Seorang ayah biasanya menjalani hidup dan memikul amanah secara berperingkat.

Kebanyakan lelaki melalui tempoh berfasa, dengan berkahwin, menimang cahaya mata dan perlahan-lahan belajar memikul tanggungjawab sebagai bapa.

Namun bagi Encik Idid Hazalee Hamid, 56 tahun, perjalanan itu berlaku serta-merta.

Beberapa bulan selepas berkenalan dengan wanita yang kini bergelar isterinya, Cik Norlindah Mohd Ali Marekan, 53 tahun, beliau bukan sahaja menjadi seorang suami, malah terus menjadi ayah tiga anak lelaki remaja berusia antara 15 dengan 23 tahun ketika itu.

“Ketika itu, saya sebenarnya ingin mengajak isteri saya menonton wayang.

“Tetapi beliau menjemput saya ke rumah untuk berjumpa dengan ketiga-tiga anak lelakinya terlebih dahulu,” ceritanya dalam satu edisi podcast terbitan Berita Harian (BH), NoTapis.

Sesi sembang itu diadakan sempena sambutan Hari Bapa pada 21 Jun.

Menurut beliau, pelbagai persoalan bermain di fikirannya sebelum pertemuan itu berlangsung.

“Saya tertanya-tanya apa yang mereka akan fikir tentang saya.

“Bagaimanakah penerimaan mereka, kerana mereka pun sudah remaja?

“Macam-macam perkara boleh timbul di fikiran mereka dan saya pun tidak tahu apa yang boleh dijangkakan,” katanya sambil ketawa.

Namun, kebimbangannya ternyata tidak berasas.

Malah, penerimaan yang diterima jauh melebihi apa yang pernah dibayangkan.

Hanya pada pertemuan kedua bersama keluarga tersebut, ketiga-tiga anak lelaki itu mula memanggilnya ‘Ayah’.

Bagi Encik Idid, detik itu masih segar dalam ingatannya meskipun lebih sedekad telah berlalu.

“Saya benar-benar tersentuh.

“Saya tidak sangka mereka boleh menerima saya, walaupun saya hanya bertemu ibunya sebanyak dua kali,” jelas pengurus restoran, The Buffet Club.

Menurutnya, penerimaan tersebut mendorongnya menjadi seorang bapa yang hadir dan sedia ada bagi tiga anak remajanya itu.

Encik Idid Hazalee Hamid (tiga dari kanan) dan isterinya, Cik Norlindah Mohd Ali Marekan (empat dari kanan), bersama anak-anak mereka, Encik Noor Raihan (dua dari kanan) dan isterinya, Cik Hazirah Fatihah Rosli (kanan), Encik Mohd Nur Fikri (tiga dari kiri),  Encik Mohd Dain Dhamiri (dua dari kiri) dan isterinya, Cik Nurul Atiqah Yakob.
Encik Idid Hazalee Hamid (tiga dari kanan) dan isterinya, Cik Norlindah Mohd Ali Marekan (empat dari kanan), bersama anak-anak mereka, Encik Noor Raihan (dua dari kanan) dan isterinya, Cik Hazirah Fatihah Rosli (kanan), Encik Mohd Nur Fikri (tiga dari kiri), Encik Mohd Dain Dhamiri (dua dari kiri) dan isterinya, Cik Nurul Atiqah Yakob. - Foto ihsan IDID HAZALEE HAMID

Ini ditambah dengan keinginan Encik Idid untuk membina hidup baru selepas dibebaskan daripada penjara pada Mei 2015.

Ketika itu, beliau baru sahaja menamatkan hukuman penjara tempoh panjang (LT1) selama lima tahun, disebabkan penyalahgunaan dadah dan sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar.

Seperti ramai bekas pesalah lain, beliau berdepan cabaran memulakan semula kehidupan demi membuktikan dirinya mampu berubah menjadi individu lebih baik.

Namun, Encik Idid tidak menyangka perjalanan membina semula kehidupan itu akan turut disertai tanggungjawab sebagai suami dan ayah tiga anak lelaki remaja sekali gus.

“Saya bukan sahaja perlu fikir tentang diri saya sahaja.

“Jadi, saya perlu menjadi contoh baik untuk mereka,” katanya.

Menurut Encik Idid, penerimaan keluarga isterinya itu menjadi antara faktor yang mendorongnya agar terus memperbaiki diri.

Beliau tidak mahu mengecewakan kepercayaan yang diberi isteri dan anak-anaknya.

“Apabila mereka panggil saya ‘Ayah’, saya rasa itu satu amanah.

“Saya mahu tunjukkan kepada mereka seseorang itu boleh berubah dan menjadi insan lebih baik daripada masa lalunya,” katanya.

Mengulas hubungan beliau bersama anak tirinya, Encik Idid berkata ia berlaku secara semula jadi.

Salah satu perkara utama yang beliau cuba lakukan adalah sentiasa hadir dalam detik penting kehidupan mereka.

“Saya selalu hadir untuk mesyuarat ibu bapa di sekolah, upacara perbarisan Perkhidmatan Negara (NS) mereka serta meluangkan masa bercuti bersama keluarga,” kongsinya.

Encik Idid menambah, apabila dua anak tirinya mendirikan rumah tangga, beliau turut memainkan peranan penting mengurus majlis pertunangan dan perkahwinan mereka.

Bagi Cik Norlindah, penerimaan anak-anak terhadap Encik Idid bukan sesuatu yang beliau jangkakan.

Sebagai seorang ibu tunggal ketika itu, beliau mengakui pernah dibelenggu bimbang sekiranya anak-anak tidak dapat menerima kehadiran seorang lelaki baru dalam keluarga mereka.

“Saya takut kalau anak-anak tidak dapat menerima Idid.

“Tetapi saya nampak kejujuran dan keikhlasan beliau terhadap saya, anak-anak dan juga keluarga kami,” jelas suri rumah itu.

Menurut Cik Norlindah, suaminya sentiasa menunjukkan sikap bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap anggota keluarga sejak awal perkenalan mereka.

Beliau menyifatkan sifat itu sebagai ‘aura kebapaan’, yang membuatkan beliau yakin Encik Idid mampu bergelar ayah teladan kepada anak-anaknya.

Kini, selepas lebih sedekad membina kehidupan bersama, pasangan itu percaya hubungan kekeluargaan tidak semestinya dibina atas pertalian darah semata-mata.

Sebaliknya, kasih sayang, kepercayaan dan kehadiran berterusan mampu membentuk ikatan yang kukuh.

Bagi Encik Idid, gelaran ‘Ayah’ yang diberi tiga anak lelaki yang bukan darah dagingnya sendiri kekal menjadi antara penghormatan terbesar dalam hidupnya.

“Daripada hari pertama mereka memanggil saya ‘Ayah’ sehingga hari ini, mereka tidak pernah membezakan saya.

“Itu sesuatu yang saya akan sentiasa hargai,” katanya.

Apabila mereka panggil saya ‘Ayah’, saya rasa itu satu amanah. Saya mahu tunjukkan kepada mereka seseorang itu boleh berubah dan menjadi insan lebih baik daripada masa lalunya. ... Daripada hari pertama mereka memanggil saya ‘Ayah’ sehingga hari ini, mereka tidak pernah membezakan saya. Itu sesuatu yang saya akan sentiasa hargai.
Encik Idid Hazalee Hamid.