Penumpang dari Singapura mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan bas di Norway yang mengorbankan tiga nyawa.
Mereka telah menerima bantuan konsular daripada Kementerian Ehwal Luar (MFA).
MFA berkata pada 28 Disember bahawa ia telah memberikan sokongan kepada rakyat Singapura yang terlibat, melalui Konsul Besar Kehormat (HCG) di Oslo, menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times (ST).
MFA tidak menyatakan berapa ramai rakyat Singapura yang cedera dalam kemalangan itu.
Kemalangan tersebut berlaku pada 26 Disember, 1.30 tengah hari waktu tempatan (8.30 malam waktu Singapura) dan terdapat 58 penumpang di dalam bas itu, menurut Kedutaan Diraja Norway di Singapura pada 27 Disember.
Bas itu terbabas dari jalan raya dan sebahagiannya tenggelam di tasik berhampiran selat Raftsundet, yang memisahkan kepulauan Lofoten, dari tanah besar Norway.
Dua wanita, serta seorang kanak-kanak berumur antara 10 hingga 12 tahun maut dalam kemalangan itu, menurut media tempatan.
Kewarganegaraan mereka belum didedahkan oleh polis tempatan, yang berkata identiti mangsa sedang disahkan sementara bedah siasat dijalankan.
Menurut laporan media, penumpang dari lapan negara berada dalam bas tersebut, iaitu China, Perancis, India, Malaysia, Belanda, Norway, Singapura dan Sudan Selatan.
Kedutaan Norway di Singapura mengatakan jalan raya tersebut licin dengan salji dan ais, sambil menambah bahawa mereka belum dimaklumkan tentang rakyat Singapura yang terkorban.
“Pihak media telah menemu bual sekurang-kurangnya seorang rakyat Singapura yang cedera ringan.
“Tiada kecederaan yang dilaporkan mengancam nyawa,” katanya.
Kepulauan Lofoten ialah destinasi popular untuk menyaksikan ‘northern lights’, fenomena alam yang menakjubkan terjadi di langit pada musim sejuk.
Bas tersebut telah diangkat keluar dari air, kata polis Norway pada 27 Disember dan pemandu bas telah didakwa melanggar Akta Pengangkutan Jalan Raya.
Polis juga telah merampas lesen memandunya dan siasatan sedang dijalankan.
Menurut laporan media, kedutaan China di Oslo berkata terdapat sekitar 20 penumpang China dalam bas yang sama dan tiada yang maut.
Beberapa penumpang bas dari China telah berkongsi cerita mereka di platform media sosial China, Xiaohongshu.
Kementerian Ehwal Luar Malaysia berkata pada 27 Disember, bahawa ia sedang berhubung dengan pihak berkuasa Norway mengenai kejadian itu selain menghantar satu pasukan konsular ke Norway untuk memberikan bantuan kepada warga Malaysia yang cedera ringan.
Kementerian itu juga berkata warganya yang terbabit telah dipindahkan ke pusat krisis di dua hotel berhampiran lokasi kemalangan – Hotel Richard di Stokmarknes dan Thon Hotel di Lofoten.
Ia menambah bahawa empat warga Malaysia kini tinggal di Thon Hotel, di mana mereka disediakan tempat penginapan.
“Namun, disebabkan siasatan yang masih berjalan, penumpang-penumpang ini tidak dibenarkan menggunakan telefon atau berkomunikasi secara langsung dengan sesiapa,” kata kementerian itu, sambil menambah bahawa kakitangan hotel juga dilarang menghubungi mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg