Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenteri diberi kuasa tetapkan syarikat, individu didakwa sebabkan jerebu di bawah pindaan Akta
Menteri diberi kuasa tetapkan syarikat, individu didakwa sebabkan jerebu di bawah pindaan Akta
Satu kesalahan bagi syarikat, individu lain untuk beri perkhidmatan kewangan kepada pihak ditetapkan
Menteri diberi kuasa tetapkan syarikat, individu didakwa sebabkan jerebu di bawah pindaan Akta
Pindaan terhadap undang-undang jerebu rentas sempadan Singapura antara lain memberi kuasa kepada Menteri Kemampanan dan Sekitaran untuk menetapkan syarikat atau individu yang didakwa melakukan kebakaran hutan dan menyebabkan jerebu, atau gagal mematuhi arahan atau notis.
Jika syarikat atau individu itu telah ditetapkan, adalah menjadi satu kesalahan bagi syarikat atau individu lain di Singapura untuk membeli, menjual atau memberi perkhidmatan kewangan kepada mereka.
Demikian kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, ketika membentangkan usul bagi Rang Undang-undang Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (Pindaan) (THPA), yang diluluskan sebulat suara di Parlimen pada 4 November.
Kelulusan THPA itu dibuat di bawah Sijil Tindakan Segera – usulan yang dianggap memerlukan tindakan segera supaya ia boleh diperkenalkan, dibincangkan dan diluluskan dalam satu sidang Parlimen.
Menurut kenyataan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada 4 November, mereka yang melanggar perintah sedemikian boleh dikenakan denda maksimum sebanyak $1 juta bagi setiap pelanggaran perintah.
Ini di samping denda tambahan sehingga $100,000 bagi setiap hari pelanggaran itu berterusan selepas disabit kesalahan.
MSE menambah bahawa jika sekatan tersebut melibatkan institusi kewangan, Menteri bertanggungjawab bagi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan menguruskan perintah berkenaan.
Menteri tersebut merupakan Timbalan Perdana Menteri yang juga pengerusi MAS, Encik Gan Kim Yong.
Cik Fu berkata: “Kuasa ‘menetapkan’ dan mengenakan sekatan bertujuan memberikan kesan ekonomi terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan pembakaran secara tidak bertanggungjawab atau mereka yang mempunyai kaitan dengan pembakaran.
“Pada masa yang sama, larangan tersebut memastikan pihak lain tidak berurusan dengan syarikat yang ditetapkan itu, termasuk melalui aturan perniagaan atau struktur korporat yang rumit.”
Pindaan terhadap THPA dibuat sejajar dengan pendirian pemerintah Singapura untuk menggunakan setiap instrumen perundangan dan kawal selia yang tersedia agar syarikat terkait menyebabkan jerebu serantau dipertanggungjawabkan.
Hal ini diutarakan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam, pada 19 Oktober, menyusuli keadaan jerebu di sini mencapai tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat untuk beberapa minggu pada Oktober.
Selain penetapan terhadap pihak tertentu, MSE menyatakan bahawa pindaan kepada THPA juga membolehkan syarikat tertentu – khususnya dalam sektor perhutanan dan pertanian – diberi notis.
Syarikat atau pihak yang diberi notis ini dikehendaki mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan rantaian bekalan dan urusan perniagaan mereka tidak melibatkan pihak yang menyebabkan atau menyumbang kepada risiko kebakaran, sekali gus menyebabkan asap jerebu.
Kementerian itu berkata tujuan langkah ini adalah bagi memperkukuh usaha wajar dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab di sepanjang rantaian bekalan mereka.
Cik Fu berkata: “Syarikat yang diberi notis dikehendaki mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan rantaian bekalan dan urusan perniagaan mereka tidak melibatkan pihak yang menyebabkan atau menyumbang kepada kebakaran sedemikian.
“Kegagalan mematuhi notis ini tanpa alasan munasabah merupakan satu kesalahan… syarikat dijangka mengambil langkah munasabah untuk mengenal pasti serta menangani risiko dalam urusan perniagaan mereka.
“Objektifnya bukanlah untuk memberi jaminan yang tiada risiko akan timbul sama sekali tetapi sebaliknya, ia memastikan syarikat tidak membiarkan atau ambil sikap tidak endah terhadap amalan perhutanan dan pertanian yang tidak bertanggungjawab.”
Sehubungan itu, MSE berkata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan turut diberi kuasa untuk menerbitkan senarai syarikat atau pihak yang tidak mematuhi notis atau arahan di bawah THPA bagi mengukuhkan kebertanggungjawaban terhadap orang awam.