Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Tharman: S’pura, Sweden kongsi komitmen bagi dunia adil, saksama 

Kededua negara merupakan rakan kongsi kerjasama pertahanan, perdagangan, budaya dan pendidikan
Nov 20, 2024 | 2:21 PM
Lawatan Negara oleh Raja Carl XVI Gustaf dari Sweden ke Singapura di Bangunan Parlimen bersama Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Lawatan Negara oleh Raja Carl XVI Gustaf dari Sweden ke Singapura di Bangunan Parlimen bersama Presiden Tharman Shanmugaratnam. - Foto ST

Komitmen terhadap ketertiban dunia berdasarkan peraturan yang adil dan saksama, yang dikongsi oleh Singapura dan Sweden sebagai negara kecil, lebih penting berbanding sebelum ini di tengah-tengah perpecahan yang semakin mendalam dan ketidaktentuan global.

“Sweden berusaha sedaya upaya mengatasi cabaran global secara konsisten,” kata Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 19 November.

Beliau berkata demikian pada majlis jamuan negara yang dianjurkan beliau bersama isterinya, Puan Jane Ittogi, bagi menghormati Raja Carl XVI Gustaf dari Sweden di Jubilee Ballroom, Hotel Raffles, lapor The Straits Times (ST). 

Raja Carl XVI Gustaf berada di Singapura untuk lawatan negara selama tiga hari, dari 19 hingga 21 November, dengan agenda yang merangkumi kerjasama pertahanan yang lebih kukuh, promosi perdagangan, dan pertukaran pengetahuan.

Tuan Presiden berkata bahawa kededua Singapura dan Sweden adalah rakan kongsi dalam pelbagai bidang, dari pertahanan, pendidikan dan budaya, serta mempunyai hubungan ekonomi yang kukuh.  

Hubungan ini dibuktikan dengan kehadiran syarikat-syarikat Sweden yang menggunakan Singapura sebagai pangkalan serantau, serta peluang perniagaan yang diterokai oleh syarikat-syarikat Singapura di Sweden.

Sweden sedang berusaha meningkatkan pemahaman dan tindakan antarabangsa mengenai beberapa isu penting untuk kemanusiaan, yang juga disokong oleh Singapura melalui perjanjian antarabangsa.  

Isu-isu tersebut merangkumi usaha ke arah keamanan dan keselamatan serta membina dunia lebih mampan.

Tuan Presiden juga mengucapkan terima kasih atas sumbangan rakyat Sweden dalam bidang seni dan budaya melalui pendidikan seni dan penyertaan dalam acara budaya.  

Dalam ucapannya di majlis negara, Raja Carl XVI Gustaf menyentuh mengenai bagaimana Sweden dan Singapura dihubungkan melalui aliran perdagangan yang saling memberi manfaat, serta nilai bersama seperti komitmen terhadap sains dan penyelidikan.

Sweden merupakan rakan perdagangan barangan ke-9 terbesar Singapura dalam Kesatuan Eropah (EU) dan destinasi pelaburan EU ke-11 terbesar. 

Pada 2023, jumlah perdagangan barangan dua hala berjumlah $2.2 bilion, manakala perdagangan dalam perkhidmatan berjumlah sekitar $1 bilion.

Selain daripada perkongsian yang telah dibina dan diperkukuhkan antara kededua negara, lawatannya juga membuka jalan untuk lebih banyak kerjasama antara industri, agensi, dan institusi akademik, kata Raja Carl XVI Gustaf.  

Pada 19 November, Raja Sweden, memulakan lawatan negara dengan mengunjungi Tuan Presiden di Bangunan Parlimen pada waktu pagi.

Mereka membincangkan pengukuhan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang, termasuk penyelidikan dan pembangunan, pengangkutan, kemampanan dan pertahanan, menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura.  

Raja Carl XVI Gustaf kemudian melawat Taman Botani Singapura, di mana beliau dihadiahkan sejenis orkid hibrid yang dinamakan sempena nama baginda.

Selepas itu, beliau dijamu makan tengah hari oleh Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Mereka bertukar pandangan mengenai perkembangan antarabangsa dan bagaimana kededua negara menangani cabaran yang sama, kata SM Lee dalam satu catatan Facebook.

Raja Carl XVI Gustaf kemudian melawat Marina Bay Sands dan Bendungan Marina untuk memahami usaha pembangunan dan kemampanan Singapura.

Ini merupakan lawatan negara pertama Raja Carl XVI Gustaf ke Singapura, walaupun beliau pernah mengunjungi negara ini dua kali dalam kapasiti lain sebelum ini.

Pada 20 November, Raja Carl XVI Gustaf akan menghadiri Forum Perniagaan Diraja Singapura-Sweden 2024 di The Fullerton Hotel Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg