Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MFA: Warga S’pura dinasihat tangguh perjalanan tidak penting ke Nepal 

Sep 10, 2025 | 4:29 PM
Nepal, Kathmandu
Bantahan besar-besaran berlaku di ibu kota Nepal, Kathmandu, sejak 8 September, selepas larangan media sosial dilaksanakan. Demonstrasi ganas itu mengakibatkan 19 orang terbunuh dan lebih 100 cedera. - Foto REUTERS

Kementerian Ehwal Luar (MFA) menasihatkan warga Singapura agar menangguhkan perjalanan tidak penting ke Nepal berikutan bantahan besar-besaran yang berlaku di negara itu.

Dalam satu nasihat perjalanan pada 9 September, MFA turut menasihati warga Singapura yang berada di Nepal untuk sentiasa berwaspada dan mengelakkan kawasan yang terjejas oleh demonstrasi serta perhimpunan orang ramai, lapor The Straits Times (ST).

“Kathmandu sedang mengalami protes meluas yang bermula pada 8 September.

“Terdapat laporan mengenai keganasan dan kecederaan, dan perintah berkurung yang meluas telah dilaksanakan di seluruh bandar pada 9 September,” kata MFA.

Demonstrasi ganas tercetus di Nepal ekoran larangan media sosial, dengan 19 orang terbunuh dan lebih 100 cedera selepas polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah ke arah penunjuk perasaan yang cuba menyerbu Parlimen pada 8 September.

Protes tersebut, yang menyebabkan peletakan jawatan Perdana Menteri, Encik K.P. Sharma Oli, pada 9 September, turut memaksa penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Kathmandu pada hari sama.

Singapore Airlines (SIA) membatalkan dua penerbangan pada 9 September akibat penutupan lapangan terbang tersebut – penerbangan SQ442 dari Singapura ke Kathmandu dan penerbangan SQ441 dari Kathmandu ke Singapura.

SIA pada 9 September menyatakan penumpang yang terjejas oleh pembatalan penerbangan akan ditempatkan dalam penerbangan alternatif atau boleh memohon pengembalian wang penuh bagi bahagian tiket yang tidak digunakan.

“Disebabkan situasi yang masih berubah-ubah, penerbangan SIA lain antara Singapura dengan Nepal mungkin terjejas,” tambah SIA.

Menurut laman web syarikat penerbangan tersebut, pada 11.50 pagi 10 September, penerbangan SQ441 dan SQ442 masih dijadualkan beroperasi seperti biasa.

Pelancong boleh menyemak status penerbangan mereka di laman web SIA.

Warga Singapura di Nepal yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Singapura di New Delhi melalui talian +91-981-020-3595 atau +91-11-4600-0800, kata MFA.

MFA juga menasihatkan warga Singapura di Nepal atau yang merancang perjalanan ke sana untuk mendaftar eRegister di eregister.mfa.gov.sg dan membeli insurans perjalanan serta perubatan yang menyeluruh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg