Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mesyuarat kakitangan sekolah kian lebih singkat susulan perubahan dasar

Sekolah had komunikasi antara guru, ibu bapa selepas waktu sekolah, kecuali jika ada kecemasan
Jan 5, 2026 | 7:54 PM
Syafiqah Ryaihanny Sahrom, sekolah, guru
Guru Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Jurong, Cik Syafiqah Ryaihanny Sahrom, berkata pihak sekolah telah berusaha meningkatkan kesejahteraan guru. - Foto ihsan SYAFIQAH RYAIHANNY SAHROM

Mesyuarat kakitangan di Sekolah Rendah Jurong dahulunya berlangsung selama lebih tiga jam sehingga guru-guru berasa letih dengan maklumat berlebihan.

Namun kini, tempoh mesyuarat lebih singkat, antara dua dengan dua setengah jam, malah berakhir lebih awal, kata guru Bahasa Melayu, Cik Syafiqah Ryaihanny Sahrom.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), Cik Syafiqah, 33 tahun, yang mengajar di sekolah itu sejak 2018, berkata pihak sekolah telah berusaha meningkatkan kesejahteraan guru.

Pada hari kurang sibuk, mesyuarat diadakan tidak lebih dari 15 minit untuk memastikan perbincangan diadakan secara tertumpu dan cekap.

“Pihak sekolah membantu memperkemas masa hubungan kakitangan (SCT), dengan mesyuarat kini lebih tertumpu, dirancang dengan jelas dan berlangsung dalam masa yang diperuntukkan.

“Pada hari-hari tertentu, kami mempunyai sesi ‘Popcorn SCT’, iaitu perbincangan bersemuka yang cepat dan tertumpu, dan berlangsung selama kira-kira 15 minit.

“Selepas itu, kami bebas dengan urusan kami,” kata Cik Syafiqah.

Beliau menambah sebelum ini, walaupun guru mula bekerja pada 7.15 pagi, mesyuarat kakitangan boleh bermula pada 2.15 petang dan berlanjutan sehingga 5.30 petang.

Walau bagaimanapun, ia telah berubah kira-kira dua tahun lalu (2024) selepas pemimpin sekolah memastikan mesyuarat lebih tertumpu dan cekap untuk membantu guru “kekal bertenaga dan produktif”.

Maklumat yang lebih berat, kata Cik Syafiqah, kini dikongsi melalui e-mel dan membantu beliau menguruskan kerja dan tenaganya dengan lebih baik.

Pada 5 Januari, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, dalam satu video di Facebook, berkata lebih banyak usaha dilakukan untuk menyokong guru dalam menguruskan beban kerja dan masa mereka.

Kementerian Pendidikan (MOE) juga memperkenalkan pengaturan kerja fleksibel, antara langkah sokongan lain, untuk menyokong guru yang perlu mengimbangi keperluan kerja dan peribadi mereka.

Ia termasuk masa pelaporan lewat atau bekerja dari rumah untuk guru pada hari-hari tidak perlu ke kelas, atau tugasan yang tidak memerlukan kehadiran mereka di sekolah.

Walaupun ibu dua anak – berusia empat dan tujuh tahun – itu tidak memerlukan pengaturan kerja fleksibel, Cik Syafiqah berkata beliau menghargai usaha pihak sekolah menyokong guru.

Antaranya, pihak sekolah memberikan cuti mengikut keadaan ‘tanpa soalan’ jika anaknya tidak sihat atau jika tiada sesiapa yang dapat membawa anaknya pulang dari sekolah.

“Daripada perspektif saya, terdapat peningkatan dalam usaha sekolah menyokong kesejahteraan guru, terutamanya di sekolah saya,” tambahnya.

Sekolah Rendah Jurong juga mengamalkan ‘Blue Sky Fridays’ – hari yang ditetapkan tiada mesyuarat akan diadakan pada setiap Jumaat.

Ini, kata Cik Syafiqah, membolehkannya memberi tumpuan dan merancang masanya dengan lebih baik untuk menyemak kertas sekolah, menyiapkan pelajaran atau mengurus komitmen peribadi tanpa tergesa-gesa.

Selaras dengan garis panduan MOE, pihak sekolah turut menjelaskan tidak sepatutnya ada komunikasi antara guru dengan ibu bapa murid selepas waktu sekolah, kecuali jika ada kecemasan.

Bagi keadaan sedemikian, Cik Syafiqah berkata beliau akan menghubungi ibu bapa secepat mungkin supaya murid itu dapat dijaga dengan baik.

“Secara peribadi, saya tidak mempunyai kebimbangan tentang berkomunikasi dengan ibu bapa selepas 5 petang, terutama jika ia mendesak.

“Saya juga bekerjasama dengan rakan-rakan Guru Tingkatan dan Mata Pelajaran yang bersedia membantu dengan segera jika diperlukan,” tambahnya.

“Pihak sekolah membantu memperkemas masa hubungan kakitangan (SCT), dengan mesyuarat kini lebih tertumpu, dirancang dengan jelas dan berlangsung dalam masa yang diperuntukkan.”
Cik Syafiqah Ryaihanny Sahrom, guru Bahasa Melayu, Sekolah Rendah Jurong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg