Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) akan bekerjasama dengan tiga rakan kongsi secara serentak buat kali pertama untuk kempen pengumpulan dana bagi rakyat Gaza, yang kini sudah memasuki edisi ketiga.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid, mengumumkan demikian semasa berucap dalam satu majlis penyerahan cek bernilai $700,000 di pejabat Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 1 November.
Nilai cek itu adalah hasil sumbangan rakyat Singapura dalam kempen pengumpulan dana RLAF tersebut, termasuk AS$200,000 ($264,870) yang disumbangkan pemerintah Singapura.
Beliau berkata RLAF akan bekerjasama dengan Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Pertubuhan Amal Hashemite Jordan (JHCO) dan badan kemanusiaan silang agama tempatan, Humanity Matters (HM).
Encik Adnan berkata: “Bersama-sama, kami akan memastikan dana (terkumpul) akan digunakan untuk penghantaran barangan bantuan penting seperti makanan, air dan bekalan perubatan untuk kanak-kanak dan keluarga di Gaza.
“Semua sumbangan akan disalurkan melalui rakan kongsi ini untuk memastikan perolehan dan pengagihan bantuan yang diperlukan tepat pada masanya dan berkesan.”
Beliau berkata setakat ini, kempen pengumpulan dana kali ini – yang berlangsung dari 18 September hingga 3 Disember 2024 – telah berjaya mengumpulkan $1.53 juta.
Dalam dua kempen pengumpulan dana sebelum ini bagi membantu rakyat Gaza, RLAF berjaya mengumpulkan $10.2 juta, tambahnya.
“Ia sememangnya jumlah yang besar dan mengatasi semua usaha pengumpulan dana kami sebelum ini bagi tujuan kemanusiaan di sejagat.
“Apa yang berlaku di Gaza adalah dekat di hati dan menunjukkan belas kasihan secara kolektif,” ujarnya.
Sifat belas kasihan secara kolektif ini turut ditekankan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang turut memberi ucapan dalam majlis itu.
Beliau berkata: “Kita melihat krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing sepanjang setahun yang lalu. Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah memberi amaran bahawa mereka yang sekarang ini di Gaza akan menghadapi krisis kebuluran.
“Ini dan segala kepedihan yang dialami oleh mereka yang ada di Gaza sangat menyentuh hati.
“Kami bersyukur bahawa agensi-agensi kemanusiaan seperti Unicef dan RLAF tidak berhenti, tidak putus-putus walau sekalipun untuk memberi bantuan kepada mereka yang menjadi mangsa dalam konflik ini.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg