Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MHA: 14 parti politik diminta bukti kewujudan, masih belum patuhi Fica

Aug 12, 2025 | 6:41 PM
Warta Pemerintah, Barisan Sosialis, parti bukti kewujudan
Sebanyak 14 parti politik telah disenaraikan dalam pemberitahuan Warta Pemerintah termasuk Barisan Sosialis, yang pernah menjadi parti pembangkang terbesar di Singapura. - Foto fail

Pihak berkuasa telah meminta 14 parti politik yang tidak aktif agar membuktikan kewujudan mereka hingga kini.

Ini disebakan mereka belum memenuhi kewajipan pelaporan di bawah undang-undang campur tangan asing Singapura, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 14 Ogos.

Sebagai respons kepada pertanyaan The Straits Times (ST) mengenai sebab Pejabat Pendaftaran Persatuan (ROS) meminta bukti berkenaan menerusi satu notis yang diterbitkan di Warta Pemerintah pada 7 Ogos, MHA berkata parti politik tersebut tidak mematuhi Undang-undang Langkah Tindakan Balas Campur Tangan Asing (Fica), kerana mereka mungkin telah berhenti beroperasi.

“ROS, justeru itu, telah memulakan proses penghentian di bawah Akta Persatuan dengan menerbitkan notis itu di dalam Warta Pemerintah yang meminta parti-parti politik tersebut agar menyediakan bukti kewujudan mereka,” kata jurucakap MHA.

Menurut MHA, jika ada bukti baru parti tersebut masih wujud, Pejabat Pendaftaran Pendedahan Asing dan Politik (RFPD) akan mengambil tindakan susulan ke atas kewajipan melaporkan perkara itu.

Kededua ROS dan RFPD adalah unit yang beroperasi di bawah MHA, dan RFPD bertanggungjawab mentadbir segala urusan ketetapan melaporkan sesuatu perkara di bawah Fica.

Mengikut Fica, semua parti politik di Singapura dikategorikan sebagai “individu yang mempunyai kepentingan politik” dan perlu memenuhi ketetapan tahunan berkaitan sumbangan, sukarelawan, kepimpinan, dan hubungan. 

Contohnya, mereka perlu melaporkan sumbangan tunggal sebanyak $10,000 atau lebih dan tidak dibenarkan menerima sumbangan daripada warga asing.

Individu juga perlu mengisytiharkan jika mereka diberi manfaat penghijrahan ke negara lain seperti kewarganegaraan kehormatan atau status penduduk tetap oleh pemerintah asing.

Antara 14 parti yang diminta membuktikan kewujudan mereka adalah Barisan Sosialis, yang pernah menjadi parti pembangkang terbesar di Singapura, serta Parti Rakyat Bersatu yang diasaskan oleh mantan pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Ong Eng Guan.

Satu-satunya parti yang didaftarkan selepas 2000 adalah Parti Demokrasi Liberal Rakyat yang didaftarkan oleh calon bebas, Encik Ooi Boon Ewe, pada 2006.

MHA memaklumkan bahawa RFPD belum dapat menghubungi kesemua 14 parti politik tersebut. 

Dalam Warta Pemerintah yang diterbitkan pada 11 Julai, beberapa parti politik disenaraikan dengan alamat pendaftaran yang sudah tidak digunakan lagi, seperti alamat Barisan Sosialis di 436C Victoria Street, yang dilaporkan telah diambil alih oleh pemerintah pada 1984. 

Sementara itu, alamat Persatuan Melayu Singapura pula disenaraikan sebagai Istana Kampong Gelam di Sultan Gate.

Bagi menilai kewujudan aktif sebuah pertubuhan, ROS melihat pelbagai penunjuk atau penunjuk, termasuk sama ada pertubuhan itu telah menyerahkan pulangan tahunan seperti yang dikehendaki di bawah Akta Persatuan.

Mereka turut menilai jika terdapat permohonan atau komunikasi antara persazuan atau pertubuhan dengan ROS dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Jika dalam tempoh tiga bulan dari penerbitan pemberitahuan, pertubuhan gagal membuktikan kewujudannya, ROS berhak menerbitkan pemberitahuan seterusnya dalam Warta Pemerintah untuk mengisytiharkan persatuan tersebut sebagai tidak lagi wujud.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg