Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MFA: Kedutaan asing tidak harus heret isu global di S’pura

Isu antarabangsa yang rumit seperti Laut China Selatan harus dihurai melalui saluran sesuai
May 22, 2025 | 4:53 PM
Amerika Syarikat, China, Laut China Selatan
Kedutaan Amerika Syarikat dan Kedutaan China di sini baru-baru ini terlibat dalam pertikaman lidah melalui video dan kenyataan di media sosial berhubung isu Laut China Selatan. - Foto REUTERS

Pemerintah Singapura berkata ia menolak percubaan oleh kedutaan asing di sini untuk menghasut bagi mendapatkan reaksi dalam negara berhubung isu antarabangsa melibatkan negara ketiga.

Ia turut menegaskan bahawa isu antarabangsa yang rumit sebaiknya dihuraikan melalui saluran yang sesuai agar usaha diplomasi dapat dijalankan dengan berkesan.

Kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 21 Mei dibuat selepas Kedutaan Amerika Syarikat dan Kedutaan China di sini memuat naik video dan kenyataan di media sosial berhubung isu Laut China Selatan.

Kedutaan Amerika di Singapura menyiarkan satu video di akaun media sosialnya pada 20 Mei, yang menyamakan tuntutan China terhadap sebahagian Laut China Selatan, seperti tindakan seorang jiran yang menuntut ruang bersama di blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Singapura, sebagai miliknya, lapor The Straits Times (ST).

Dalam video selama satu minit 30 saat itu, Kedutaan Amerika memaparkan foto blok HDB, sebelum menunjukkan gambar barangan peribadi yang berselerak di laluan pejalan kaki atau ruang bersama.

“Jadi bayangkan pulang ke rumah pada suatu hari dan mendapati keadaan begini,” kata suara latar dalam video tersebut – dalam bahasa Inggeris dengan loghat Singapura.

“Seorang jiran telah memutuskan bahawa ruang di depan pintu rumah anda adalah miliknya. Dia menghalang (laluan ke) pintu rumah anda dengan meletakkan barang-barangnya di depan pintu anda.

“Tidakkah ini mengingatkan anda kepada perkara lain (yang sedang berlaku)?”

Video tersebut kemudian memaparkan beberapa keratan berita mengenai Filipina dan Vietnam, yang membantah tindakan China di Laut China Selatan.

“Ini juga berlaku betul-betul berhampiran Singapura – di Laut China Selatan, di mana seorang jiran menganggap bahawa segalanya adalah miliknya,” tambahnya.

Sehari kemudian, pada 21 Mei, Kedutaan China di Singapura menyiarkan videonya sendiri di halaman Facebook, sebagai respons kepada video Kedutaan Amerika itu.

Dalam hantaran tersebut, ia menuduh Kedutaan Amerika “sengaja memutarbelitkan” isu Laut China Selatan.

Ia menambah bahawa Amerika adalah pihak yang “paling tidak layak bercakap mengenai undang-undang antarabangsa”.

“Dengan meletakkan keutamaannya sendiri mengatasi peraturan antarabangsa, sering menarik diri daripada konvensyen dan pertubuhan antarabangsa, membuli dan memaksa negara lain dalam isu seperti tarif, dan mengisytiharkan secara terbuka hasrat merampas kawalan terhadap Terusan Panama dan Greenland, Amerika mahu melaksanakan semula undang-undang rimba, dengan (prinsip) siapa kuat, dia betul, ke atas seluruh dunia.

“Kami menggesa Amerika supaya berhenti menjadi pendakwah hipokrit dan penghasut, serta mengelak daripada menimbulkan lebih banyak masalah demi keamanan dan kestabilan di rantau ini,” tambahnya.

China, Taiwan, dan empat negara Asean – Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam, kini membuat tuntutan bertindih ke atas Laut China Selatan, yang merupakan antara laluan perairan paling sibuk di dunia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg