Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MFA: Momentum positif dalam kerjasama dua hala S’pura-China

DPM Gan kunjungi Guangzhou, Shenzhen dan Beijing
Sep 4, 2025 | 6:25 PM
Gan Kim Yong, Han Zheng
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong (kiri), menemui Naib Presiden China, Encik Han Zheng, pada 4 September sempena lawatan kerja beliau ke Beijing. Encik Gan juga telah bertemu dengan Naib Perdana Menteri China, Encik He Lifeng, dan Menteri Perdagangan China, Encik Wang Wentao, dalam pertemuan berasingan. - Foto MDDI

Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, bertemu dengan tiga pemimpin China dalam pertemuan berasingan pada 4 September sempena lawatan kerja beliau ke Beijing.

Ia termasuk Naib Presiden China, Encik Han Zheng; Naib Perdana Menteri China, Encik He Lifeng; dan Menteri Perdagangan China, Encik Wang Wentao.

Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, telah menghadiri sesi makan tengah hari dengan Encik Han selaku tuan rumah, menjamunya di Diaoyutai State Guesthouse.

Dua pemimpin itu mengesahkan persahabatan mesra dan mendalam antara Singapura dengan China sempena ulang tahun ke-35 terjalinnya hubungan diplomatik dua negara itu.

“Mereka mengetengahkan momentum positif kerjasama dua hala merentasi pelbagai sektor, termasuk dalam perdagangan dan pelaburan, keterhubungan digital dan kewangan, serta pertukaran antara rakyat.

“Mereka menanti-nantikan persidangan Majlis Bersama Ke-21 bagi Kerjasama Dua Hala di Chongqing pada akhir tahun ini (2025),” kata Kementerian Ehwal Luar (MFA), dalam kenyataannya pada 4 September.

Sementara itu, dalam pertemuan beliau bersama Encik He, dua pemimpin itu telah meneliti kerjasama ekonomi Singapura-China yang cemerlang, sambil mengulangi komitmen memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala dan aliran perdagangan.

Ini termasuk melalui Taman Perindustrian Suzhou China-Singapura, Bandar Eko Tianjin Sino-Singapura, Inisiatif Demonstrasi mengenai Keterhubungan Strategik China-Singapura (Chongqing), Bandar Ilmu Guangzhou China-Singapura dan Insiatif Bandar Bijak Singapura-China (Shenzhen).

“Mereka telah membincangkan kemajuan inisiatif kewangan dua hala kita, termasuk aturan pasaran bon yang didagangkan secara langsung (atau over the counter (OTC)), kewangan hijau dan kerjasama pasaran modal,” kata MFA.

Dalam pada itu, Encik Gan dan Encik Wang pula bertukar pandangan mengenai trajektori ekonomi sejagat, dan mengesahkan komitmen bersama Singapura dan China untuk mengekalkan perintah antarabangsa berasaskan peraturan dan sistem perdagangan pelbagai hala.

Encik Gan turut mengalu-alukan jawatan Pengerusi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) China pada 2026.

Kedua-dua pemimpin itu turut menanti-nantikan mesyuarat Jawatankuasa Penggalakan Pelaburan Kelapan pada hujung 2025.

Dalam lawatannya ke China itu, Encik Gan telah bertemu dengan Gabenor Guangdong, Encik Wang Weizhong, pada 1 September, dan Setiausaha Parti bandar Shenzhen, Encik Meng Fanli, pada 2 September.

Semasa pertemuannya dengan Gabenor Guangdong, Encik Gan mengesahkan semula jalinan antara Singapura dengan Guangdong serta masyarakat di kededua negara dan wilayah melalui lawatan itu.

Guangdong merupakan rakan perdagangan utama Singapura di China selama 36 tahun berturut-turut, dengan kerjasama erat dalam sektor lain termasuk pengeluaran lanjutan, ekonomi digital, perlindungan hak harta intelek, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Antara lain, Encik Gan meninjau Bandar Ilmu Guangzhou China-Singapura (CSGKC), projek dua hala peringkat negara, yang menyambut ulang tahun ke-15.

Sementara itu, semasa pertemuan dengan Encik Meng pula, Encik Gan berkata Singapura dan Shenzhen boleh bekerjasama dalam merangsang pelaburan antara Asia Tenggara dengan Kawasan Teluk Lebih Luas (GBA) di China.

Beliau turut mengundang syarikat dari Shenzhen untuk meninjau peluang perniagaan di Singapura dan negara jirannya, dengan menyerlahkan Inisiatif Segi Tiga Pertumbuhan Singapura-Johor-Kepulauan Riau (Sijori).

Encik Gan pulang ke Singapura pada 4 September, kata MFA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg