Sebagai sebahagian sambutan ulang tahun Singapura ke-60 (SG60), Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) akan menerajui sebuah program pementoran baru, di mana individu berpengalaman akan menjadi mentor kepada pelajar sekolah menengah Melayu/Islam.
Dipanggil Projek ‘60 for 60’, program kepimpinan enam bulan itu akan melihat 60 karyawan berusia 60 tahun ke atas memberi bimbingan kepada 60 pelajar untuk meraih kemahiran baru dalam bidang seperti pengurusan projek dan pidato awam, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.
Projek itu antara inisiatif pasukan SG60 Bersama yang mengatur acara SG60 oleh masyarakat Melayu/Islam.
“Inisiatif ini menggambarkan konsep membalas budi, di mana para pelajar akan menjalani kursus kepimpinan selama enam bulan dan mempelajari kemahiran baru dalam bidangseperti pengurusan projek serta kemahiran berpidato,” kata Dr Maliki semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) berhubung ehwal masyarakat Islam di Parlimen pada 10 Mac.
Di luar SG60, Dr Maliki berkata usaha masyarakat Melayu/Islam dalam membantu rakyat Gaza memaparkan keprihatinan masyarakat pada peringkat sejagat.
Dalam tempoh hampir dua minggu sahaja sejak kempen pengumpulan dana ‘Aid for Gaza’ dilancarkan pada 1 Mac, masyarakat telah menyumbang sekitar $266,000, hampir separuh sasaran $600,000 yang ingin dikumpulkan sepanjang enam minggu sempena Ramadan.
Kempen itu diadakan dengan kerjasama Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).
Berita Harian (BH) rakan media rasmi inisiatif tersebut.
Dr Maliki berkata keadaan di Gaza masih tidak stabil dan rakyat Palestin di sana masih memerlukan banyak pertolongan dari segi bantuan kemanusiaan dan pembangunan semula, terutamanya dalam keadaan lebih terdesak semasa Ramadan.
Sepanjang 1.5 tahun lalu, RLAF telah mengumpulkan lebih $13 juta dan kini sedang melaksanakan kempen pengumpulan dana keempat untuk Gaza.
“Rakyat Singapura daripada pelbagai kaum dan agama telah dengan begitu murah hati menyumbang kepada bantuan kemanusiaan bagi Gaza.
“Ini mencerminkan jati diri dan nilai-nilai murni kita,” kata Dr Maliki.
“Kami harap tema sambutan SG60 – Keterhubungan, Kepedulian dan Sumbangan kepada Masyarakat – dapat kita semarakkan lagi melalui kempen ini.
“Saya mengalu-alukan sokongan padu masyarakat untuk menjayakannya,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg