Kementerian Ehwal Luar (MFA) telah mengulangi sokongan berterusan Singapura terhadap hak rakyat Palestin untuk memiliki tanah air mereka sendiri.
Dalam kenyataan pada 7 Februari, jurucakap MFA berkata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, telah menyatakan di Parlimen pada 4 Februari bahawa Singapura menyokong hak rakyat Palestin memiliki tanah air mereka sendiri.
Satu penyelesaian dua negara yang dirunding dan selaras dengan ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah satu-satunya jalan yang boleh membawa kepada penyelesaian yang “menyeluruh, adil dan berkekalan” bagi konflik yang berpanjangan ini, tambah kenyataan itu.
“Singapura akan bekerjasama rapat dengan Penguasa Palestin, terutama melalui Pakej Bantuan Teknikal yang Dipertingkatkan, untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam pentadbiran dan pembinaan semula,” kata jurucakap MFA.
Pada 4 Februari, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mencadangkan pelan untuk “mengambil alih” Jaluran Gaza, memindahkan rakyat Palestin ke negara lain dan mengubah wilayah itu menjadi “Riviera Timur Tengah”.
Komen Encik Trump, yang dibuat semasa sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, telah mencetuskan reaksi negatif pemimpin di seluruh dunia.
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, menasihatkan Encik Trump agar menghindari pembersihan etnik dan memberi amaran agar tidak memperburuk masalah semasa mencari penyelesaian.
“Kita mesti menegaskan kembali penyelesaian dua negara,” kata Encik Guterres.
Malaysia dan Indonesia juga telah menyuarakan tentangan kuat mereka terhadap sebarang rancangan yang boleh menyebabkan pengusiran paksa rakyat Palestin.
Kementerian Ehwal Luar Malaysia berkata “tindakan tidak berperikemanusiaan seperti itu merupakan pembersihan etnik dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta banyak resolusi PBB.
Kementerian Ehwal Luar Indonesia berkata negara itu “menentang dengan tegas sebarang cubaan untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa, atau mengubah komposisi demografik wilayah Palestin yang diduduki”.
Dalam sesi Parlimen pada 4 Februari, Dr Balakrishnan berkata Singapura akan menghantar bantuan ketujuh ke Gaza, yang terdiri daripada barangan penting dan bekalan perubatan.
“Harapan kami adalah agar pemimpin kededua pihak dapat mencari kemahuan politik, keberanian dan daya imaginasi untuk meneruskan rundingan langsung, walaupun kami sedar ia akan menjadi sangat mencabar selepas 16 bulan yang penuh kesukaran,” ujar Dr Balakrishnan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg