpin telah membincangkan rancangan dan keutamaan Datuk Seri Amirudin untuk pembangunan Selangor.

Semasa pertemuan itu, mereka turut meneroka bidang kerjasama yang berpotensi dan cara mengukuhkan lagi hubungan antara Singapura dengan Selangor.

Dr Balakrishnan turut berkongsi pendekatan Singapura terhadap pendidikan dan peningkatan kemahiran.

Ini bagi memastikan pekerja kekal bersedia dalam memanfaatkan peluang yang diberi oleh perubahan teknologi.

“Selangor merupakan salah sebuah negeri paling dinamik dan penting dari segi ekonomi di Malaysia.

“Memandangkan ekonomi kita semakin saling berkaitan, terdapat nilai dalam bertukar idea dan belajar daripada pengalaman antara satu sama lain,” tambahnya.

Pada 8 Jun, Datuk Seri Amirudin juga bertemu Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong di Istana, di mana Encik Lee “menyampaikan pandangan tajamnya tentang perkembangan geopolitik sejagat dan kesannya terhadap rantau ini”.

Dalam catatan Facebook pada 9 Jun, Datuk Seri Amirudin pula memuji Encik Lee “sebagai arkitek utama yang membina asas kukuh Singapura untuk membawa negara ini ke barisan hadapan ekonomi sejagat”.

“Menteri Kanan Lee kekal sebagai pemerhati yang teliti terhadap perkembangan rantau ini, dan saya menyampaikan jaminan saya kejelasan tadbir urus adalah keutamaan saya di Selangor.

“Selangor dan Singapura mempunyai banyak persamaan, sama ada dari segi sejarah atau dalam fabrik pelbagai budaya kita sekarang, dan kita mempunyai lebih banyak ruang bekerjasama bagi menangani cabaran besar yang dihadapi oleh kedua-dua masyarakat kita,” katanya.

Semasa di Singapura, Datuk Seri Amirudin juga bertemu dengan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.

Dalam catatan Facebook pada 10 Jun, Encik Lee berkata kedua-dua pemimpin berbincang tentang pendidikan dan pembangunan kemahiran, termasuk laluan pendidikan dan latihan teknikal dan kejuruan, serta usaha kesejahteraan digital untuk pelajar.

Encik Lee dan Datuk Seri Amirudin turut membincangkan bagaimana kemajuan dalam teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) membentuk semula industri dan pekerjaan, dan kepentingan dalam memastikan rakyat kedua-dua negara dilengkapi untuk peluang mendatang.

“Saya berharap dapat meneruskan pertukaran kita dan memperkukuh kerjasama dengan rakan Malaysia kita.

“Penglibatan sedemikian memberikan peluang berharga untuk kita belajar antara satu sama lain dan meneroka bidang kerjasama baharu untuk manfaat bersama,” kata Encik Lee.

Program Felow S R Nathan adalah program peringkat tinggi yang membawa pemikir dan pemimpin terkemuka ke Singapura untuk pertukaran isu kepentingan bersama.

Dilancarkan pada 2012, ia dinamakan sempena mantan Presiden S R Nathan atas khidmat cemerlang dan peranan aktifnya dalam mengembangkan rangkaian antarabangsa Singapura.