Pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) akan dapat menggunakan pod mudah alih khas sebagai tempat rehat sementara antara panggilan, tanpa perlu kembali ke pangkalan mereka.
Dikenali sebagai Pod Penugasan Dinamik (DDP), ruang itu berfungsi sebagai pangkalan sementara bagi pasukan EMS yang biasanya dikerah dari balai bomba, pos bomba dan Pangkalan Penugasan Dinamik (DDB).
DDB ialah sebuah lokasi seperti balai polis dan balai rakyat yang digunakan untuk menempatkan ambulans.
Pod itu merupakan sebahagian daripada rancangan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan perubatan kecemasan, lapor The Straits Times (ST).
Menurut SCDF, pod itu mengambil masa antara enam dengan 12 bulan untuk dibina, dan direka dengan kerjasama vendor tempatan dan dihasilkan di luar negara.
SCDF pertama kali memperkenalkan DDP pada 25 Februari dalam satu acara di Taman Tasik Jurong.
Pod itu akan ditempatkan di sana selama tiga bulan sebagai sebahagian daripada percubaan selama enam bulan, sebelum dipindahkan ke Perpustakaan Awam Toa Payoh pada separuh kedua tempoh percubaan itu.
Semasa acara itu, Leftenan Kolonel (LTC) Amelia Justina Lim, penolong pengarah kanan jabatan perancangan dan dasar EMS, memberitahu media:
“Tujuan percubaan ini adalah untuk memperluaskan jangkauan perkhidmatan ambulans, supaya kami dapat sampai ke lokasi kecemasan dengan lebih pantas.”
Dalam laporan statistik tahunan yang dikeluarkan SCDF pada 13 Februari, pasukan itu telah memberi respons kepada 245,279 panggilan kecemasan pada 2024, bersamaan dengan sekitar 672 panggilan setiap hari.
Buat masa ini, SCDF mempunyai 95 ambulans, 23 balai bomba, 30 pos bomba dan lapan DDB di serata Singapura.
Berbeza dengan pangkalan tetap yang terikat pada lokasi, DDP boleh dipindahkan dalam tempoh tiga hari menggunakan kren lori untuk memenuhi permintaan EMS yang meningkat, kata SCDF.
Setiap pod yang berukuran 4.5 meter panjang, 2.2 meter lebar dan 2.45 meter tinggi dilengkapi dengan penyaman udara, meja kerja, kemudahan elektrikal, serta empat kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar bagi tujuan keselamatan.
Direka untuk berfungsi seperti balai dan pos bomba, setiap pod dapat menempatkan sebuah pasukan EMS yang biasanya terdiri daripada seorang paramedik dan dua juruteknik perubatan kecemasan (EMT).
Mulai 28 Februari, sebuah ambulans akan ditempatkan di DDP di Taman Tasik Jurong dari 9.30 pagi hingga 7.30 malam.
Pasukan EMS daripada Balai Bomba Jurong akan ditempatkan di sana dan hanya kembali ke pangkalan mereka selepas tamat syif.
Taman Tasik Jurong dipilih sebagai lokasi percubaan pertama berdasarkan data daripada program Pengoptimuman Sumber Dinamik SCDF, yang mencadangkan lokasi terbaik untuk penempatan ambulans, jelas LTC Lim.
Lokasi itu terletak di antara empat kawasan penempatan ambulans di Jurong.
Jika percubaan itu berjaya, SCDF merancang menambah lapan hingga 10 DDP lagi pada masa depan untuk melengkapkan lokasi penempatan ambulans sedia ada, kata LTC Lim.
“
“Tujuan percubaan ini adalah untuk memperluaskan jangkauan perkhidmatan ambulans, supaya kami dapat sampai ke lokasi kecemasan dengan lebih pantas.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg