Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MFA: Penerimaan pelan damai langkah penting ke arah keamanan kekal

Nov 18, 2025 | 5:09 PM
Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencatat 13 undi pada 17 November, sekali gus menyokong usulan ketetapan yang diketuai Amerika, manakala Russia dan China berkecuali daripada pengundian.
Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencatat 13 undi pada 17 November, sekali gus menyokong usulan ketetapan yang diketuai Amerika, manakala Russia dan China berkecuali daripada pengundian. - Foto AFP

Singapura berkata penerimaan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap ketetapan yang menyokong pelan damai Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bagi menamatkan perang di Gaza “merupakan langkah penting ke arah keamanan yang berkekalan” di wilayah itu.

“Penting untuk pastikan gencatan senjata semasa dikekalkan oleh semua pihak, serta membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dilakukan secara pantas dan tanpa halangan,” menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA).

MFA berkata Singapura “akan menyumbang kepada usaha antarabangsa bagi pembinaan semula Gaza setelah gencatan senjata kekal terjamin,” lapor The Straits Times (ST).

Pada Oktober lalu, Israel dan Hamas, bersetuju dengan fasa pertama pelan 20 perkara bagi Gaza yang diketengahkan Encik Trump, yang merangkumi perjanjian pembebasan tebusan, serta gencatan senjata bagi menamatkan perang yang telah berlarutan selama dua tahun.

Majlis Keselamatan PBB meluluskan ketetapan yang menyokong pelan itu – dalam satu langkah yang menurut Amerika dapat mengukuhkan gencatan senjata goyah antara Israel dengan Hamas.

Badan pembuat keputusan tertinggi di PBB itu mencatat 13 undi pada 17 November, sekali gus menyokong usulan ketetapan yang diketuai Amerika, manakala Russia dan China berkecuali daripada pengundian.

MFA berkata Singapura turut menyambut baik cadangan Amerika untuk mengadakan dialog antara Israel dengan Palestin supaya kedua-dua pihak dapat mencapai “persetujuan politik bagi kehidupan bersama yang aman dan makmur”.

“Kami menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan memiliki negara sendiri sebagai sebahagian daripada penyelesaian dua negara yang dirunding, sejajar dengan ketetapan Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg