Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Mercy Relief siapkan 20,000 pek makanan buat penduduk Gaza

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Mercy Relief siapkan 20,000 pek makanan buat penduduk Gaza

Mar 16, 2024 | 05:16 PM



Badan bantuan kemanusiaan Singapura, Mercy Relief, telah mula menyiapkan lebih 20,000 bungkusan makanan untuk diagihkan kepada 800 keluarga di Gaza.

Pasukan tiga anggota Mercy Relief, terdiri daripada pengerusi, Encik Satwant Singh; anggota lembaga pengarah, Encik Chairul Fahmy Hussaini; dan pengarah eksekutif, Encik Muhammad Ashik Mohamed Daud, tiba di Kaherah pada 15 Mac.

Mereka kemudian bergerak ke Ismailia, tenggara Mesir yang terletak kira-kira 244 kilometer dari sempadan Rafah, untuk menjalankan operasi kemanusiaan melibatkan pembungkusan 20,000 kotak makanan untuk dihantar ke Gaza menerusi sempadan Rafah.

Encik Singh memberitahu Berita Minggu, setiap bungkusan makanan bernilai AS$25 ($33.45) dan merangkumi lebih 30 barangan asas seperti garam, gula, beras, minyak masak, perencah perisa ayam, susu, coklat, biskut, kurma, mentega, sos tomato, kacang pis, ragi dan pelbagai lagi.


“Barangan asas ini cukup untuk keperluan keluarga selama seminggu dan dalam bulan Ramadan ini kami memastikan setiap keluarga menerima kotak makanan yang memenuhi zat dan khasiat yang diperlukan.

“Selain itu, kami juga menyediakan tisu basah dan tuala wanita. Kesemua ini sangat penting untuk mereka dalam keadaan hidup yang sangat terdesak sekarang ini. Kotak-kotak ini semua kami hantar menerusi jalan darat menerusi kerjasama dengan rakan kerja logistik di sini.

“Kehadiran kami di sini adalah demi memastikan penghantaran dibuat dengan cara yang tersusun dan rapi, memastikan setiap barangan tiba mengikut jadual dan penerima mendapat barangan, hasil wang derma orang ramai di Singapura, dengan sebaiknya,” katanya.

Encik Muhammad Ashik pula mendedahkan Mercy Relief juga mengadakan program iftar untuk pelarian Palestin yang berada di Mesir.

“Kami memastikan golongan pelarian ini juga dibantu dan mendapat pertolongan sewajarnya. Langkah yang kami lakukan menerusi operasi bantuan kemanusiaan kali ini bertujuan menjaga kesejahteraan masyarakat Gaza yang mengalami kehidupan yang sangat tertekan akibat perang yang berlaku,” ujarnya.







Operasi bantuan kemanusiaan badan bantuan serantau itu untuk Gaza bagi kali kedua ini berlangsung selama tiga hari bermula 15 Mac.

Pada Januari lalu, Mercy Relief menyediakan pek makanan dan pek kebersihan diri yang memenuhi tujuh trak, juga dibawa masuk menerusi sempadan Rafah, yang diberikan kepada penghuni khemah-khemah pelarian di Rafah.

Lebih 1 juta pelarian kini mencari perlindungan di Rafah, kawasan terakhir yang menjadi tempat penempatan rakyat Palestin di Gaza.

Usaha bantuan kemanusiaan yang pertama itu dianggarkan memanfaatkan sekitar 22,000 orang.

Selain Mercy Relief, pemerintah Singapura menerusi Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) turut menghantar bantuan kemanusiaan, dengan mengerahkan pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 dan pesawat pemunggah C-130 bagi membawa bekalan makanan, keperluan perubatan dan keperluan lain yang disumbangkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH), SAF dan badan bukan pemerintah, Relief Singapore.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >