Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menyamar sebagai pekerja M1, MAS: Mangsa rugi $362,000

Oct 7, 2025 | 2:04 PM
penipuan, samar, M1, MAS
Polis berkata sekurang-kurangnya 13 kes penipuan menyamar sebagai pegawai pemerintah yang melibatkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan syarikat telekomunikasi M1 telah dilaporkan sejak September. - Foto fail

Berhati-hati jika anda menerima panggilan daripada individu yang mendakwa mereka pekerja M1 yang menawarkan untuk menyelesaikan bayaran tertunggak atau penghantaran telefon kerana mereka mungkin penipu, kata polis.

Dalam satu nasihat yang dikeluarkan pada 6 Oktober, polis memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 13 kes penipuan menyamar sebagai pegawai pemerintah yang melibatkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan syarikat telekomunikasi M1 telah dilaporkan sejak September, dengan jumlah kerugian mencecah sekurang-kurangnya $362,000.

Mangsa biasanya menerima panggilan yang tidak disangka, termasuk melalui WhatsApp, daripada penipu yang menyamar sebagai pekerja M1, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Panggilan tersebut akan mendakwa bahawa mangsa mempunyai bayaran tertunggak atau penghantaran telefon yang berkaitan dengan pelan mudah alih sedia ada. 

Apabila mangsa menafikan langganan tersebut, mereka akan diminta menghubungi ‘khidmat pelanggan’ melalui WhatsApp untuk menamatkan pelan tersebut.

Mangsa kemudian akan disambungkan kepada penipu lain yang menyamar sebagai pegawai MAS, yang mendakwa bahawa maklumat peribadi mereka telah disalahgunakan untuk aktiviti jenayah seperti pengubahan wang haram atau penipuan.

Mangsa akan diarahkan untuk memindahkan wang ke akaun yang kononnya ‘akaun keselamatan’, membuat pembayaran melalui PayNow atau mata wang kripto, atau menyerahkan wang tunai kepada individu yang tidak dikenali. 

Dalam beberapa kes, mereka diminta untuk berkongsi skrin telefon mereka melalui WhatsApp semasa log masuk ke akaun bank.

Mangsa menyedari mereka telah ditipu apabila penipu meminta lebih banyak wang atau selepas mereka mengesahkan panggilan tersebut dengan pihak polis.

Polis menegaskan agar kita tidak sekali-kali memindahkan wang atau barang berharga kepada individu yang tidak dikenali, berkongsi maklumat bank, atau memuat turun aplikasi mudah alih dari sumber yang tidak rasmi.

Pegawai pemerintah, termasuk yang dari MAS, tidak akan pernah meminta pemindahan wang atau log masuk bank melalui telefon.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.scamshield.gov.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg