Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MHA: NTUC ditetapkan ‘individu penting dari segi politik’ lepas tidak bantah notis

Kongres beri jaminan kekal perjuang kepentingan pekerja, operasi dan khidmat diteruskan
Jul 26, 2024 | 5:00 PM
Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) ditetapkan sebagai Individu Penting Dari Segi Politik (PSP) di bawah seksyen 47(1) Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindak Balas), atau Fica, mulai 26 Julai.
Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) ditetapkan sebagai Individu Penting Dari Segi Politik (PSP) di bawah seksyen 47(1) Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindak Balas), atau Fica, mulai 26 Julai. - Foto fail

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) tidak mengemukakan sebarang bantahan kepada pemerintah dalam responsnya terhadap Notis Penetapan Hasrat yang diterimanya pada 11 Julai, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Oleh itu, Pendaftar Pendedahan Luar dan Politik (Pendaftar) kekal berpendapat NTUC harus ditetapkan sebagai Individu Penting Dari Segi Politik (PSP) di bawah seksyen 47(1) Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindak Balas), atau Fica, menurut MHA dalam satu kenyataan pada 26 Julai.

NTUC diberikan notis pada 26 Julai bagi memaklumkannya mengenai penetapan itu, tambah MHA.

Justeru, NTUC ditetapkan sebagai PSP berkuat kuasa 26 Julai.

NTUC mempunyai hak untuk membuat rayuan kepada MHA terhadap keputusan Pendaftar itu, sama seperti PSP lain yang ditetapkan, kata kementerian itu lagi.

Secara berasingan, NTUC dalam satu kenyataannya pada 26 Julai berkata ia telah dimaklumkan mengenai keputusan MHA secara rasmi menetapkan kongres itu sebagai PSP di bawah Fica.

“NTUC maklum telah ditetapkan sebagai PSP tanpa bantahan, dan kami memahami bahawa MHA berbuat demikian sebagai langkah awal untuk mengurangkan campur tangan asing.

“Kami menyokong (usaha) melindungi kedaulatan Singapura dan akan mematuhi keperluan di bawah Fica,” kata kongres itu.

NTUC menambah ia akan terus memperjuangkan kepentingan pekerja bagi gaji, kebajikan dan prospek kerja lebih baik.

“Kami memberi jaminan kepada orang ramai dan rakan kongsi kami bahawa operasi dan perkhidmatan kami akan diteruskan tanpa henti,” ujarnya.

Pada 11 Julai, MHA berkata keputusan Pendaftar itu untuk menetapkan NTUC sebagai PSP dibuat setelah ia mendapati ada “hubungan simbiotik” antaranya dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Oleh itu, langkah di bawah Fica terhadap NTUC menjadi hal kepentingan awam.

Pendaftar itu merupakan badan berkuasa yang dilantik MHA di bawah Fica yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran peruntukan berkaitan PSP, kecuali calon pilihan raya dan ejen pilihan raya.

Sebagai PSP yang ditetapkan, NTUC dikehendaki membuat pengisytiharan tahunan kepada Pendaftar itu.

Khususnya, NTUC perlu mengisytiharkan sumbangan politik berjumlah $10,000 ke atas yang ia terima dan pertalian asing yang dijalinnya.

“Keperluan ketelusan sedemikian akan mengurangkan risiko NTUC menjadi sasaran campur tangan (entiti) asing,” kata MHA.

Kementerian itu berkata langkah menetapkan NTUC sebagai PSP adalah langkah awal bagi menangani sebarang risiko yang mungkin timbul pada masa depan dari sudut campur tangan asing, bergantung pada penilaian Pendaftar itu tentang pelibatan NTUC dalam politik Singapura.

“Ia bukan kerana NTUC telah bertolak ansur dengan campur tangan asing, atau melakukan sebarang kesalahan atau menimbulkan sebarang kebimbangan,” ujar MHA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg