Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengakuan pegawai SAF: Tiada siapa ngadu kerja lewat

Semangat sepasukan kukuh dan utuh
Dec 21, 2024 | 5:30 AM
Leftenan Kolonel (LTC) Frank Yap merupakan penyelaras awal bagi seluruh operasi penerbangan dalam Operasi Flying Eagle ketika itu, bagi operasi yang termasuk mencari, mengesan dan memindahkan mangsa bencana.
Leftenan Kolonel (LTC) Frank Yap merupakan penyelaras awal bagi seluruh operasi penerbangan dalam Operasi Flying Eagle ketika itu, bagi operasi yang termasuk mencari, mengesan dan memindahkan mangsa bencana. - Foto BH oleh DIAN A’QIDAH AHMAD YATIM

Pertemuan secara tidak dirancang dengan seorang kanak-kanak beberapa hari selepas tsunami di Aceh pada 2004 membuat Leftenan Kolonel (LTC) Frank Yap terfikir bagaimana sekiranya tsunami melanda Singapura dan mangsa tersebut adalah “anak-anak kita”.

Menurut LTC Yap yang ketika itu juruterbang helikopter Super Puma AS332, ia bak dorongan baginya untuk memberikan khidmat lebih baik kepada mangsa yang dilanda bencana tsunami itu.

Semasa ditemu ramah Berita Harian (BH) bagi laporan khas sempena memperingati dua dekad tsunami, LTC Yap, yang dahulu merupakan salah seorang penyelaras awal bagi seluruh operasi penerbangan dalam Operasi Flying Eagle, berkata:

“Terdapat satu kejadian apabila saya bertemu lalu berbual dengan seorang kanak-kanak.

“Katanya hari itu merupakan hari bersukan, dan abang, kakak serta ibu bapanya menghadiri acara sukan itu.

“Dia masih berusia enam tahun ketika itu lalu ditinggal di rumah bersama neneknya.

“Malangnya, tsunami melanda dan kededua ibu bapanya selain adik-beradiknya semua hilang.

“Akibatnya, dia hidup sebatang kara dan ini membuat saya terfikir, sekiranya kejadian sedemikian benar-benar berlaku kepada kita, bagaimana perasaan anak-anak kita dan bagaimana reaksi mereka?”

LTC Yap menambah: “Ia sebenarnya banyak mendorong kami untuk memberikan khidmat yang lebih baik.

“Tiada sesiapa daripada kami yang mengadu apabila bekerja sehingga lewat.

“Semua orang hanya berikan ‘khidmat’ 110 peratus dan saya gembira bahawa pengalaman yang kami lalui setiap hari menjadikan kami sebuah pasukan yang kukuh.”

Operasi Flying Eagle merupakan misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang diselaraskan oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Menyusuli bencana tsunami, SAF memberikan respons pantas dalam kemampuannya dan menawarkan bantuan yang memerlukan kepada negara terjejas.

Untuk misi HADR bagi bencana tsunami itu, ia berlangsung selama dua bulan dari 28 Disember 2004 sehingga 25 Februari 2005.

Menurut kertas fakta Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 26 Disember 2014, lebih 1,200 anggota SAF telah dikerah ke Aceh ketika itu.

Di samping itu, tiga kapal pemunggah darat (LST); lapan helikopter Chinook Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF); empat helikopter Super Puma RSAF; enam pesawat C-130 RSAF; dan dua pesawat Fokker 50 RSAF; serta peralatan berat, dan jurutera telah dikerah ke pelbagai kawasan yang terjejas di Medan, Banda Aceh, dan Meulaboh di Indonesia, selain Phuket di Thailand.

Antara operasi SAF termasuk mencari, mengesan, memindahkan mangsa, menghantar bantuan kecemasan, menawarkan bantuan logistik dan membantu dalam usaha pembangunan semula.

Seorang lagi anggota SAF yang ditemui BH, Dr Edwin Low, berkata beliau memilih menyertai misi tersebut secara sukarela semasa berlakunya tsunami pada 26 Disember 2004.

Ketika itu, Dr Low baru sahaja melepaskan jawatannya selaku ketua pegawai perubatan laut pada Julai 2004 dan kemudian bertindak selaku komander pasukan perubatan semasa bencana itu melanda.

Menurutnya ketika itu, beliau sudah menyertai SAF selama 20 tahun.

“Saya kemudian memilih menyertai misi itu secara sukarela dan akhirnya memimpin pasukan perubatan bagi pasukan agensi berbilang ketika itu.

“Saya sedar kesan bencana itu amat buruk.

“Maka pada masa itu, tumpuan kami adalah kepada jiran terdekat kita dan sesiapa yang akan terjejas, dan bagaimana kami dapat membantu,” ujarnya, yang mulanya agak kurang pasti dengan apa yang akan dihadapinya ketika itu.

Menyingkap tentang kecederaan yang dialami mangsa, Dr Low berkata, pada awalnya beliau melihat banyak kesan trauma dalam beberapa hari pertama beliau berada di Aceh.

Beliau masih teringat bagaimana pihaknya perlu membantu membersihkan kesan kecederaan seperti luka yang dialami mangsa ketika itu.

“Kami lihat banyak kes sedemikian dalam beberapa hari pertama kami di sana.

“Kes trauma seperti keretakan tulang, pembedahan kecil, membersihkan luka dan lain-lain lagi.

“Namun ia berkurangan beberapa hari kemudian dan selepas itu kami memberi bantuan dari sudut sokongan kepada pesakit yang mengalami penyakit kronik dan mereka kekurangan ubat,” katanya.

Di samping itu, terdapat juga kes pihaknya perlu menguruskan masalah mental dalam kalangan mangsa selepas bencana itu.

Kebetulan, pihaknya turut membawa masuk pakar psikologi dan kaunselor dan telah membantu menangani isu kesihatan mental mangsa.

Di sebalik kesan trauma, kecederaan dan isu kesihatan lain yang dialami mangsa, Dr Low berkata orang ramai tetap akur mematuhi arahan yang diberi.

“Salah satu sikap yang saya perasan juga adalah terhadap pasukan perubatan mereka yang meskipun kehilangan anggota keluarga, tetap bekerja sepanjang masa.

“Orang ramai juga tidak kelam kabut dan ini membuat saya berpandangan bahawa mereka berani, cekal hati dan tidak mementingkan diri sendiri.

“Sebaliknya saling membantu satu sama lain walau apa jua situasi sukar yang dialami dan mungkin itulah semangat kampung yang dapat dilihat,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg