Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah bertemu pemimpin dari Mesir dan Vietnam pada hari terakhir Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil.
Mengulas dalam satu catatan di media sosialnya tentang pertemuannya dengan Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, Encik Wong berkata Mesir dan Singapura berkongsi minat bersama dalam mempromosikan keharmonian antara agama.
Beliau juga menyatakan penghargaannya kepada Universiti Al-Azhar di Mesir, yang telah menghasilkan ramai asatizah Singapura yang berkelulusan dari sana, serta sokongannya semasa Singapura membangunkan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
Kolej baru itu dijadual dibuka pada 2028 dengan pengambilan awal sehingga 60 pelajar, dan bertujuan mendidik ilmu agama melalui perspektif masyarakat berbilang kaum dan agama Singapura.
Dalam catatannya juga, Encik Wong turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden al-Sisi kerana memudahkan bantuan Singapura ke Gaza.
“Kami akan terus bekerjasama dengan Mesir untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan ke Gaza,” katanya.
Encik Wong turut berkata beliau telah mengadakan pertemuan produktif dengan rakan sejawatannya dari Vietnam, Perdana Menteri Encik Pham Minh Chinh, dan berharap dapat melawat negara itu pada 2025.
Kedua-dua Singapura dan Vietnam sedang berusaha meningkatkan hubungan mereka ke arah perkongsian strategik yang menyeluruh.
Semasa menghadiri Sidang Puncak G20, Encik Wong turut menghadiri acara sampingan mengenai prasarana awam digital, kecerdasan buatan (AI) dan data untuk tadbir urus, dan beliau turut bertemu Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi.
Selain itu, beliau telah berucap di perbincangan mengenai pembangunan mampan, dan mengulangi gesaannya agar negara meletakkan harga karbon bagi menangani pemanasan sejagat.
Sebelum ini, beliau menggesa para pemimpin berbuat demikian pada 16 November, pada sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec).
“Apabila kita mempunyai harga karbon, kita boleh bekerjasama dalam pasaran karbon untuk menggerakkan pembiayaan awam dan swasta untuk tindakan iklim,” kata Encik Wong pada 19 November.
Meletakkan harga karbon boleh melibatkan pelaksanaan cukai karbon, atau mempunyai piawaian dan peraturan baru yang akan menjadikan karbon lebih mahal dan mengurangkan permintaan, katanya.
Encik Wong turut bercakap mengenai pencapaian yang diwakili oleh Perjanjian bagi Kepelbagaian Biologi Marin Kawasan Melangkaui Bidang Kuasa Negara (BBNJ).
Perjanjian penting untuk melindungi hidupan di kawasan marin di luar bidang kuasa negara itu telah dipersetujui pada 2023.
“Sebenarnya adalah luar biasa bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dapat menerima pakai perjanjian baru ini secara konsensus pada masa dunia tidak tenang dan berpecah belah.
“Ia menunjukkan bahawa walaupun terdapat perbezaan, kita masih boleh bersatu untuk menangani cabaran yang penting kepada kita semua,” katanya.
Encik Wong menekankan sumbangan Duta Besar Singapura bagi Undang-Undang Antarabangsa, Cik Rena Lee, yang mempengerusikan rundingan rumit selama bertahun-tahun sebelum konsensus mengenai perjanjian itu dicapai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg