Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tentera S’pura, Brunei jayakan ‘Latihan Maju Bersama’ edisi ke-27

Dec 11, 2024 | 5:15 PM
Askar dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Pasukan Darat Diraja Brunei (RBLF) berinteraksi semasa menjayakan ‘Latuhan Maju Bersama’.
Askar dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Pasukan Darat Diraja Brunei (RBLF) berinteraksi semasa menjayakan ‘Latuhan Maju Bersama’. - Foto MINDEF

Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Pasukan Darat Diraja Brunei (RBLF) telah menjayakan Latihan Maju Bersama edisi ke-27 dari 5 hingga 11 Disember 2024.

Sekitar 250 kakitangan dari Ibu Pejabat Briged Berperisai Singapura Ke-8, Batalion ke-41, Rejimen Bersenjata Singapura, dan Batalion Ketiga RBLF mengambil bahagian dalam latihan dua hala itu.

Latihan pada 2024 itu merangkumi pertukaran profesional seperti perkongsian silang sistem senjata dan latihan peringkat syarikat operasi bandar, serta latihan menembak sebenar di Kompleks Lapangan Berbilang Misi dan berakhir dengan serangan bersama oleh kededua tentera di Kemudahan Latihan Bandar Murai.

“Tahun ini (2024) menandakan edisi ke-27 latihan ini yang merupakan bukti komitmen teguh oleh kedua-dua negara terhadap keamanan dan keselamatan serantau, serta hubungan istimewa kita yang semakin erat,” kata Panglima Tentera Darat, Mejar Jeneral (MG) David Neo, semasa majlis perasmian itu.

“Satu ciri penting hubungan dua hala kita adalah Latihan Maju Bersama, yang menyediakan peluang pembelajaran berharga untuk mengukuhkan hubungan profesional, bertukar amalan baik dan menjalin saling keupayaan yang lebih kukuh.”

MG Neo menambah: “Yang penting, latihan ini bantu membina persahabatan yang kukuh dan kepercayaan antara askar kita”.

Menurut beliau, persahabatan yang terjalin daripada pengalaman bersama dan latihan yang penuh cabaran itu akan menjadi asas bagi hubungan dua hala antara kededua negara yang lebih luas.

Satu kenyataan Mindef pada 11 Disember berkata Latihan Maju Bersama menekankan hubungan pertahanan yang rapat dan lama terbina antara Singapura dengan Brunei, serta menyediakan platform yang berharga bagi kededua tentera memupuk persefahaman bersama melalui interaksi profesional.

Selain Latihan Maju Bersama, SAF dan RBLF juga berinteraksi secara tetap melalui lawatan peringkat tinggi, pertukaran profesional dan kursus, serta latihan dua hala lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg