Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MFA nasihati warga S’pura tangguh perjalanan ke Afghanistan

Ini susuli gempa bumi yang melanda negara itu.
Sep 4, 2025 | 6:36 PM
Tiada rakyat Singapura di Afghanistan terjejas akibat gempa bumi tersebut, menurut MFA.
Tiada rakyat Singapura di Afghanistan terjejas akibat gempa bumi tersebut, menurut MFA. - Foto EPA

Kementerian Ehwal Luar (MFA) menasihatkan warga Singapura agar menangguhkan semua perjalanan ke Afghanistan berikutan dua gempa bumi yang melanda negara itu dalam beberapa hari kebelakangan, mengorbankan 1,400 orang dan mencederakan lebih 3,300 yang lain.

Tiada warga Singapura di Afghanistan terjejas akibat gempa bumi tersebut, menurut MFA dalam satu kenyataan pada 4 September.

Mereka yang menetap di sana harus terus berwaspada, memantau berita tempatan dengan teliti, dan mendaftar melalui eRegister dengan MFA, jika mereka belum berbuat demikian, tambahnya.

Warga Singapura yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Pejabat Bertugas MFA (24 jam) di talian: +65 6379 8800/8855 atau e-mel kepada: mfa_duty_officer@mfa.gov.sg

MFA menyatakan bahawa Singapura menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa gempa bumi tersebut, lapor The Straits Times (ST).

Pemerintah Singapura akan menyumbang AS$50,000 ($64,000) sebagai dana permulaan untuk menyokong usaha pengumpulan dana Palang Merah Singapura (SRC) bagi bantuan kemanusiaan untuk masyarakat yang terjejas akibat gempa tersebut.

SRC juga mengumumkan pada 4 September bahawa ia mengikrarkan wang berjumlah $50,000 bagi menyokong Persatuan Bulan Sabit Merah Afghan dan rakan kongsinya di lapangan.

Keperluan segera mangsa bencana tersebut termasuk sokongan bagi usaha mencari dan menyelamat, penjagaan kesihatan kecemasan dan bekalan perubatan, makanan, air bersih, serta kerja memulihkan akses jalan raya untuk mencapai masyarakat terpencil yang terjejas oleh gempa tersebut.

Untuk melengkapi usaha bantuan kemanusiaan itu, SRC telah melancarkan satu kempen pengumpulan dana.

Orang ramai boleh menderma secara digital melalui kad kredit di laman Giving.sg.

Untuk sumbangan PayNow, derma boleh dibuat kepada UEN S86CC0370EBLD (rujukan: Afghanistan Earthquake).

Mereka yang ingin menderma melalui cek boleh membuat pembayaran kepada “Singapore Red Cross Society” ke alamat Red Cross House, 15 Penang Lane, Singapura 238486, dengan menyatakan nama dan alamat, serta tuliskan “Afghanistan Earthquake” di belakang cek.

Derma secara peribadi juga diterima di alamat SRC yang sama dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 6 petang.

Gempa bumi bermagnitud 6 yang pertama, antara gempa paling dahsyat di Afghanistan sejak beberapa tahun kebelakangan, menyebabkan kerosakan dan kemusnahan meluas di wilayah Kunar dan Nangarhar pada 31 Ogos, apabila ia melanda pada kedalaman gempa cetek, iaitu, 10 kilometer.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg