Hubungan pertahanan dua hala yang erat dan sudah terjalin sekian lama antara Singapura dengan Indonesia diperkukuhkan lagi selepas Menteri Pertahanan Indonesia, Leftenan-Jeneral (LG) (Bersara) Sjafrie Sjamsoeddin, mengadakan lawatan pengenalan ke Singapura pada 20 Januari.
Ini merupakan lawatan beliau yang pertama ke luar negara sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan Indonesia pada Oktober 2024.
Dalam satu kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 20 Januari, LG (Bersara) Sjafrie disambut oleh Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, dengan penuh istiadat bersama Kawalan Kehormatan di ibu pejabat Mindef.
Beliau kemudian mengadakan pertemuan bersama Dr Ng, dengan kedua-dua menteri mengesahkan hubungan pertahanan dua hala yang erat antara kedua-dua negara.
Sebagai sebahagian daripada Perjanjian Kerjasama Pertahanan (DCA) antara Singapura dengan Indonesia, Dr Ng dan LG (Bersara) Sjafrie turut membincangkan cara memajukan kerjasama dan interaksi antara pertubuhan pertahanan negara.
DCA, yang berkuat kuasa pada Mac 2024, menjelaskan pengaturan latihan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di perairan dan ruang udara Indonesia. Ia kekal berkuat kuasa selama 25 tahun.
Mereka juga membincangkan cabaran keselamatan di rantau ini dan memajukan kerjasama keselamatan di forum pelbagai hala seperti Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean (ADMM) dan ADMM-Plus.
Mindef berkata pertubuhan pertahanan Singapura dan Indonesia berinteraksi secara kerap, seperti melalui latihan, lawatan, pertukaran profesional dan kehadiran silang kursus.
“Interaksi ini meningkatkan persefahaman bersama, mengukuhkan hubungan antara kedua-dua warga negara dengan profesionalisme antara kedua-dua tentera,” tambah Mindef.
LG (Bersara) Sjafrie, yang berada di Singapura bersama delegasi pegawai kanan Indonesia, turut bertemu Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.
Beliau juga akan memberikan ucapan khas pada Mesyuarat Sherpa Dialog Shangri-La (SLD) kendalian Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) ke-13 pada 20 Januari.
Singapura merupakan negara persinggahan kedua beliau selepas Malaysia.
Pada 6 November lalu, Dr Ng dan LG (Bersara) Sjafrie bertemu di Istana Merdeka, Jakarta, sebagai sebahagian daripada rombongan Encik Wong semasa lawatan pengenalannya ke Indonesia dari 5 hingga 6 November.
Kedua-dua menteri melahirkan kemajuan baik yang dicapai dalam pelaksanaan DCA sambil membincangkan cara meningkatkan lagi kerjasama pertahanan antara kededua negara, menurut kenyataan Mindef pada 6 November.
Mereka juga mengesahkan hubungan pertahanan yang rapat dan lama antara Singapura dengan Indonesia.
“
“Interaksi ini meningkatkan persefahaman bersama, mengukuhkan hubungan antara kedua-dua warga negara dengan profesionalisme antara kedua-dua tentera.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg