Mercy Relief Singapura telah menghantar sebuah pasukan ke Bangladesh untuk membantu mangsa banjir di sana.
Mercy Relief menyatakan seramai 5.2 juta orang terjejas akibat banjir yang berlaku sejak 22 Ogos dan menjejas 11 daerah di Timur Laut dan Tenggara Bangladesh.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Mercy Relief pada 13 September, pasukan yang diketuai oleh Pengarah Eksekutif Mercy Relief, Encik Muhammad Ashik, sudah tiba di Noakhali, sebuah daerah paling teruk terjejas di Bangladesh.
Mereka telah mengedarkan makanan kecemasan dan pek sanitasi termasuk tablet pembersihan air, kepada 3,000 isi rumah yang terjejas akibat banjir.
Setakat ini, 18,000 mangsa banjir daripada isi rumah ini telah pun menerima bantuan dari Mercy Relief, yang sedang bekerja rapat dengan rakan kongsi di sana iaitu, HEED Bangladesh, untuk menyampaikan bantuan.
Satu penilaian yang dilakukan oleh Oxfam pada 9 September mendapati walaupun banjir kini memasuki minggu keempat, 90 hingga 95 peratus tempat perlindungan luar bandar di dua daerah paling terjejas, Noakhali dan Feni, masih ditenggelami air.
Sistem saliran yang lemah dan hujan monsun yang berterusan bermakna air banjir surut dengan sangat perlahan.
Kesan banjir sangat dirasai oleh masyarakat luar bandar yang menyaksikan kehidupan mereka musnah, dan prasarana air serta saliran kumbahan terganggu.
Mercy Relief – sebuah agensi bantuan bencana Singapura yang bertindak balas terhadap tragedi manusia dan bencana di rantau Asia Pasifik – memerlukan sokongan dana segera daripada orang ramai bagi operasi tindak balasnya.
Makanan keperluan dan bantuan air, sanitasi dan kebersihan kekal sebagai keutamaan segera untuk membantu masyarakat memenuhi keperluan asas mereka semasa memulakan tempoh pemulihan yang sukar.
Dalam kenyataan itu, Mercy Relief turut mengatakan bahawa “banjir telah memburukkan lagi penyebaran air dan penyakit bawaan vektor serta menjejaskan penduduk di kawasan ini”.
Antara keperluan yang masih diperlukan sokongan susulan dalam pemulihan sara hidup, pembaikan tempat perlindungan, perigi dan kemudahan sanitasi serta penghantaran rawatan perubatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg