Topik diikuti
Pergi ke BHkuMikrofon jadi cara kreatif guru pupuk keyakinan murid
Mikrofon jadi cara kreatif guru pupuk keyakinan murid
Penerima Anugerah Belia Cemerlang dalam Pendidikan usaha bentuk sekitaran sekolah prihatin, terangkum
Mikrofon jadi cara kreatif guru pupuk keyakinan murid
Ketika di bangku sekolah, Cik Faridah Mohamed Ali merupakan murid pemalu yang akhirnya berjaya membina keyakinan diri kerana guru-gurunya memberi beliau ruang untuk tampil mengemukakan kebolehannya.
Hari ini, guru Bahasa Melayu berusia 32 tahun di Sekolah Rendah Fuhua itu melakukan perkara yang sama untuk murid-muridnya, di mana beliau menggunakan alat semudah mikrofon untuk mengingatkan mereka suara dan idea mereka penting.
Ketua Subjek Kepimpinan Pelajar itu merupakan antara enam penerima Anugerah Belia Cemerlang dalam Pendidikan (OYEA) 2026, yang disampaikan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, sempena Majlis Penyampaian Watikah Guru di Institut Pendidikan Nasional (NIE) pada 1 Julai.
Beliau percaya bahasa dan kepimpinan mampu membentuk keyakinan diri, jati diri serta empati dalam kalangan murid.
Malah, menerusi inisiatif yang diterajui murid seperti kempen antibuli Better As Buddies, murid digalakkan menjadi rakan pendamping yang peka terhadap rakan-rakan, berani mendekati mereka yang berasa tersisih atau sedih, serta mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih prihatin dan terangkum.
Bagi Cik Faridah, mikrofon bukan sekadar alat untuk bercakap, sebaliknya simbol setiap murid mempunyai suara unik yang wajar didengari.
“Apabila dalam kelas kami mengeluarkan mikrofon, itulah saat mereka tahu ini ruang selamat untuk berkongsi pandangan, membentang atau bertanya soalan, walaupun jawapan mereka tidak sempurna,” katanya.
Dalam kelas Bahasa Melayu, beliau memberi peluang kepada murid untuk tampil ke hadapan melalui pembentangan, perkongsian idea dan pelbagai kegiatan lisan.
Bagi murid yang lebih kecil, mikrofon itu menjadi sumber keterujaan, manakala bagi murid lebih dewasa, ia membantu mereka bercakap dengan lebih yakin di hadapan rakan-rakan.
Menurutnya, ramai murid sebenarnya mempunyai idea yang baik, namun hanya memerlukan sedikit dorongan untuk berani bersuara.
Beliau sendiri memahami perasaan itu kerana pernah menjadi murid yang pendiam.
“Guru-guru saya dahulu sangat percaya kepada saya dan sering memberi saya ruang untuk ke hadapan.
“Peluang seperti itu membentuk diri saya untuk percaya murid yang malu tidak semestinya tiada fikiran. Mereka mungkin hanya takut untuk tampil,” ujarnya.
Di luar bilik darjah, beliau turut membimbing pengawas sekolah mengenal pasti isu dalam kalangan rakan sebaya dan menghasilkan penyelesaian menerusi pendekatan pemikiran reka bentuk.
Daripada proses itu lahirlah kempen Better As Buddies, yang kemudian diperluaskan kepada inisiatif sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia serta kerjasama dengan Kempen Baik Budi Friends of Singa.
Dalam pada itu, bagi Cik Faridah, Bahasa Melayu bukan sekadar mata pelajaran, tetapi wadah membina hubungan, nilai dan rasa kebersamaan melalui interaksi dengan masyarakat.
“Keberanian itu bukan apabila kita sudah berani baru kita tampil ke hadapan.
Tetapi keberanian itu sebenarnya apabila kita tetap tampil meski berasa takut,” katanya.
