Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MHA undang maklum balas usul sekat sementara transaksi bank mangsa penipuan

Aug 30, 2024 | 5:02 PM
Pada separuh pertama 2024, 86 peratus daripada penipuan yang dilaporkan adalah hasil daripada pemindahan sukarela, apabila mangsa diperdaya supaya memindahkan wang mereka kepada penipu.
Pada separuh pertama 2024, 86 peratus daripada penipuan yang dilaporkan adalah hasil daripada pemindahan sukarela, apabila mangsa diperdaya supaya memindahkan wang mereka kepada penipu. - Foto ZAOBAO

Pemerintah sedang mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai satu rang undang-undang baru yang akan memberi kuasa kepada polis untuk mengarahkan bank menyekat buat sementara urus niaga bakal mangsa penipuan yang tidak percaya mereka ditipu.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata jumlah kes penipuan melibatkan mangsa secara sukarela memindahkan wang kepada penipu masih tinggi.

Ini walaupun terdapat langkah perlindungan, seperti ‘butang kecemasan’ yang membolehkan pelanggan membekukan akaun bank, jika mereka mengesyaki akaun mereka telah terjejas.

Pada separuh pertama 2024, 86 peratus daripada penipuan yang dilaporkan adalah hasil pemindahan sukarela tersebut.

Penipu tidak mendapat kawalan langsung ke atas akaun mangsa, sebaliknya mempengaruhi mangsa supaya memindahkan wang mereka kepada penipu, kata MHA.

“Dalam beberapa kes ini, mangsa diberi amaran oleh polis, bank atau keluarga bahawa mereka telah ditipu, tetapi masih enggan mempercayai bahawa ini berlaku,” tambah kementerian itu.

“Ini termasuk mangsa penipuan cinta Internet dan penipuan penyamaran pegawai pemerintah. Pada masa ini, polis tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mangsa daripada memindahkan wang mereka kepada penipu jika mereka berkeras untuk berbuat demikian.”

MHA menyatakan pada 30 Ogos bahawa ia akan memperkenalkan Rang Undang-undang Perlindungan daripada Penipuan dalam beberapa bulan akan datang.

Ia juga sedang mendapatkan pendapat awam mengenainya sehingga akhir September, lapor The Straits Times.

Rang undang-undang itu bertujuan melindungi sasaran penipuan dengan lebih baik dengan membenarkan polis mengeluarkan arahan kepada bank supaya menyekat urus niaga seseorang, kata MHA.

Mangsa penipuan kehilangan lebih $385.6 juta dalam tempoh enam bulan pertama 2024 – satu rekod tertinggi – dengan jumlah kes meningkat 16.3 peratus kepada 26,587 kes.

Pada 2023, mangsa penipuan di Singapura kerugian $651.8 juta.

Di bawah rang undang-undang yang dicadangkan itu, MHA berkata perintah sekatan akan dikeluarkan hanya untuk penipuan dari jauh, seperti melalui panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau wadah dalam talian, dan tidak terdapat sebarang interaksi secara peribadi.

MHA berkata ia mengambil kira keperluan mencapai keseimbangan antara melindungi orang ramai tanpa menyusahkan individu melebihi apa yang diperlukan bagi melindungi mereka.

Justeru, sementara perintah sekatan akan menggantung pemindahan wang daripada akaun mangsa, MHA akan membenarkan individu tersebut memohon kepada polis untuk mendapatkan akses kepada wangnya bagi tujuan sah seperti membayar bil.

Orang ramai boleh menghantar maklum balas sehingga 30 September melalui e-mel kepada: scams_feedback@mha.gov.sg, atau dengan menghantar surat kepada MHA di New Phoenix Park, 28 Irrawaddy Road, Singapura 329560.

Subjek e-mel hendaklah, ‘Re: Public consultation on the Protection from Scams Bill’.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg